Friday, March 03, 2006

Nafkah Edah & Mutah

SURIAH BT. HASSAN

DAN

HAMZAH B. MOHD NOR

Dalam Mahkamah Rendah Syariah Di Klang, Selangor Darul Ehsan (Di hadapan Tuan Hakim Mohamed Fouzi Bin Mokhtar) Bertarikh pada 5 hb Mei 2004

KES MAL BIL. 1351-022-02 TAHUN 2000
DAN
KES MAL BIL. 1351-016-04 TAHUN 2000

Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 - Permohonan Nafkah Iddah dan Mutaah di bawah Seksyen 66 dan Seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 – Kedua –dua pihak tidak bersetuju jumlah nafkah iddah dan mutaah – Mahkamah menentukan mengikut kadar yang wajar pada pandangan Mahkamah – Bidangkuasa Mahkamah Rendah Syariah Selangor di bawah Seksyen 62 (2) (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003


Fakta Kes


Keputusan
Diputuskan bahawa mahkamah ini meluluskan permohonan Nafkah Iddah dan Mutaah Plaintif terhadap defendan seperti berikut:
1. Mahkamah memerintahkan defendan membayar nafkah eddah kepada plaintif sebanyak RM400.00 sebulan berjumlah RM1200.00 selama plaintif berada dalam tempoh iddah.

2. Bayaran hendaklah dibuat melalui bulan itu (april) dan ke hadapan sehingga selesai pembayaran.

3. Mahkamah memerintahkan defendan membayar kepada plaintif sebanyak RM5176.00 sebagai bayaran mutaah atau saguhati perceraian.

4. Bayaran hendaklah dibuat secara ansuran sebanyak RM300.00 sebulan secara tunai terus kepada plaintif pada setiap bulan sehingga selesai pembayaran mulai Ogos 2004.

Peguam Syarie
Puan Rozita Binti Shaikh Salleh (Tetuan Ros’aini Idris & Co) mewakili Plaintif
Defendan tidak diwakili Peguam Syarie

Surah Al-Quran Yang Dirujuk
Surah Al-Talaq, ayat 6
Surah A-Talaq, ayat 7
Surah Al-Baqarah ayat 236
Surah Al-Baqarah ayat 241
Surah al-Ahzab ayat 49

Hadis Yang Dirujuk
-Tiada -

Kitab Yang Dirujuk
Kitab Ghayah Wa Al-Taqrib, cetakan 1417 H / 1997 M, muka surat 34
Kitab Kifayah Al-Akhyar, muka surat 6 58
Kitab Kifayatul Akhyar, Juzuk 2 mukasurat 42
Kitab Mughni Al-Muhtaj, jilid 4 di halaman 399
Kitab Mughni al-Muhtaj, Jilid 4 di halaman 398
Kitab Qalyubi wa Umairah, Juzu’ 3 di dalaman 290-292
Kitab I’anah al-Talibin juzuk 3, muka surat 595-596
Kitab al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili , juzuk 1, muka surat 76-77

Undang –Undang Yang Dirujuk
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003
(Seksyen 4, Seksyen 45, Seksyen 66, Seksyen 58, Seksyen 60 dan Seksyen 62)
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003
(Seksyen 62 (2) (b) dan Seksyen 61 (3) (b))
Enakmen Keterangan Syariah (Negeri Selangor) 2003
(Seksyen 3, 17, 48, 49, 50, 73, 74, 75, 76 dan Seksyen 77)

Kes –Kes Yang Dirujuk
Sharifah Laila Bt Syed Shamdin lwn Abdul Latif Bin Arshad (1994) 9 bhg 1 J.H 16
Asiaamal lawan Abdul Jabar JH (1404H) 262
Tengku Anum Zaharah lawan Dato Dr. Hussien bin Mohamad Yusof (1980) 3 JH 125
Piah binti Said lawan Che Lah bin Awang PP (1982) 2 JH (3) 220

Alasan Penghakiman
Plaintif dan defendan telah berkahwin pada 21hb Ogos 1993 di Klang, Selangor Darul Ehsan dan dikurniakan 2 orang cahaya mata iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. Selepas bernikah, plaintif dan defendan telah tinggal di rumah ibu plaintifselama beberapa bulan, kemudian berpindah dan tinggal di rumah ibu dan bapa defendan sehingga tahun 1997. Kemudian plaintif dan defendan tinggal semula atau berpindah kembali dan tinggal di rumah ibu plaintif. Berdasarkan pengakuan, Plaintif dan defendan mengaku bahawa semasa dalam perkahwinan, tiada rumah kelamin khusus untuk mereka atau disediakan oleh Defendan.

Menurut Plaintif dan defendan, mereka bercerai kali pertama pada 28hb Mac 1999 dan telah rujuk semula pada 14hb April 1999. Kemudian defendan telah menceraikan plaintif untuk kali kedua pada 27hb Jun 1999 dan telah disahkan melalui permohonan plaintif dalam kes pengesahan cerai Kes Mal Bil 299/99. Semasa kes ini diputuskan, tiada sebarang keputusan berkaitan nafkah eddah dan mutaah dibuat atau diperintahkan oleh Mahkamah ini.

Selepas perceraian tersebut, Plaintif kini tinggal di alamat No. 14, Jalan 6, Pandamaran Jaya, 42000 Pelabuhan Klang, Selangor Ehsan. Oleh kerana tiada sebarang perintah dibuat dan Atas dasar itu, Plaintif telah memfailkan permohonan nafkah eddah dan mutaah melalui kedua-dua kes ini dan juga satu tuntutan harta sepencarian di Mahkamah ini. Namun, bagi permohonan harta sepencarian, Mahkamah telah memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di Shah Alam apabila Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Selangor 1989 telah dimansuhkan dan ianya digantikan dengan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang mana menurut Seksyen 62 (2) (b) Enakmen tersebut mahkamah ini tiada berbidangkuasa mendengar kes-kes berkaitan harta sepencarian.

