Friday, February 24, 2006

Bantahan awal Kes Faraid

Penghakiman Kes Bantahan Awal permohonan pembahagian pesaka di hadapan YA Tuan Hj Saarani bin Hj Ismail di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Diantara


SARIBANUN BT HJ MERIDON ………………………………. Plaintif


Dengan


ABD SAMAD B YAACOB ……………………………………. Defendan 1

BAHARUDDIN B HJ ABD SAMAD …………………………. Defendan 2

YUSOF B HJ ABD SAMAD ….………………………………. Defendan 3

SITI EASHAH BT HJ ABD SAMAD .…………………….…. Defendan 4

RUKIAH BT HJ ABD SAMAD ………………………………. Defendan 5

BOHARI B HJ ABD SAMAD ….……………………………… Defendan 6

MD KHIR B HJ ABD SAMAD ....…………………………….. Defendan 7

KHALIJAH BT HJ MARIDON ……………………………….. Defendan 8

KAMALIAH BT HJ MARIDON ……………………………….. Defendan 9

FATIMAH @ NORMAH BT HJ MARIDON ………………….. Defendan 10

SITI FATIMAH BT HJ MARIDON …………………………….. Defendan 11

JAMALUDDIN SABAR ……..………………………………... Defendan 12

SITI KHALIJAH BT KARIM ………………………………….. Defendan 13

NORAINI BT MOHD DAUD …………………………………… Defendan 14

MOHD AKHARA BT MOHD DAUD ………………………….. Defendan 15

NOR AZIZAH BT MOHD DAUD ………………………………. Defendan 16

MOHD AZIAN B MOHD DAUD ………………………………. Defendan 17

Dalam Mahkamah Tinggi Syariah Selangor di Shah Alam

(Y.A Tn. Hj. Saarani b. Ismail, Hakim)

12 Januari 2006

Kes Mal Bil : 10100-040-265/2004

1. ISU

Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor Tahun 2003 – Tuntutan Pengisytiharan Harta Pusaka Dibahagi dan Diserah Kepada Waris-waris Mengikut Seksyen 61 (3) (b) (ix) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor Tahun 2003 – Tindakan Di Luar Kausa – Bantahan Awal Mohon Diketepikan – Permohonan Dalam Prosiding Seksyen 195 Enakmen Prosedur Mal Mahkamah Syariah Ngeri Selangor Tahun 2003.

2. FAKTA KES

Pada 26.8.2004 Plaintif melalui Peguam Syarienya telah memasukkan Tuntutan Pengistiharan Harta Pusaka si mati agar dibahagi dan diserah kepada waris-waris berhak dan pada 28.3.2005 satu Penyata Tuntutan Pindaan telah dimasukkan semula kerana 3 orang dari waris-waris telah meninggal dunia. Plaintif memasukkan Tuntutan ini kerana Plaintif telah dilantik sebagai Pentadbir Pusaka yang baru oleh Mahkamah Tinggi (Sibil) Kuala Lumpur untuk menggantikan arwah Mohd Daud b Hj Maridon yang tidak sempat menyempurnakan pembahagian harta pusaka arwah bapanya Hj Maridon b Hj Pengeran. Bertindak sebagai Pentadbir Pusaka yang baru Plaintif telah memasukkan Tuntutan ini agar Mahkamah Tinggi Syariah Selangor mengisytiharkan bahawa harta-harta tinggalan arwah Hj Maridon b Hj Pengiran adalah sebagai Harta Pusaka dan memerintahkan agar waris-waris menyerahkan harta-harta pusaka tersebut untuk dibuat pembahagian kepada waris-waris. 5 orang waris Hj Daud b Hj Maridon melalui Peguam Syarie mereka tidak bersetuju dan membantah di atas keseleruhan Tuntutan Plaintif dengan memasukkan Notis Bantahan Awal pada 29.8.2005 memohon agar tuntutan Plaintif ditolak buang dengan kos.

