Friday, March 03, 2006

Cerai Talak Tiga

WAN MOHD FARIZ BIN MOHD ALI PLAINTIF

LAWAN

NORYANIE BINTI HANIFAH DEFENDAN

Dalam Mahkamah Rendah Syariah Di Klang (Di hadapan Tuan Hakim Mohamed Fouzi Bin Mokhtar) Bertarikh pada 29hb Jun 2005

KES MAL BIL: 10003-O54-060/2005
Isu / Abstrak
Kes di bawah Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 - Pengesahan Lafaz Cerai di Luar Mahkamah Oleh Plaintif- Lafaz Talak Tiga dan Suami mendakwa mempunyai masalah gangguan jiwa.

Fakta Kes
Plaintif dan Defendan dalam kes ini telah berkahwin pada 20hb Ogos 1993 di Gombak, Selangor Darul Ehsan berwalikan bapa Plaintif. Hasil Perkahwinan tersebut, mereka belum dikurniakan cahayamata. Perkahwinan ini adalah perkahwinan kali Pertama bagi Plaintif dan Defendan. Pada 11hb Januari 2005 jam lebih kurang 11.45 malam, Plaintif telah melafazkan cerai terhadap Plaintif dengan lafaz “Aku Ceraikan Kau Dengan Talak Tiga (3)”. Kejadian ini telah berlaku di dalam rumah kelamin mereka yang beralamat No. Lot 6278, Jalan Kota Raja Shabandaraya, 41000, Klang, Selangor Darul Ehsan. Menurut keterangan kedua – dua pihak yang di berikan kepada Mahkamah ini pada 05hb April 2005, Defendan mengakui ada mendengar lafaz cerai tersebut dan berada dalam keadaan suci dan tidak mengandung manakala Plaintif sendiri mengakui ada melafazkan cerai tersebut. Selain Plaintif dan Defendan, kejadian tersbut turut disaksikan oleh ibu Defendan iaitu Raja Perak Binti Raja Hasbullah. Fakta yang lebih menarik dalam kes ini adalah Plaintif mendakwa mengalami masalah halusinasi semasa kejadian dan pernah mendapatkan rawatan berkaitan masalah tersebut.

Keputusan
Diputuskan bahawa mahkamah ini memerintahkan berikut:
1- Mahkamah mensabitkan bahawa berlaku perceraian di antara Plaintif dan Defenden di luar dan tanpa kebenaran Mahkamah pada 11hb Januari 2005 jam lebih kurang 11.45 malam dengan lafaz “Aku Ceraikan Kau Dengan Talak Tiga (3)” kali Pertama berjumlah tiga talak.

2- Mahkamah memerintahkan perceraian ini didaftarkan dan Surat Nikah No. Siri 112608 Bilangan Daftar 364/2002 dipulangkan kepada Pejabat Agama Islam Di Subang Jaya dan dibatalkan.
3- Mana-mana pihak yang tidak berpuashati dengan keputusan ini boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan dikeluarkan.

Peguam Syarie
Pihak - Pihak tidak diwakili Peguam Syarie.

Surah Al-Quran Yang Dirujuk
Surah Al-Talaq, ayat 6
Surah A-Talaq, ayat 7
Surah Al-Baqarah ayat 236
Surah Al-Baqarah ayat 241
Surah al-Ahzab ayat 49

Hadis Yang Dirujuk
-Tiada -

Kitab Yang Dirujuk
Kitab Ghayah Wa Al-Taqrib, cetakan 1417 H / 1997 M, muka surat 34
Kitab Kifayah Al-Akhyar, muka surat 6 58
Kitab Kifayatul Akhyar, Juzuk 2 mukasurat 42
Kitab Mughni Al-Muhtaj, jilid 4 di halaman 399
Kitab Mughni al-Muhtaj, Jilid 4 di halaman 398
Kitab Qalyubi wa Umairah, Juzu’ 3 di dalaman 290-292
Kitab I’anah al-Talibin juzuk 3, muka surat 595-596
Kitab al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili , juzuk 1, muka surat 76-77

Undang –Undang Yang Dirujuk
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003
(Seksyen 4, Seksyen 45, Seksyen 66, Seksyen 58, Seksyen 60 dan Seksyen 62)
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003
(Seksyen 62 (2) (b) dan Seksyen 61 (3) (b))
Enakmen Keterangan Syariah (Negeri Selangor) 2003
(Seksyen 3, 17, 48, 49, 50, 73, 74, 75, 76 dan Seksyen 77)