Kedua-dua pihak diwakili oleh peguam – Peguam Syarie masing-masing iaitu Plaintif diwakili oleh Puan Rozita Bt Shaikh Salleh manakala Defendan diwakili oleh Dato’ Rashid Bin Asaari. Namun begitu, peguam defendan telah menarik diri ketika prosiding sampai ke tahap soal balas plaintif. Selepas itu defenden telah mewakili dirinya sendiri. Dalam kes ini, Kedua-dua pihak tidak mengemukakan saksi untuk menyokong permohonan atau pembelaan pihak-pihak. Berdasarkan penyata tuntutan, plaintif dan defendan memohon perkara berikut:-
1. Defendan membayar nafkah eddah kepada plaintif sebanyak RM800.00 sebulan, berjumlah RM2, 400.00 selama tempoh eddah.
2. Defenden membayar mutaah kepada plaintif sebanyak RM15, 000.00.
3. Kos guaman plaintif ditanggung oleh defendan.
4. Apa-apa relief atau perintah yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Permohonan kedua-dua kes ini telah difailkan secara berasingan oleh Plaintif. Namun Mahkamah telah memerintahkan prosiding perbicaraan kes ini disatukan bagi memudahkan dan menjimatkan masa mahkamah ini dan juga pihak-pihak yang terlibat di dalam kes ini. Oleh itu, mahkamah juga memutuskan Alasan Penghakiman dan keputusan kes ini dibuat dan dibacakan dalam satu prosiding dan disatukan seolah-olah permohonan ini dibuat dalam satu permohonan. Pada pendapat mahkamah adalah lebih baik jika mahkamah mengulas permohonan plaintif ini secara satu persatu dan berterusan sebelum mahkamah membuat keputusan dan ini bagi memudahkan mahkamah untuk memutuskan kes ini.

Bidangkuasa
Mahkamah bersetuju dengan hujah peguam Plaintif bahawa Mahkamah mempunyai bidangkuasa mendengar kes ini seterusnya memutuskan kes ini berdasarkan Seksyen 4 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukan:-
“Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya, Enakmen ini terpakai bagi semua orang Islam yang tinggal dalam Negeri Selangor dan bagi semua Orang Islam yang bermastautin dalam negeri selangor tetapi tinggal di luar Negeri itu.”

Seksyen 45 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukan:-
Kecuali sebagaimana diperuntukkan selainnya dengan nyata tiada apa-apa jua dalam Enakmen ini membolehkan mahkamah membuat sesuatu perintah perceraian atau perintah mengenai perceraian atau membenarkan seseorang suami melafazkan talaq kecuali :-
a)- jika perkahwinan itu telah didaftarkan atau disifatkan sebagai didaftarkan di bawah Enakmen ini;
b)- jika perkahwinan itu telah dilangsungkan mengikut hokum syarak; dan
c)- jika pemastautinan salah satu pihak kepada perkahwinan pada masa permohonan itu diserahkan adalah dalam negeri Selangor.

Dalam hal ini mahkamah merujuk kepada penggunaan Enakmen – Enakmen yang baru sahaja tanpa menyatakan peruntukan yang terkandung di dalam Enakmen lama memandangkan ianya telah dimansuhkan dengan Enakmen yang baru ini. Jika dirujuk Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984 (Pindaan 1988) maka peruntukan yang sama boleh dirujuk kepada Seksyen 4 dan Sesksyen 45 Enakmen tersebut. Apa yang membezakan hanya dari segi penyusunan ayat dan perkataan sahaja tetapi membawa maksud yang sama.

Mengenai pemastautinan, Plaintif telah memenuhi syarat yang diberikan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984 (Pindaan 1988). Mahkamah berpuashati Plaintif telah tinggal di alamat No. 14, Jalan 6, Pandamaran Jaya, 42000 Pelabuhan Klang, Selangor Darul Ehsan melalui Lampiran Kad Pengenalan Plaintif manakala Defendan di 23, Jalan 16 A, Pandamaran Jaya, 42000 Pelabuhan Klang, Selangor Darul Ehsan. Ianya jelas bahawa permohonan ini memenuhi kehendak Seksyen 45 (1) (C) EUUKIS 1984 yang hanya memerlukan pemastautinan satu pihak sahaja adalah di negeri Selangor. Seksyen 2 EUUKIS memperuntukkan “bermastautin” ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya dalam sesuatu kawasan yang tertentu.

Di dalam kes Sharifah Laila Bt Syed Shamdin lwn Abdul Latif Bin Arshad (1994) 9 bhg 1 J.H 16 Mahkamah Rayuan Syariah Selangor telah menyatakan bahawa perkataan mastautin seperti yang terdapat dalam Seksyen 2 enakmen tersebut hanya mensyaratkan seseorang itu tinggal tetap dalam suatu kawasan atau pada lazimnya tinggal di sesuatu kawasan, tidak disyaratkan hendaklah menjadi rakyat negeri di dalam kawasan ia berada. Berdasarkan peruntukan Seksyen 62 (2) (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang menyatakan bahawa
“Mahkamah Rendah Syariah hendaklah dalam bidangkuasa Mal, mendengar, dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi dibenarkan mendengar dan memutuskannya dalam mana jumlah atau nilai hal perkara yang dipertikaikan tidak melebihi seratus ribu ringgit atau yang tidak dapat di anggarkan dengan wang (tidak termasuk hadhanah dan harta sepencarian).”

Mahkamah merujuk pula Seksyen 61 (3) (b) Enakmen yang sama telah memperuntukkan:-
“Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah
(b) dalam bidangkuasa Malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan :
i- pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq) atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami dan isteri;
ii- ……………………………………….”

Dalam hal ini mahkamah merujuk kepada penggunaan Enakmen – Enakmen yang baru sahaja tanpa menyatakan peruntukan yang terkandung di dalam Enakmen lama memandangkan ianya telah dimansuhkan dengan Enakmen yang baru ini. Jika dirujuk Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Selangor 1989 (Pindaan 1992) maka peruntukan yang sama boleh dirujuk kepada Seksyen 43 (2) (b) bagi bidangkuasa Mahkamah Rendah Syariah dan Sesksyen 42 (2) (b) bagi bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah di dalam Enakmen tersebut. Apa yang membezakan hanya dari segi Seksyen, penyusunan ayat dan perkataan, penambahan perkataan sahaja tetapi membawa maksud yang sama.