DIPUTUSKAN

1. Bantahan Awal Defenda-defendan diterima dengan kos.

PEGUAM SYARIE

1.Plaintif diwakili oleh En. Mohamad Amir Nazli b Hussin

Dari Tetuan Zaidi Zain & Associates

2. Defendan-defendan diwakili oleh En Hairunnajmi b Najmuddin

Dari Tetuan Najmi & Associates

SURAH-SURAH YANG DIRUJUK

1.Surah An Nisa’ - Ayat 11

KITAB YANG DIRUJUK

1.Mughni Al Muhtaj, Jld 3 Juz 3 m.s 3-4,

Al Sheikh Muhammad Al Khatib Al Syarbini

ENAKMEN YANG DIRUJUK

1. Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor No 1 Tahun 2003

2. Enakmen Prosedur Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor No 4 Tahun 2003

ALASAN PENGHAKIMAN

Bantahan 5 orang waris-waris Hj Daud b Hj Maridon telah difailkan dan diserahkan kepada Plaintif berbunyi....

NOTIS BANTAHAN AWAL

AMBIL PERHATIAN bahawasanya saya HAIRUNNAJMI B NAJMUDDIN (NO K/P : 730530-10-5657) yang beralamat di Tetuan Najmi & Assocaites yang beralamat di No 26C, 3rd Floor, Jalan Ampuan Zabedah D (9/D), Seksyen 9, 40100 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan Peguam Syarie bagi Defendan-defendan 16 hingga 20 yang dinamakan di atas membuat bantahan awal terhadap kes tuntutan ini dengan menyatakan bahawa Permohonan tersebut adalah di luar aturan dan bertentangan dengan prosedur permohonan dan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam tidak mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan membicarakan permohonan ini. Defendan-defendan dengan tawaddu’nya memohon kepada Mahkamah yang mulia ini menolak permohonan Plaintif dengan kos dan mohon kes ini dibuang.

Sebelum Mahkamah ini meneliti isu-isu yang dibangkitkan dalam Notis Bantahan Awal dan memutuskannya suka Mahkamah melihat peruntukkan Undang-undang yang memberi kuasa kepada Mahkamah untuk mendengar dan memutuskannya “apa-apa permohonan yang berbangkit“ ketika prosiding sedang berjalan.

Mahkamah juga merujuk khusus kepada Seksyen 195 Enakmen Prosedur Mal Mahkamah Syariah 2003 berbunyi;

“Mahkamah boleh, mengikut budi bicaranya, semasa mendengar sesuatu permohonan di bawah Bab ini, membenarkan apa-apa permohonan yang berbangkit di dalamnya didenagar secara lisan“.

Merujuk kepada peruntukan-peruntukan di atas tersebut dengan jelas Mahkamah ini ada bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan Bantahan Awal ini selain bidang kuasa sedia ada yang diperuntukan di bawah Seksyen 244 Enakmen Prosedur Mal Mahkamah Syariah 2003 berbunyi;

“Tiada apa-apa jua di dalam Enakmen ini boleh disifatkan sebagai menghadkan atau menyentuh kuasa sedia ada pada Mahkamah untuk membuat apa-apa perintah yang perlu untuk mengelakkan ketidak adilan atau mengelakkan penyalahgunaan proses Mahkamah“.

Isu sama ada Notis Bantahan Awal Defendan ini difailkan secara teratur

sebagaimana kehendak prosedur dalam Enakmen juga perlu dilihat. Di dalam menjawab isu ini suka Mahkamah melihat kepada peruntukan Seksyen 13(1) Enakmen Prosedur Mal Mahkamah Syariah 2003 berbunyi;

“Kecuali sebagaimana yang diperuntukan kemudian daripada ini, tiap-tiap permohonan hendaklah dibuat melalui Notis dalam Borang MS 3 dan disokong dengan Affidavit yang diangkat sumpah mengikut Enakmen ini“.

Inilah satu-satunya peruntukan umum yang perlu diikuti kerana tiada ditentukan prosedur khusus bagaimana permohonan Bantahan Awal harus diikuti. Mahkamah dapati tidak menggunakan Borang MS 3 dan tidak disokong oleh Affidavit bersumpah. Selain itu Mahkamah juga dapati ianya tidak berikrar dan tidak termeterai.

Memandangkan tiada prosedur khusus yang perlu diikuti dalam Permohoan Bantahan Awal, maka di atas kapasiti “Tiada apa-apa jua di dalam Enakmen ini boleh disifatkan sebagai menghadkan atau menyentuh kuasa sedia ada pada Mahkamah untuk membuat apa-apa perintah yang perlu untuk mengelakkan ketidak adilan atau mengelakkan penyalahgunaan proses Mahkamah“. maka ketidakaturan Notis Bantahan Awal Defendan ini adalah diterima kerana Notis tersebut telah diserahkan kepada Plaintif dan Peguamnya telah menjawab dengan Hujah Balasan bertarikh 25.10.2005.