Kes –Kes Yang Dirujuk
Sharifah Laila Bt Syed Shamdin lwn Abdul Latif Bin Arshad (1994) 9 bhg 1 J.H 16
Asiaamal lawan Abdul Jabar JH (1404H) 262
Tengku Anum Zaharah lawan Dato Dr. Hussien bin Mohamad Yusof (1980) 3 JH 125
Piah binti Said lawan Che Lah bin Awang PP (1982) 2 JH (3) 220

Alasan Penghakiman
Plaintif dan Defendan dalam kes ini telah berkahwin pada 20hb Ogos 1993 di Gombak, Selangor Darul Ehsan berwalikan bapa Plaintif. Hasil Perkahwinan tersebut, mereka belum dikurniakan cahayamata. Perkahwinan ini adalah perkahwinan kali Pertama bagi Plaintif dan Defendan. Pada 11hb Januari 2005 jam lebih kurang 11.45 malam, Plaintif telah melafazkan cerai terhadap Plaintif dengan lafaz “Aku Ceraikan Kau Dengan Talak Tiga (3)”. Kejadian ini telah berlaku di dalam rumah kelamin mereka yang beralamat No. Lot 6278, Jalan Kota Raja Shabandaraya, 41000, Klang, Selangor Darul Ehsan. Menurut keterangan kedua – dua pihak yang di berikan kepada Mahkamah ini pada 05hb April 2005, Defendan mengakui ada mendengar lafaz cerai tersebut dan berada dalam keadaan suci dan tidak mengandung manakala Plaintif sendiri mengakui ada melafazkan cerai tersebut.

Plaintif mengakui di dalam keterangannya bahawa ketika melafazkan perkataan cerai tersebut, Defendan berada dalam keadaan marah tetapi waras, sihat, normal dan tiada dipaksa oleh mana-mana pihak. Kedua-dua pihak, Namun begitu, dalam keterangannya, Plaintif turut mendakwa bahawa Plaintif ketika melafazkan perkataan cerai berada di dalam keadaan halusinasi yang mana mendakwa ada suara yang menyuruhnya melafazkan talak tiga (3) kepada Defendan.

Bidangkuasa
Perkara yang paling penting bagi mahkamah sebelum meneruskan kes ini adalah menentukan bidangkuasa Mahkamah terlebih dahulu. Dengan itu Mahkamah merujuk kepada Seksyen 4 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 dan Seksyen 45 enakmen yang sama. Seksyen 4 tersebut memperuntukkan seperti Seksyen 4 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukan:-
“Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya, Enakmen ini terpakai bagi semua orang Islam yang tinggal dalam Negeri Selangor dan bagi semua Orang Islam yang bermastautin dalam negeri selangor tetapi tinggal di luar Negeri itu.”

Manakala Seksyen 45 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukan –
Kecuali sebagaimana diperuntukkan selainnya dengan nyata tiada apa-apa jua dalam Enakmen ini membolehkan mahkamah membuat sesuatu perintah perceraian atau perintah mengenai perceraian atau membenarkan seseorang suami melafazkan talaq kecuali :-
a)- jika perkahwinan itu telah didaftarkan atau disifatkan sebagai didaftarkan di bawah Enakmen ini;
b)- jika perkahwinan itu telah dilangsungkan mengikut hokum syarak; dan
c)- jika pemastautinan salah satu pihak kepada perkahwinan pada masa permohonan itu diserahkan adalah dalam negeri Selangor.