Berdasarkan Seksyen 66 dan Seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 menyebut:-
66. “Seksyen 66 (1) – Hak bagi seseorang isteri yang telah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dahulu di bawah sesuatu perintah Mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat tempoh ‘iddah atau apabila isteri menjadi nusyuz.”
“Seksyen 66 (2) – Hak isteri yang diceraikan untuk menerima pemberiaan daripada bekas suaminya di bawah sesuatu perjanjian hendaklah terhenti di atas perkahwinan semula isteri itu.”

Manakala di dalam Seksyen 58 Enakmen tersebut ada menyatakan seperti berikut:-
58 Selain daripada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon muta’ah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah BOLEH, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuashati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut hukum syarak.”

Jika dirujuk Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984 (Pindaan 1988) maka peruntukan yang sama boleh dirujuk kepada Seksyen 66 dan Sesksyen 58 Enakmen tersebut. Apa yang membezakan hanya dari segi penyusunan ayat dan perkataan sahaja tetapi membawa maksud yang sama. Berdasarkan kesemua peruntukan-peruntukan di atas, secara jelas mahkamah ini diberikan kuasa untuk mendengar, membicara dan memutuskan kes ini apatah lagi ianya disokong oleh Peguam Syarie Pihak-Pihak yang tidak membantah permohonan ini didengar di hadapan Mahkamah ini. Dengan itu, Mahkamah berpendapat Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan ini.

Nafkah Eddah
Isu pertama, adalah berkaitan nafkah eddah. Sebagai jalan penyelesaian, mahkamah merujuk kepada beberapa ayat al-quran dan pendapat-pendapat berkaitan isu ini. Dalam kitab matan Abi Suja’ yang dinamakan Al-Ghayah Wa Al-Taqrib, cetakan 1417 H / 1997 M, muka surat 34 ada menyebut yang bermaksud:
“Bagi perempuan yang diceraikan dan ber’iddah dengan ‘iddah raj’ie adalah berkewajipan mendapat tempat tinggal dan nafkah.”

Allah S.W.T berfirman di dalam surah Al-Talaq, ayat 6 yang bermaksud:
أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنْتُمْ مِنْ وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ وَإِنْ كُنَّ أُولَاتِ حَمْلٍ فَأَنْفِقُوا عَلَيْهِنَّ حَتَّى يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآَتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ وَأْتَمِرُوا بَيْنَكُمْ بِمَعْرُوفٍ وَإِنْ تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَى (6)
“Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalankan ‘iddahnya) di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakitkan mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan kamu hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu)”

Seterusnya dalam ayat 7 surah A-Talaq, Allah S.W.T berfirman pula yang bermaksud:
لِيُنْفِقْ ذُو سَعَةٍ مِنْ سَعَتِهِ وَمَنْ قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنْفِقْ مِمَّا آَتَاهُ اللَّهُ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آَتَاهَا سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا (7)
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya, dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya sekadar yang mampu…”

Di dalam kitab Kifayah Al-Akhyar, muka surat 6 58, ada yang menyebut:-
ونفقة الزوجة الممكنة من نفسها واجبة وهى مقدرة, إدا كان الزوج موسرا فمدان من غالب قوتها ومن الأدم والكسوة ما جرت به العادة, وإن كان معسرا فمد وما يتأدم به المعسرون ويكتسونه, وإن كان متوسطا فمد ونصف ومن الأدم والكسوة الوسط.
bermaksud:
“Memberi belanja (nafkah) kepada isteri yang taat (yang menyerahkan dirinya kepada suaminya) adalah wajib, dan ianya mengikut kadar nilaian berikut, apabila si suami kaya di berikan sebanyak dua mud makanan yang biasa dimakan dan lauk pauk serta pakaian yang biasa mereka pakai;. Jika suami dari golongan menengah, kadar nafkah isteri ialah satu setengah mud makanan dan lauk pauk serta pakaian juga menurut kebiasaan golongan menengah”.

Manakala berdasarkan peruntukan Perundangan, Mahkamah merujuk kepada Seksyen 66 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2003 yang menyebut:-
“Seksyen 66 (1) – Hak bagi seseorang isteri yang telah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dahulu di bawah sesuatu perintah Mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat tempoh ‘iddah atau apabila isteri menjadi nusyuz.”
“Seksyen 66 (2) – Hak isteri yang diceraikan untuk menerima pemberiaan daripada bekas suaminya di bawah sesuatu perjanjian hendaklah terhenti di atas perkahwinan semula isteri itu.”

Manakala di dalam Seksyen 60 Enakmen yang sama pula menyebut :-
Seksyen 60 (1) – Tertakluk kepada Hukum Syarak Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.
Seksyen 60 (2) – Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu, antara lain –
a) apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya
b) apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya atau
c) apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain,
tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.
Seksyen 60 (3) – Selepas sahaja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz.
Selain itu, di dalam Seksyen 62 Enakmen yang sama pula ada menyatakan seperti berikut:-
Seksyen 62 – Pada menentukan jumlah sesuatu nafkah yang hendak dibayar, Mahkamah hendaklah mengasaskan pentaksirannya terutama sekali atas kemampuan dan keperluan pihak-pihak itu, dengan mengira kadar nafkah itu berbanding dengan pendapatan orang yang terhadapnya perintah itu dibuat.

Mahkamah juga merujuk di dalam kes rujukan Asiaamal lawan Abdul Jabar JH (1404H) 262 Yang Arif Hj Harussaini bin Zakaria, Kadhi Besar Pulau Pinang telah memerintahkan defendan membayar nafkah eddah kepada plaintif sebanyak RM270.00. Di dalam kes ini, Plaintif telah diceraikan oleh defendan, dalam keputusannya Yang Arif Kadhi Besar berkata, alasan tidak mampu kerana gaji atau pendapatan yang kecil tidak boleh menolak atau mengenepikan tanggapan nafkah kepada plaintif oleh defendan.

Berbalik semula kepada kes ini, defendan mendakwa bahawa plaintif telah nusyuz kerana telah pulang ke rumah ibunya tanpa izin Defendan, yang mana menjadi punca utama kepada berlaku defendan melafazkan cerai kepada plaintif. Namun dakwaan defenden itu tidak dibuktikan dengan pembuktian yang jelas dan kukuh atau dikemukakan tanpa sebarang bukti. Oleh itu, Mahkamah berpendapat dakwaan defendan itu adalah wajar ditolak.