Sebagai panduan, demi keadilan semua pihak, Notis Bantahan Awal hendaklah difailkan secara teratur menggunakan Borang MS 3 dan disokong oleh Afidavit yang diikrarkan dan termeterai kemudian diserahkan kepada pihak-pihak sekurang-kurangnya 2 hari genap sebelum tarikh pendengaran bersesuaian dengan aturan di bawah Seksyen 45 (2) Enakmen Prosedur Mal Mahkamah Syariah 2003 berbunyi;

“Tertakluk kepada Enakmen ini atau mana-mana Undnag-undang bertulis lain, Notis bagi semua prosiding lain hendaklah Notis dua hari genap melainkan Mahkamah memerintahkan selainnya“.

Isu utama yang dibangkitkan Defendan dalam Notis Bantahan Awalnya

adalah berkaitan bidangkuasa untuk Mahakamah mendengar dan membicarakan tuntutan Plaintif supaya mengisytiharkan harta-harta tinggalan arwah Hj Maridon b Hj Pengiran adalah Harta Pusaka dan hendaklah dibahagi dan diserahkan kepada waris-warisnya.

Plaintif dalam hujah balasnya menyatakan Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa berdasarkan Seksyen 61 (3) (b) (viii) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor Tahun 2003 berbunyi;

“Pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat”.

Berdasarkan peruntukan tersebut, tidak timbul isu sama ada Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa untuk mengisytiharkan pembahagian mengenai harta pusaka sebagaimana yang dituntut oleh Plaintif.

Hujah balas Defendan : Plaintif telah khilaf merujuk Seksyen kerana Notis Bantahan Awal Defendan adalah berkaitan tuntutan Plaintif agar Mahkamah ini mengisytiharkan bahawa harta-harta tinggalan arwah Hj Maridon b Hj Pengiran adalah sebagai Harta Pusaka dan hendaklah diserahkan dan dibahagi kepada waris berhak sedangkan Mahkamah ini tidak berbidangkuasa.

Defendan secara khusus merujuk kepada Seksyen 61 (3) (b) (ix) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor Tahun 2003 mengenai pembahagian Harta Pusaka sebagai hak dituntut Plaintif. Seksyen tersebut menyatakan; bidang kuasa Mahkamah hanyalah :

“Penentuan orang-orang yang berhak kepada bahagian harta pusaka seseorang si mati yang beragama Islam atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak”.

Defendan berhujah, tuntutan Plaintif tertakluk di bawah Seksyen 61 (3) (b) (ix) tersebut dengan jelas menyatakan Mahkamah ini hanya mempunyai kuasa menentukan siapakah waris-waris yang berhak atau harta pusaka si mati atau berapa bahagian bagi waris-waris yang berhak mengikut Hukum Faraid dan kuasa Mahkamah tidak harus melangkaui hingga kepada pengisytiharan harta si mati sebagai harta pusaka dan hendaklah dibahagi kepada waris-waris berhak. Plaintif di dalam tuntutannya bukan memohon kepada Mahkamah ini agar menentukan pembahagian faraid malahan memohon Mahkamah mengisytiharkan harta arwah Hj Maridon b Hj Pengiran sebagai harta pusaka. Sebenarnya isu-isu sebegini tertakluk kepada Mahkamah lain yang berbidangkuasa dan tertakluk kepada Undang-undang yang lain.

Setelah meneliti tuntutan Plaintif melalui saman pemulanya bukanlah berkaitan “pembahagian dan pewarisan harta berwasiat atau tak berwasiat” tetapi berkaitan “pengisytiharan harta pusaka” yang berbeza dengan “penentuan orang yang berhak atau bahagian-bahagian yang kepadanya masing-masing orang itu berhak”. Mahkamah dapati tidak terdapat dalam mana-mana penentuan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor Tahun 2003 yang memberi kuasa kepada Mahkamah ini untuk mengisytiharkan sesuatu harta tinggalan sebagai harta pusaka. Dari segi Hukum Syarak telah wujud hukum pusaka pada harta peninggalan si mati tanpa perlu apa-apa pengisytiharan lagi berdasarkan firma Allah swt, ayat 11 Surah An Nisa’ berbunyi;

Bermaksud : “Ibu-ibu dan anak-anak kamu, sesungguhnya kamu tidak mengetahui siapa antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (sebab itulah Allah swt menetapkan bahagian mereka kerana Dialah jua yang mengetahui). Sesungguhnya Allah swt adalah Maha mengetahui lagi Maha bijaksana”.