Kedua-dua pihak telah bernikah pada 04hb Mei 2002 di dalam daerah Gombak, Selangor Darul Ehsan dengan berwalikan ayah Plaintif dengan mas kahwin sebanyak RM 80.00. Akad nikah ini dijalankan dan didaftarkan di daerah Gombak, Selangor Darul Ehsan dengan No. Siri Sijil Pendaftaran Nikah pasangan ini 112608 No. Bilangan Daftar 364/2002. Selain itu berkaitan pemastautinan pihak pihak pula, pada pendapat Mahkamah telah memenuhi syarat yang diperuntukkan dan dikehendaki oleh Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 tersebut, Mahkamah berpuashati Plaintif telah tinggal di alamat No. Lot 6278, Jalan Kota Raja Shabandaraya, 41000, Klang, Selangor Darul Ehsan melalui Lampiran Kad Pengenalan Plaintif semasa kes ini difailkan manakala Defendan di No 31B-3, Lorong Kijang, Kampung Klang Gate Baru, Hulu Klang, 53100 Kuala Lumpur. Ianya jelas bahawa permohonan ini memenuhi kehendak Seksyen 45 (1) (C) EUUKIS 1984 yang hanya memerlukan pemastautinan satu pihak sahaja adalah di negeri Selangor. Seksyen 2 EUUKIS memperuntukkan “bermastautin” ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya dalam sesuatu kawasan yang tertentu. Di dalam kes Sharifah Laila Bt Syed Shamdin lwn Abdul Latif Bin Arshad (1994) 9 bhg 1 J.H 16 Mahkamah Rayuan Syariah Selangor telah menyatakan bahawa perkataan mastautin seperti yang terdapat dalam Seksyen 2 enakmen tersebut hanya mensyaratkan seseorang itu tinggal tetap dalam suatu kawasan atau pada lazimnya tinggal di sesuatu kawasan, tidak disyaratkan hendaklah menjadi rakyat negeri di dalam kawasan ia berada.

Saman di Dalam kes ini gagal disempurnakan kepada Defendan berdasarkan Laporan Saman yang dikemukakan oleh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bertarikh 3 hb Februari 2005. Namun begitu, Defendan telah hadir sendiri ke mahkamah pada hari sebutan kes ini dan telah diserahkan sesalinan Saman kepadanya dengan Perintah Mahkamah.

Selain itu, Mahkamah juga merujuk peruntukan Seksyen 62 (2) (b) Enakmen Pentadbiran Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 yang yang dibaca bersama Seksyen 61 (3) (b) Enakmen yang sama dan seksyen tersebut menyatakan bahawa –
“Mahkamah Rendah Syariah hendaklah dalam bidangkuasa Mal, mendengar, dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi dibenarkan mendengar dan memutuskannya dalam mana jumlah atau nilai hal perkara yang dipertikaikan tidak melebihi seratus ribu ringgit atau yang tidak dapat di anggarkan dengan wang (tidak termasuk hadhanah dan harta sepencarian).”

Mahkamah merujuk pula Seksyen 61 (3) (b) Enakmen yang sama yang telah memperuntukkan –
“Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah
(b) dalam bidangkuasa Malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan :
i- pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq)atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami dan isteri;
ii- ……………………………………….”

Dari peruntukan-peruntukan di atas, jelaslah mahkamah ini diberikan kuasa untuk menentukan samada sah atau tidak sesuatu perceraian walaupun tiada peruntukan khusus yang diberikan kepada Mahkamah Syariah Selangor. Dengan itu, Mahkamah berpendapat ia mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan ini.

Fakta Yang Menjadi Isu
Dalam kes ini ada beberapa fakta utama yang perlu mahkamah ini putuskan. Isu-isu tersebut adalah seperti berikut:-
1- Isu berkaitan lafaz cerai yang berlaku pada 11hb Januari 2005 jam lebih kurang 11.45 malam bertempat di No. Lot 6278, Jalan Kota Raja Shabandaraya, 41000, Klang, Selangor Darul Ehsan dengan lafaz yang berbunyi:- “Aku Ceraikan Kau Dengan Talak Tiga (3)”.
2- Isu berkaitan dakwaan Plaintif bahawa semasa kejadian lafaz tersebut, Plaintif melafazkan cerai dalam keadaan halusinasi dan dipengaruhi oleh suara yang membisikkan kepadanya supaya menceraikan isterinya dengan talak 3.

Isu yang pertama iaitu lafaz cerai yang berlaku pada 11hb Januari 2005 jam lebih kurang 11.45 malam bertempat di No. Lot 6278, Jalan Kota Raja Shabandaraya, 41000, Klang, Selangor Darul Ehsan dengan lafaz yang berbunyi:- “Aku Ceraikan Kau Dengan Talak Tiga (3)” yang telah dilafazkan oleh Plaintif . Untuk menyelesaikan isu ini mahkamah merujuk kepada beberapa ayat- Al-Quran dan pendapat-pendapat ulama mu’tabar antaranya Mahkamah akan merujuk kepada rukun-rukun perceraian atau talaq. Di dalam Kitab I’anat At-Talibin, juzu’ 4, muka surat 2 ada menyebut:-



Maksudnya: Dan adapun rukun talaq itu ada lima iaitu suami, lafaz yang digunakan, diqasadkan talaq kepada siapa talaq itu ditujukan ataupun isteri, dan talaq itu dijatuhkan dengan kekuasaan suami.