Pada pendapat mahkamah, nafkah eddah plaintif itu adalah nafkah yang perlu diberi oleh defendan selama plaintif dalam tempoh eddah selepas diceraikan defenden. Nafkah itu meliputi bayaran makan, minum, pakaian, ubatan dan juga tempat tinggal. Seharusnya bagi plaintif untuk membuktikan perbelanjaan yang plaintif telah keluarkan sepanjang eddah atas tujuan di atas bagi memudahkan pembuktian di mahkamah di buat. Mahkamah berpegang pada konsep asas perundangan iaitu:-
“ البينة على المدعى واليمين على من انكر "

Dalam permohonan ini, plaintif memohon eddah sebanyak RM800.00 sebulan dan RM2400.00 selama Plaintif berada dalam tempoh edaah, namun sepanjang perbicaraan Plaintif tidak membuktikan dengan jelas perbelanjaan yang telah digunakan untuk menyara dirinya disepanjang tempoh eddahnya itu. Apa yang dinyatakan oleh plaintif hanyalah jumlah sebanyak RM800.00 itu digunakan untuk semua keperluan di atas. Adalah tidak munasabah untuk mahkamah ini menimbangkan permohonan Plaintif dengan seadilnya jika itu sahaja bukti yang diberikan oleh plaintif kepada Mahkamah tanpa sebarang pembuktian melalui Dokumen atau saksi dipanggil bagi menguatkan hujjah Plaintif berkaitan perbelanjaan Plaintif sepanjang tempoh eddah itu.

Manakala defendan perlu menegaskan bahawa Defendan tidak bersetuju dan tidak mampu membayar nafkah eddah yang dituntut oleh plaintif. Defenden menegaskan bahawa Defendan hanya mampu membayar sebanyak RM200.00 sebulan dan RM600.00 selama Plaitif berada dalam tempoh eddah. Ketidak mampuan defenden tersebut berasaskan kepada alasan Defendan terpaksa membayar ansurans bulanan sebuah kereta Jenis Wira sebanyak RM662.50, ansurans bulanan rumah yang dibeli sebanyak RM365.00, nafkah anak sebanyak RM300.00 dan wang perbelanjaan ibu dan bapa sebanyak RM150.00. Manakala semasa keterangan, defendan ada menyebut bahawa Defendan juga pelu menjelaskan bayaran bil-bil sebanyak RM100.00.

Ketiga-tiga bayaran pertama iaitu kereta, rumah dan nafkah anak pada pendapat mahkamah boleh dipercayai berdasarkan dokumen yang di tender kepada mahkamah dan ianya juga tidak dibantah oleh plaintif pada mana-mana peringkat. Manakala bayaran nafkah anak itu telah disahkan sendiri oleh plaintif walaupun jumlahnya tidak cukup seperti diperintahkan oleh mahkamah. Pada Pendapat Mahkamah, jika Plaintif masih mahu menuntut kembali jumlah yang masih tidak dibayar oleh Defendan, Plaintif boleh memohon tunggakan nafkah anak atau permohonan lain yang sesuai di Mahkamah ini secara berasingan kemudian

Bagi dua jenis perbelanjaan terakhir itu iaitu bayaran bil-bil dan bayaran kepada ibu dan bapa Defendan, adalah diragui walaupun berkemungkinan benar kerana dakwaan itu tidak disahkan dengan bukti sama ada secara dokumen mahupun kedua ibu bapa defendan yang terima wang tersebut dipanggil menjadi saksi defendan. Oleh itu, adalah sukar untuk mahkamah menerima alasan defendan tersebut dan dakwaan defendan tersebut wajar ditolak.

Dalam penentuan jumlah nafkah eddah, ianya ditentukan berasaskan kepada keperluan dan kemampuan pihak-pihak namun, di dalam kes ini kedua-dua perkara itu tidak dibuktikan dengan jelas kepada mahkamah. Oleh itu, sebagai jalan penyelesaian Mahkamah berpendapat adalah wajib mahkamah menentukan jumlah nafkah iddah tersebut berdasarkan jumlah yang dirasakan oleh mahkamah ini sebagai satu jumlah yang wajar.

Perkara pertama yang dinilai oleh mahkamah ini selepas dua perkara di atas adalah taraf kehidupan plaintif dan defendan semasa bersama pada pendapat mahkamah plaintif dan defendan adalah orang awam yang sederhana tidak kaya dan tidak susah (miskin) walaupun tidak tinggal dirumah kelamin khususnya. Plaintif bekerja sebagai Operator Pengeluaran dan manakala defendan pula ketika itu sebagai seorang Penyelia. Oleh itu, kehidupan Plaintif dan Defendan ketika bersama sebagai suami isteri tidak boleh dikategorikan sebagai golongan kaya atau berada. Jika taraf hidup sederhana sudah tentu cara perbelanjaan yang digunakan adalah sederhana dan tidak bermewah-mewah seperti orang berada.

Dalam tempoh eddah, plaintif tinggal di Pelabuhan Klang bersama ibunya dan sebagai orang awam yang sederhana, boleh dikatakan perbelanjaan makan dan minum harian adalah seperti berikut:-
1. Pagi : RM2.00
2. Tengahari : RM5.00
3. Malam : RM3.00

Itu adalah kerana Plaintif tinggal di kawasan Lembah Klang yang mana boleh dikatakan segala perkara dan benda memerlukan belanja yang tinga kerana harga barangan kini agak tinggi dan mahal. Perbelanjaan tersebut tidak termasuk kos tempat tinggal Plaintif, ubat-ubatan dan lain-lain perbelajaan seharian Plaintif. Oleh kerana Plaintif tidak menyatakan dan membuktikan secara khusus keperluan semasa Plaintif berada dalam eddah, mahkamah hanya mengandaikan perbelanjaan Plaintif berdasarkan andaian Mahkamah seperti di atas. Selain itu, Mahkamah berasakan adalah perlu bagi Defendan untuk menanggung kos perbelanjaan bagi keperluan Plaintif untuk lain-lain perkara seperti yang dinyatakan di atas sebanyak RM100 sebagai tambahan dan itu setelah mengambil kira Plaintif tinggal bersama ibunya dan perkara yang sama berlaku semasa belum bercerai dengan plaintif.

Mahkamah merasakan jumlah ini merupakan satu jumlah yang wajar yang mana ia tidaklah membebankan Defendan dan juga bersesuaian dengan status Plaintif dan Defendan sebagai orang awam yang mempunyai kehidupan yang serba sederhana dan tidak tergolong dalam golomngan orang yang berada atau kaya.

Mutaah.
Isu kedua adalah permohonan Plaintif untuk mendapatkan mutaah daripada Defendan. Sebelum mahkamah mengulas lanjut, adalah wajib mahkamah rujuk kepada nas-nas atau pendapat yang muktabar berkaitan mutaah ini, antaranya:-

Di dalam Kitab Kifayatul Akhyar, Juzuk 2 mukasurat 42 yang ada menyebut
المتعه وهى اسم للمال الدى يدفعه الرجل إلى امرأته لمفارقته إياها
yang bermaksud: “Mutaah ialah nama bagi harta yang dibayar atau diberikan oleh seseorang lelaki kepada isteri disebabkan oleh perpisahan dengan perempuan itu. Dan setiap perpisahan daripada atau dari orang luar sama hukumnya dengan talak seperti saling bertuduhan berzina atau bapa si suami atau anaknya”.

Dalam surah Al-Baqarah (2) ayat 236 yang berbunyi:-

لَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِنْ طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ مَا لَمْ تَمَسُّوهُنَّ أَوْ تَفْرِضُوا لَهُنَّ فَرِيضَةً وَمَتِّعُوهُنَّ عَلَى الْمُوسِعِ قَدَرُهُ وَعَلَى الْمُقْتِرِ قَدَرُهُ مَتَاعًا بِالْمَعْرُوفِ حَقًّا عَلَى الْمُحْسِنِينَ (236)
Maksudnya: “ Tiadalah kamu berdosa jika kamu menceraikan isteri kamu sebelum mereka itu kamu sentuh atau sebelum kamu tetapkan maskahwin untuk mereka. Berilah mereka mutaah, orang kaya secara kekayaannya dan orang miskin secara kemiskinannya iaitu pemberian menurut yang patut sebagai kewajipan bagi orang-orang yang berbuat kebaikkan”.
Dalam ayat ini terkandung beberapa hukuman di antaranya:-
1- Jika seseorang itu mengahwini seseorang perempuan tetapi belum lagi ditentukan mas kahwinnya, maka sahlah nikahnya. Kemudian apabila diceraikan sebelum disetubuhi, maka wajiblah ia memberi mutaah.
2- Perempuan yang dicerai sesudah disentuh tiada baginya mutaah tetapi dengan sendirinya ia berhak menuntut sepenuh mahar mithli. Walaupun begitu, mengikut pendapat Al-Syafi’e yang muktabar, sekalipun isteri telah diberi mahar atau maskahwin, apabila diceraikan, maka wajiblah juga diberi mutaahnya. Ini berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud: “Perempuan –perempuan yang diceraikan itu berhak mendapat kegembiraan (mutaah) dari suami secara patut sebagai kewajipan atas orang yang bertaqwa”. Surah Al-Baqarah (2): 241.

Ayat ini secara am menerangkan hukum mutaah kepada perempuan yang diceraikan, sama ada sudah disentuh atau belum disentuh, mutaah itu menjadi haknya dan menjadi kewajipannya kepada orang-orang yang taqwa untuk menunaikannya. Dengan ayat ini, sesetengah ulama’ berpendapat bahawa mutaah wajib bagi perempuan yang diceraikan, sama ada belum disentuh atau telah disentuh dan ini adalah satu pendapat al-Syafi’e (rujuk Tafsir Ahkam al-Quran al-Azim oleh Ibnu Kathir, Juzu’ 1 di halaman 297).

Pendapat ini juga selari dengan pendapat yang telah dikemukakan oleh Yang Arif Kadhi Besar Wilayah Persekutuan, Sheikh Ghazali Bin Abd Rahman dalam penghakimannya di dalam kes Yang Chik lwn Abd. Jamal (1986) 6 JH 146. Di Dalam Kitab Mughni Al-Muhtaj, jilid 4 di halaman 399, menyebut :-
فإن تنازعا قدره القاضى بنظره معتبرا حالهما
yang bermaksud: “Sekiranya tidak mendapat kata sepakat tentang kadar mutaah, maka kadilah yang akan menentukan. “

Dalam kes ini, diputuskan bahawa Mahkamah berpendapat dan memutuskan bahawa Plaintif berhak mendapat mutaah daripada Defendan. Ini adalah berdasarkan kepada pendapat di dalam Kitab Mughni al-Muhtaj, Jilid 4 di halaman 398 yang berbunyi :-
لمطلقة قبل وطء متعة إن لم يجب شطر مهر وكدا لموطوءة فى الأظهر, وفرقة لا بسببها كطلاق,
Maksudnya : “Mutaah bagi perempuan yang diceraikan sebelum disentuh sekiranya tidak diberi setengah mahar, begitu juga bagi perempuan –perempuan yang telah disentuh mengikut pendapat yang azhar dan penceraian bukanlah disebabkan oleh isteri seperti fasakh nikah oleh pihak isteri terhadap suaminya”.

Dalam menghuraikan ayat ini, Prof. Dr. Hamka, melalui tafsir al-Azhar telah menyebut dengan panjang lebar bahawa, “Ayat ini untuk menjelaskan lagi. Sebab pada ayat 236 sudah diterangkan bahawa perempuan yang ditalaq sebelum sebelum disentuh (disetubuhi), ataupun mahar belum dibayar, supaya diberi ubat hati kerana bercerai. Ini sudah terang. Tetapi dengan ayat ini diterangkan lagi yang tadi belum diterangkan. Iaitu segala isteri yang diceraikan, bukan saja yang belum disentuh, hendaklah diberi juga pengubat hati jika dia diceraikan. Iaitu menurut berapa patutnya wang, barang, emas, perak atau rumah lengkap dengan isinya”. Di dalam Surah al-Ahzab : ayat 49 ada menyebut yang bebunyi:-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِذَا نَكَحْتُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِنْ قَبْلِ أَنْ تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا فَمَتِّعُوهُنَّ وَسَرِّحُوهُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا (49)
Maksudnya: Wahai orang-orang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang eddah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah mutaah (pemberiaan saguhati) kepada mereka dan lepaskan mereka denagn cara sebaik-baiknya”.

Di dalam Tafsir al-Manar oleh Prof Dr Hamka ada menyebutkan cerita bahawa Sayyidina Hassan bin Ali bin Abi Talib pernah memberikan wang pengubat hati isteri yang diceraikan 10,000 dirham, diiringi dengan kata terharu, “Hanya sedikit kiriman dari kekasih yang terpaksa berpisah”. Disebutkan juga bahawa beliau di dalam penceraian yang lain pernah mengirimkan wang ubat hati 20,000 dirham. Dalam Kitab Sahihnya, Iman Bukhari menyebut mengenai hadis berkenaan dengan mutaah yang diberi oleh seorang suami kepada isteri yang diceraikan di mana mas kahwinnya belum ditetapkan dan beliau merujuk kepada Surah al Baqarah (2): 236 dan Surah al-Baqarah (2): 241. Beliau menambah bahawa Nabi Muhammad s.a.w tidak menyebut bahawa hadiah hendak diberi kepada seorang perempuan yang diceraikan oleh suaminya selepas diadakan kes li’an . (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Talaq)

Mengenai hikmah mutaah, Prof Dr. Hamka berkata :
“Adapun hikmahnya ialah supaya penceraian jangan menimbulkan bisik desus, gunjing dan umpat. Dan menjadi tanda bahawa si laki-laki adalah seorang yanghalus perasan tidak membiarkan janda nda terlantar sesudah bercerai, sampai dia mendapat suami lain, atau jangan ia selama tinggal dengan orang tuanya menjadi beban berat kepad aorang tuanya. “ (Tafsir al-Manar, Jilid 1 di halaman 259)

Menurut nas di dalam Kitab Qalyubi wa Umairah, Juzu’ 3 di dalaman 290-292 yang berbunyi:-
...... وشرعامال يجب على الزوج لمفارقة بشروط وفى حاشية شيخنا ......وفرقة لا بسببها كردةه وإسلامه ....ويستحب أن لآ تنقص المتعه عن ثلاثين درهما وأن تزاد على خادم فلا حد للواجب....... فإن تنازعا قدرها القاضى بنظره أى إجتهاده معتبرا حالهما أى يسار الزوج وإعساره ونسب الزوجة وصفاتها,
Maksudnya: dan dari segi syara’ mutaah adalah harta yang wajib ke atas suami kerana mencuai dengan memenuhi syarat-syarat. Dan perpisahan bukan kerana sebab isteri seperti suami menjadi murtad atau masuk Islam. Adalah hak mutaah tidak kurang daripada 30 dirham dan kadar itu tidak boleh melebihi ke atas suami yang hamba, tetapi tidak ada had bagi kadar wajib. Kesimpulannya, maka jika bertelingkah Kadi akan takdirkan mengikut pandangan dan ijtihad dengan mengambil kira kedua suami isteri senang susah isteri, senang susah suami dan keterunan isteri dan sifatnya.
Di dalam kitab I’anah al-Talibin juzuk 3, muka surat 595-596 ada menyebut:-
تجب عليه لزوجة موطوءة ولو أمة متعة بفراق بغير سببها وبغير موت أحدهما
yang bermaksud : “Suami wajib memberi mutaah kepada isterinya yang telah disetubuhi walaupun isterinya itu seorang hamba, oleh kerana berlakunya penceraian yang bukannya berpunca daripafda isteri dan bukan juga disebabkan mati seorang sumai isteri itu “.

Manakala di dalam Seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 ada menyatakan seperti berikut:-
58 Selain daripada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon muta’ah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah BOLEH, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuashati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut hukum syarak.”

Berbalik kepada kes ini, berdasarkan dokumen-dokumen yang dilampirkan dan pengakuan defendan sendiri, mahkamah berpuas hati bahawa penceraian yang berlaku di antara plaintif dan defendan bukanlah disebabkan oleh plaintif, malah plaintif telah diceraikan tanpa sebab yang patut. Plaintif diceraikan sebanyak dua kali, kedua-duanya diluar mahkamah. Kali pertama plaintif diceraikan pada 28hb Mac 1999 dan kemudian defendan rujuk kembali pada 14hb April 1999. Namun sekali lagi pada 27hb Jun 1999 plaintif diceraikan pada kali kedua diluar mahkamah. Apa yang lebih menyedihkan, plaintif diceraikan hanya disebabkan plaintif pulang kerumah ibu plaintif bersama anak-anak dan ketika itu defendan berada di Singapura dan plaintif telah memaklumkan kepada ibu defendan, apabila defendan balik, defendan telah pergi ke rumah defendan dan menceraikan isterinya.

Pada pendapat mahkamah, benar atau tidak cerita itu, sepatutnya penceraian hanya berlaku dengan izin mahkamah dan sebagai jalan terakhir kepada pasangan suami isteri yang gagal menemui jalan perdamaian. Ianya tidak boleh dilafazkan sewenang-wenangnya sepertimana yang dilakukan oleh defendan terhadap Plaintif yang mana Defendan telah melafazkan cerai dengan sesuka hati sebanyak 2 kali. Walaupun defendan mendakwa plaintif nusyuz kerana telah keluar rumah tanpa izin defendan, namun itu tidak membuktikan bahawa Plaintif telah nusyuz, apatah lagi tidak dibuktikan plaintif ada atau pernah diisytiharkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah. Pendapat itu selari dengan pendapat Yang Arif Kadhi Besar dalam kes rujukan, Tengku Anum Zaharah lawan Dato Dr. Hussien bin Mohamad Yusof (1980) 3 JH 125. Bahkan, walaupun plaintif diisytiharkan nusyuz oleh mahkamah, plaintif tetap berhak terhadap mutaah itu selari dengan pendapat Yang Arif Hakim Bicara dalam kes rujukan Piah binti Said lawan Che Lah bin Awang PP (1982) 2 JH (3) 220.

Sebelum kes itu dibicarakan, defendan menawarkan mutaah sebanyak RM3000.00 dan bayaran nafkah eddah sebanyak RM200.00, namun itu telah ditolak oleh defendan sendiri yang tidak bersetuju dengan jumlah yang dicadangkan plaintif. Defendan pula menegaskan bayaran mutaah RM15,000 adalah tidak berbaloi, walaupun pada hakikatnya bersetuju bahawa plaintif berhak menerima mutaah. Walaupun begitu, jika berlaku pertelingkahan dalam menentukan kadar mutaah antara dua pihak, mengikut hukum syarak, hakim hendaklah menentukan kadar mutaah tersebut berpandukan kepada kedua-dua belah pihak semasa penceraian berlaku, dengan melihat kepada kesenangan dan kesusahan pihak suami, serta keturunan dan sifat isteri. Adalah menjadi tugas mahkamah dalam menentukan kadar mutaah yang sesuai dengan melihat dari sudut-sudut berikut:
1) Kesenangan
2) Keturunan
3) Kesusahan suami
4) Sifat-sifat isteri
Keempat-empat kriteria ini telah disebut di dalam kitab I’anah al-Talibin, juzuk 3, muka surat 595 yang berbunyi:-
فإن تنازعا قدرها القاضى بقدر حالهما من يساره وإعساره ونسبها وصفتها
Yang bermaksud: “Sekiranya berlaku perselisihan mengenai kadar mutaah yang patut dibayar oleh suami kepada isterinya, maka hakim hendaklah bertindak sebagai penentu kadar mutaah itu berdasarkan kriteria-kriteria berikut, kesenangan suami, kesusahan suami, keturunan isteri dan sifat isteri itu”.

Sebagai contoh dalam kes Tengku Anum Zahrah binti Tengku Abdul Hamid lawan Dato Dr Hussien bin Mohd Yusof 125 JH 3 (1980 ). Adalah dihujahkan mengenai mutaah dan kadarnya dengan plaintif merujuk kepada Hasan bin Ali bin Abi Talib. Semasa menjadi khalifah, beliau telah menceraikan isterinya dan memberi 10 ribu dinar sebagai mutaah dan dihujahkan juga dalam kes ini, tidak menjadi kepayahan kepada mahkamah meluluskan wang mutaah kepada plaintif sebanyak RM25,200.00 berdasarkan status defendan seorang yang ada kemampuan dan keupayaan. Berbalik dalam kes plaintif itu, mahkamah mendapati defendan bukanlah orang yang kaya dan mewah sekadar seorang yang senang serta sederhana, berasaskan pengakuan defendan, defendan mempunyai sebuah rumah yang dibeli:-
I. Blok L120, Blok Cempaka, Persiaran Bukit Raja, Bandar Baru Klang, Klang, Selangor.
II. Kereta Wira Jenis 1.5 CC
III. Plaintif bekerja sebagai Ware House Executive dengan pendapatan kasar RM1,800.00 berdasarkan penyata slip gaji September 2003 dan tambahan pendapatan dari rumah sewa sebanyak RM350.00.

Keadaan hidup plaintif dan Defendan berdasarkan apa yang dinyatakan kepada oleh kedua-dua pihak adalah sederhana sahaja. Defendan telah berkahwin lain selepas bercerai dengan Plaintif, selain keluarga barunya itu, Defendan masih menanggung nafkah anak-anak hasil perkahwinan dengan Plaintif. Manakala Plaintif mendakwa, defendan ada membeli sebuah rumah bernilai RM200,000.00 namun ianya diragui kerana tidak dibuktikan dengan jelas rumah yang mana satu dan juga kewujudan rumah tersebut. Begitu juga dakwaan wujud sebuah kedai kek di atas nama defendan atau kepunyaan defendan tidak dibuktikan secara jelas.

Manakala dari sudut sifat dan sikap Plaintif pula, Plaintif sanggup bersama defendan selama 6 tahun sebagaimana yang dipersetujui plaintif dan defendan dalam keterangan masing-masing walaupun terpaksa tinggal dengan ibu bapa sendiri pada suatu masa dan ibu bapa mertua pada masa yang lain dan selalu berpindah - randah bersama-sama Defendan dalam mengharungi alam perkahwinan. Berpindah-randah dalam tempoh 6 tahun bukan satu jangkamasa yang pendek. Pengorbanan Plaintif tersebut telah menunjukkan sifat Plaintif yang sejelasnya kepada Mahkamah ini. Amat jarang berlaku pasangan berkahwin tidak mempunyai rumah kelamin sendiri yang berasingan dengan ibu bapa. Jika ada sekalipun, seperti kes plaintif dan defendan ini, ia adalah kes-kes terpencil.

Tindakan Plaintif yang sanggup bersusah payah bersama suami selama enam tahun hidup berpindah randah tanpa rumah kelamin menunjukkan sifat plaintif sebagai isteri. Apatah lagi plaintif sanggup menerima defendan walaupun ada dakwaan bahawa defendan mempunyai hubungan dengan perempuan-perempuan lain walaupun tidak dibuktikan, namun defendan sendiri tidak menafikan sepenuhnya dakwaan itu. Mengikut undang-undang dalam penentuan kadar mutaah kepada isteri adalah mengikut kewajaran yang patut. Walaubagaimanapun, jika dibuat berdasarkan hukum syarak, kadar mutaah adalah tidak kurang dari 30 dirham. Kaedah itu dinyatakan dalam dalam kitab I’anah al-Talibin, juzuk 3, mula surat 357 ada menyebut menyebut:-
ويسن أن لا ينقص عن ثلاثين درهما
bermaksud: “Sunat kadar mutaah itu tidak kurang dari tiga puluh dirham”

Menurut kitab al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili , juzuk 1, cetakan ketiga, 1409H / 1989M, muka surat 76-77 ada menyebut bahawa, 10 dirham ialah tujuh mithqal emas. Mithqal yang biasa ialah 4.80 dirham. Jika 30 dirham bersamaan (30/10 X 7 X 4.80 ) 100.8 gram emas. Jadi ianya didasarkan kepada nilaian emas di pasaran tempatan pada masa ini. Untuk mendapatkan nilai dalam bentuk ringgit Malaysia (RM), ia perlu didarabkan dengan pertukaran emas semasa di pasaran tempatan.