Menurut pendapat Al Sheikh Muhammad Al Khatib Al Syarbini di dalam

Kitab Mughni Al Muhtaj, Jld 3 Juz 3 m.s 3-4 berbunyi;

Bermaksud : “Daripada harta peninggalan si mati mengikut tertibnya hendaklah dicabut kerana urusan pengkebumian mayatnya, kemudian kerana melunaskan hutangnya, kemudian kerana menyempurnakan wasiatnya sekadar satu pertiga daripada bakinya, kemudian barulah bakinya dibahagikan kepada waris-warisnya”.

Mahkamah juga bersetuju dengan Hujah Balas Defendan sebagai menjawab Hujah Plaintif yang menyatakan Mahkamah mempunyai kuasa sedia ada mengikut Seksyen 244 Enakmen Prosedur Mal Mahkamah Syariah 2003. Sebenarnya Mahkamah perlu lebih berhati-hati untuk mengelakkan penyalahgunaan proses Mahkamah kerana apa yang terkandung disebalik Seksyen tersebut adalah berkaitan dengan pemakaian apa-apa prosedur Mahkamah dan ianya tidak melibatkan bidangkuasa Mahkamah itu sendiri. Bukan menjadi tanggungjawab Mahkamah untuk menerima sesuatu prosedur yang bertentangan dengan kuasa yang diberi kepada Mahkamah lebih-lebih lagi sekiranya bertentangan dengan Hukum Syarak.

Mahkamah juga memberi perhatian kepada “Kausa tindakan“ setiap permohonan atau tuntutan sebagaimana ditetapkan di dalam Seksyen 63 (1) (a) dan (2) Enakmen Prosedur Mal Mahkamah Syariah 2003 kerana ianya berkait rapat dengan penentuan bidangkuasa Mahkamah. Seksyen tersebut menyatakan;

“(1) Tiap-tiap penyataan tuntutan hendaklah ditandatangani oleh Plaintif atau peguam Syarienya dan hendaklah mengandungi -

(a) suatu pernyataan yang ringkas lagi padat, dalam perenggan-perenggan yang bernombor, tentang fakta-fakta yang dijadikan sandaran oleh Plaintif dan menunjukkan kausa tindakannya, termasuk butir-butir mengani apa-apa sifat khas yang atasnya Plaintif mendakwa, jik ada;

(b) butir-buitr tuntutan yang mencukupi;

(c) suatu pernyataan tentang relief yang dituntut; dan

(d) butir-butir mengenai apa-apa permohonan lain.

(2) Jika lebih daripada satu kausa tindakan dijadikan sandaran, alasan bagi setiap satu tindakan dan relief yang dituntut berdasarkan kausa itu hendaklah dinyatakan secara berasingan.“

“Kausa tindakan“ berkait rapat dengan peruntukan Seksyen–seksyen

permohonan atau tuntutan. Setiap permohonan mesti ditunjukkan seksyen-seksyen berkaitan secara satu persatu untuk Mahkamah menentukan bidangkuasa. Tanpa kausa tindakan yang ditunjukkan pada setiap permohonan atau tindakan, maka Mahkamah tidak dapat menentukan bidangkuasanya. Sekiranya Mahkamah tiada bidangkuasa maka setiap penghakiman menjadi tidak sah dan terbatal.

KEPUTUSAN

SETELAH MAHKAMAH meneliti Notis Bantahan Awal Defendan adalah berkaitan Mahkamah ini tiada bidangkuasa untuk mengisytiharkan harta-harta tinggalan si mati sebagai Harta Pusaka yang mesti dibahagi dan / atau diserahkan kepada waris-waris DAN SETELAH MAHKAMAH melihat Hujah-hujah Balasan Plaintif dan Defendan semuanya adalah teratur, MAKA MAHKAMAH berpuas hati dan memerintahkan seperti berikut :-

Bantahan Awal Defenda-defendan diterima dengan kos.

Disediakan Oleh;

Yang Arif Hj Saarani bin Ismail

Hakim

Mahkamah Tinggi Syariah Selangor Darul Ehsan

Bertarikh 12 Januari 2006