Dalam kes ini, Plaintif telah memenuhi rukun pertama iaitu suami. Berkaitan rukun kedua pula ialah sighah atau lafaz yang digunakan. Dalam Kitab Kifayah Al-Akhyar juzu’ 2 muka surat 52 ada menyebut:-

Maksudnya: Talaq ada dua macam, iaitu yang nyata dan yang sinidiran.

Kemudian disebut lagi :


Maksudnya: “ Adapun talaq yang nyata itu ada tiga lafaz, talaq, firaq(cerai) dan saraah (lepas), dan talaq yang nyata (sareh) tidak lagi memerlukan niat”.

Lafaz cerai dengan perkataan talaq adalah sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 229 yang berbunyi :

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَأْخُذُوا مِمَّا آَتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَنْ يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (229)
Maksudnya: Talaq ( yang boleh dirujuk kembali itu hanya ) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk) dan memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.

Manakala lafaz cerai dengan perkataan saraah (lepas) pula sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Ahzab yang berbunyi:



Maksudnya: ………dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.

Mahkamah juga mengaitkan persoalan mengenai iqrar bagi mensabitkan perceraian tersebut. Bila menyebut tentang lelaki beriqrar, di dalam Kitab I’anat At-Talibin juzu’ 3 muka surat 187 ada menyebut:
اعترافا ويسمى. عليه بحق الشخص إخبار وشرعا الإقرار لغة الإثبات
Maksudnya: Iqrar dari segi bahasa bererti mensabitkan, manakala menurutsyarak diertikan sebagai memberitahu hak seseorang atas dirinya. Iqrar disebut juga sebagai I’tiraf.


Dalam Kitab Mughni Al-Muhtaj, jilid 2 muka surat 238 ada menyebut:
( وأركانه أربعة : مقر ومقر له وصيغة ومقر به )
Maksudnya: Rukun iqrar itu ada empat iaitu 1) muqirrun (orang yang beriqrar) 2) muqarrun lahu (orang yang memberi iqrar untuknya oleh orang yang beriqrar, 3) sighah (ucapan atau kata-kata iqrar) dan 4) muqirrun bihi (hak atau kepentingan yang diiktiraf oleh pihak yang beriqrar).”

Dalam kitab I’anat At-Talibin juzu’ 4 muka surat 27 ada menyebut:
) إنما يثبت الطلاق كالإقرار به بشهادة رجلين حريين عدلين (
Maksudnya: Perkara talaq itu disabitkan dengan persaksian dua orang lelaki yang adil lagi merdeka, sebagaimana pula ianya di sabitkan dengan iqrar adanya talaq.

Ianya juga selari dengan kaedah yang berbunyi :
بإقراره مؤخذ المرءُ
Maksudnya: Seseorang itu dipegang berdasarkan pengakuannya .

Dalam Seksyen 17 (1) Enakmen Keterangan Syariah Selangor 1996 menyatakan:
“Iqrar adalah suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang secara bertulis atau atau lisan atau dengan isyarat menyatakan bahawa ia mempunyai obligasi atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak.”

Manakala Seksyen 17 (2) dalam Enakmen yang sama menyatakan:
“Sesuatu iqrar hendaklah di buat –
a- dalam Mahkamah, di hadapan Hakim; atau
b-di luar Mahkamah di hadapan dua orang saksi lelaki yang akil baligh dan adil.”

Menurut Seksyen 55 (1) Enakmen yang sama memperuntukkan bahawa –
1- Pengakuan mengenai tulisan, tandatangan atau meterai hendaklah diterima sebagai pengakuan orang yang menulis atau yang melaksanakan dokumen itu;
2- Sesuatu pengakuan melalui dokumen yang ditulis atau disebabkan ditulis oleh seseorang di bawah tandatangan atau meterainya dan diserahkan kepada orang lain boleh diterima sebagai iqrar dengan syarat.