Berdasarkan akhbar The Star bertarikh 21hb April 2004 muka surat 13, 1 gram emas berharga atau bernilai RM48.96 pergram. Oleh itu jika didarabkan 100.8 gram X 51.35 = RM 5176. 00. Berdasarkan perkiraan mahkamah, ini bermakna 30 dirham emas berjumlah RM 4935. 20 mengikut penelitian harga emas semasa atau bersamaan dengan 30 dirham iaitu kadar yang disunatkan dalam pemberian mutaah. Kaedah pengiraan ini atau jumlah yang diperolehi ini adalah berdasarkan kadar mutaah yang paling minima diterangkan oleh hukum syarak. Bahkan kadar tidak kurang 30 dirham itu adalah disunatkan oleh hokum syarak untuk memberi mutaah seperti dinyatakan di atas.
Berdasarkan penelitian mahkamah terhadap tahap kesenangan dan kesusahan defenden dan juga penelitian kepada keturunan dan sifat Plaintif itu sendiri secara umum serta berdasarkan pemerhatian mahkamah sendiri sepanjang perbicaraan walaupun tidak secara khusus dan mendalam jumlah yang bakal diputuskan oleh mahkamah ini adalah wajar dan berdasarkan kemampuan Defendan. Sesudah mahkamah mengambil kira kadar kiraan di atas, mahkamah berpuas hati bahawa jumlah itu adalah wajar untuk mahkamah tetapkan sebagai kadar bayaran mutaah kepada plaintif oleh defenden. Ini berasaskan bahawa jumlah yang ditetapkan oleh mahakamah itu adalah jumlah yang wajar dan tidak akan membebankan plaintif dengan jumlah pendapatan kasar RM2400.00 sebulan, termasuk bayaran rumah sewa dan elaun kereta. Mengapa mahkamah menggunakan anggaran kasar adalah disebabkan jumlah perbelanjaan defenden tidak dapat dibuktikan dengan jelas, hanya yang dibuktikan pada mahakamah iaitu:
I. Insurans kereta RM 662.80
II. Nafkah anak RM 300.00
III. Duit rumah RM 365.00
RM1327.80
Walaubagaimanapun, jumlah itu ditetapkan setelah mahkamah turut mengambil kira tuntutan plaintif sebanyak RM15, 000 yang pada mahkamah adalah tidak munasabah, berdasarkan pendapatan dan kemampuan defendan. Plaintif sendiri juga gagal membuktikan kemampuan sepenuhnya atau pembuktian berkaitan harta defendan yang ada. Hanya dengan pembuktian jelas dan benar sahaja dapat membantu mahkamah membuat keputusan yang adil dan saksama.

Suka mahkamah ingatkan, mahkamah juga BOLEHLAH dianggap orang buta yang tidak tahu apa yang bakal dilalui dihadapannya. Lazimnya, orang buta perlu kepada bantuan seperti tongkat atau orang lain untuk membimbing orang buta menuju tempat yang dihajati atau sampai ke tempat yang dituju, jika orang buta itu mahkamah, maka tongkat itu atau orang yang membantu itu adalah tuan-tuan, puan-puan, para Peguam Syarie dan juga pihak-pihak yang bertikai yang mana mereka ini bertanggungjawab membantu mahkamah sehingga buat keputusan yang adil.

Pembuktian amatlah diperlukan oleh Mahkamah bagi menentukan sama ada satu-satu dakwaan itu atau pertuduhan itu benar atau tidak. Mahkamah hanya memutuskan berdasarkan keterangan yang ada sahaja dan Hakim Bicara tidak akan pergi lebih jauh dari itu. Sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w yang berbunyi :
امرت أن أحكم بالظواهر والله يتولى بالسرائر
Maksudnya: “Sesungguhnya aku menghukum mengikut bukti-bukti zahir dan Allah akan mentadbir perkara yang tersembunyi.”



Keputusan :-
Berdasarkan hujah-hujah di atas mahkamah memerintahkan seperti berikut:

i- Mahkamah memerintahkan defendan membayar nafkah eddah kepada plaintif sebanyak RM400.00 sebulan berjumlah RM1200.00 selama plaintif berada dalam tempoh iddah.
ii- Bayaran hendaklah dibuat melalui bulan itu (april) dan kehadapan sehingga selesai pembayaran.
iii- Mahkamah memerintahkan defendan membayar kepada plaintif sebanyak RM5176.00 sebagai bayaran mutaah atau saguhati perceraian.
iv- Bayaran hendaklah dibuat secara ansuran sebanyak RM300.00 sebulan secara tunai terus kepada plaintif pada setiap bulan sehingga selesai pembayaran mulai Ogos 2004.
v- Kos ditanggung oleh pihak – pihak.
vi- Mana-mana pihak yang tidak berpuashati dengan keputusan ini boleh mengemukakan notis rayuan dalam tempoh 14 hari, bermula dari tarikh keputusan ini dibacakan.


………………….……………………
Tandatangan Hakim
05.05.2004
















Alasan Penghakiman ini telah disediakan oleh Tuan Hakim Mohamed Fouzi Bin Mokhtar, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Klang yang beralamat di Tingkat 1, Bangunan Pejabat Agama Islam Daerah Klang, Jalan Dato’ Hamzah, 41000 Klang, Selangor Darul Ehsan.

2 comments:

Unknown said...

Sy nk tanya sy br bcrai kali kedua dgn suami y same.. Kalau sy nak tuntut mutaah dia akn kira perkahwinan pertama atau kdua..

Unknown said...

sy nk bertaya sy baru bcerai dan isteri tuntut nafkah anak,nafkah eddah dan nafkah mutaah.kesemua yg d tuntut sy xmampu memberi kerana hutang keliling pinggang semase kami bersama.Naskah anak yg d tuntut 1300 sbulan nafkah iddah 3ribu utk 3bulan dan mutaah 20ribu.Sy xmampu nk memberi semua ni kerana sy byk hutang semase besame dgn bekas istri.Ade ke care utk sy tidak memberi ape2 yg d mtk.Harap tuan dpt membantu sy