Berdasarkan kepada keterangan dan iqrar Plaintif dan defenden dengan ini, Mahkamah berpuashati di atas iqrar Plaintif yang menyatakan Plaintif telah menceraikan Defenden. Dengan lain perkataan, Iqrar Plaintif telah memenuhi kehendak peruntukan hokum syarak dan peruntukan Seksyen 17(1) dan (2) Enakmen Keterangan Syariah 1996.

Mengenai rukun ketiga bagi talaq iaitu qasad (niat), oleh kerana lafaz cerai menggunakan lafaz yang sareh maka ianya dan Plaintif tidak lagi memerlukan niat untuk menceraikan defenden sebagaimana huraian sebelum ini.Manakala rukun keempat bagi perceraian iaitu kepada siapa lafaz cerai ditujukan, Mahkamah berpuashati daripada iqrar dan keterangan-keterangan yang diberikan oleh Plaintif dan defenden adalah ditujukan kepada Defenden. Defenden ketika lafaz cerai dilafazkan oleh suaminya adalah isteri yang sah kepada Plaintif dan beliau tidak berada dalam eddah ba’in walaupun ketika itu defenden haid.

Rukun terakhir iaitu yang kelima iaitu Wilayah ‘Alaih (keupayaan suami melafazkan cerai) berdasarkan keterangan-keterangan yang diberi, Mahkamah berpuashati bahawa ketika Plaintif melafazkan cerai ke atas Defenden, Plaintif adalah seorang yang waras, berakal, biasa dan normal baligh dan melafazkan cerai dengan kerelaannya sendiri tanpa dipaksa.

Mahkamah berpuashati di dalam kes ini bahawa rukun-rukun perceraian telah dipenuhi oleh kedua-dua pihak. Perceraian ini adalah kali kedua bagi pasangan ini.Berkaitan isu ini mahkamah merujuk kepada beberapa ayat al-Quran, hadis rasulullah saw dan pendapat fuqaha-fuqaha seperti di bawah ini:-
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ وَلَا يَحِلُّ لَهُنَّ أَنْ يَكْتُمْنَ مَا خَلَقَ اللَّهُ فِي أَرْحَامِهِنَّ إِنْ كُنَّ يُؤْمِنَّ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلَاحًا وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (228)
Maksudnya: Dan isteri-isteri itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (daripada berkahwin) selama tiga kali suci dari haid. Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan dan tidak memberitahu tentang anak yang dijadikan Allah dalam kandungan mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk) isteri-isteri itu dalam masa eddah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka terhadap (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang perempuan (isterinya). Dan ingatlah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah Al- Baqarah: Ayat 228)

Dalam Surah yang sama dalam ayat 2 ada menyebut:-
Maksudnya: Dan Apabila kamu menceraikan isteri-isteri kamu kemudian mereka hamper habis tempoh eddahnya, maka boleh kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan Janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan maksud memberi mudharat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hokum itu ejek-ejekan dan permainan.

Manakala dalam Surah at-Talaq ayat 2 pula Allah berfirman:-

فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ فَارِقُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِنْكُمْ وَأَقِيمُوا الشَّهَادَةَ لِلَّهِ ذَلِكُمْ يُوعَظُ بِهِ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا (2
Maksudnya: Kemudian apabila mereka hampir habis tempoh eddahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan adakanlah dua (2) orang saksi yang adil antara kamu ( semasa kamu merujukkannya atau melepaskannya); dan hendaklah kau(yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hokum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkannya.

Keputusan
Diputuskan bahawa mahkamah ini memerintahkan seperti berikut:

4- Mahkamah mensabitkan bahawa berlaku perceraian di antara Plaintif dan Defenden di luar dan tanpa kebenaran Mahkamah pada 11hb Januari 2005 jam lebih kurang 11.45 malam dengan lafaz “Aku Ceraikan Kau Dengan Talak Tiga (3)” kali Pertama berjumlah tiga talak.

5- Mahkamah memerintahkan perceraian ini didaftarkan dan Surat Nikah No. Siri 112608 Bilangan Daftar 364/2002 dipulangkan kepada Pejabat Agama Islam Di Subang Jaya dan dibatalkan.

6- Mana-mana pihak yang tidak berpuashati dengan keputusan ini boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan dikeluarkan.


……...........…………………
Tandatangan Hakim
25.06.2005

No comments: