Friday, March 03, 2006

Pengesahan Cerai & Rujuk

SUZANA BINTI ZAINUDIN PLAINTIF

LAWAN

ROSMAN BIN SALIM DEFENDAN


Dalam Mahkamah Rendah Syariah Di Shah Alam (Di hadapan Tuan Hakim Mohamed Fouzi Bin Mokhtar) Bertarikh pada 7 hb Mac 2003

KES MAL BIL: 100012-O54-212/2002

Isu / Abstrak
Kes di bawah Seksyen 45 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984 (Pindaan 1988) - Pengesahan Lafaz Cerai di Luar Mahkamah Oleh Plaintif- Samada Rujuk Sah-Isteri tidak bersetuju dengan ruju’ suami

Fakta Kes
Plaintif dan Defendan dalam kes ini telah berkahwin pada 20hb Ogos 1993 di Ipoh, Perak Darul Ridzuan berwalikan bapa Plaintif. Hasil Perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan 3 orang cahaya mata iaitu 2 lelaki dan seorang perempuan. Perkahwinan ini adalah perkahwinan kali Pertama bagi Plaintif dan Defendan. Pada 4 hb Oktober 2001 jam lebih kurang 11.45 malam hingga 12.00 tengah malam Defendan telah melafazkan cerai terhadap Plaintif dengan lafaz “Saya Rosman Bin Salim Dengan Ini Menceraikan Kamu Suzana Binti Zainuddin dengan Talaq Satu (1)”. Kejadian ini telah berlaku di sebuah rumah yang beralamat No. 36, SS19/1F, Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan. Menurut keterangan kedua – dua pihak pada 15hb November 2002, Plaintif mengakui ada mendengar lafaz cerai tersebut dan Plaintif berada dalam keadaan suci dan tidak mengandung. Selain Plaintif, ada tiga (3) orang saksi lain yang menyaksikan dan mendengar lafaz cerai tersebut iaitu 1) Sulaiman Bin Abd. Manap, 2), Puan Wahibah Binti Ghazali dan 3) Hafiz Bin Sulaiman.

Keputusan
Diputuskan bahawa mahkamah ini meluluskan permohonan Nafkah Iddah dan Mutaah Plaintif terhadap defendan seperti berikut:

1- Mahkamah mensabitkan bahawa berlaku perceraian di antara Plaintif dan Defenden di luar dan tanpa kebenaran Mahkamah pada 2hb Mac 1997 kali Pertama berjumlah satu talak.
2- Mahkamah memerintahkan ruju’ yang berlaku pada 17hb Mac 1997 hendaklah didaftarkan di Pejabat Agama Islam Di Subang Jaya.

3- Mahkamah mensabitkan bahawa berlaku perceraian di antara Plaintif dan Defenden di luar dan tanpa kebenaran Mahkamah pada 4hb November 2001 pada jam 12.00 tengah dengan lafaz Saya Rosman Bin Salim Dengan Ini Menceraikan Suzana Zainudin Dengan Talak Satu kali Kedua berjumlah Dua talak.
4- Mahkamah perintahkan perceraian ini didaftarkan dan Surat Nikah No. Siri 1630 Bilangan Daftar 153/1993 dipulangkan kepada Pejabat Agama Islam Di Subang Jaya dan dibatalkan.
5- Mahkamah memerintahkan ruju’ yang berlaku pada 4 hb November 2001 iaitu selepas sebulan lafaz cerai bertarikh 4 hb Oktober 2001 hendaklah dilaporkan dan daftarkan di Pejabat Agama Islam Di Subang Jaya.
6- Mana-mana pihak yang tidak berpuashati dengan keputusan ini boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan dikeluarkan.

Peguam Syarie
Encik Musa Bin Awang (Tetuan Musa Awang & Associates) mewakili Plaintif
Puan Rozana Binti Arbain (Tetuan Zaidi Zain & Associates) mewakili Defendan

Surah Al-Quran Yang Dirujuk
Surah Al-Talaq, ayat 6
Surah A-Talaq, ayat 7
Surah Al-Baqarah ayat 236
Surah Al-Baqarah ayat 241
Surah al-Ahzab ayat 49

Hadis Yang Dirujuk
-Tiada -

Kitab Yang Dirujuk
Kitab Ghayah Wa Al-Taqrib, cetakan 1417 H / 1997 M, muka surat 34
Kitab Kifayah Al-Akhyar, muka surat 6 58
Kitab Kifayatul Akhyar, Juzuk 2 mukasurat 42
Kitab Mughni Al-Muhtaj, jilid 4 di halaman 399
Kitab Mughni al-Muhtaj, Jilid 4 di halaman 398
Kitab Qalyubi wa Umairah, Juzu’ 3 di dalaman 290-292
Kitab I’anah al-Talibin juzuk 3, muka surat 595-596
Kitab al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili , juzuk 1, muka surat 76-77


Undang –Undang Yang Dirujuk
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003
(Seksyen 4, Seksyen 45, Seksyen 66, Seksyen 58, Seksyen 60 dan Seksyen 62)
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003
(Seksyen 62 (2) (b) dan Seksyen 61 (3) (b))
Enakmen Keterangan Syariah (Negeri Selangor) 2003
(Seksyen 3, 17, 48, 49, 50, 73, 74, 75, 76 dan Seksyen 77)

Kes –Kes Yang Dirujuk
Sharifah Laila Bt Syed Shamdin lwn Abdul Latif Bin Arshad (1994) 9 bhg 1 J.H 16
Asiaamal lawan Abdul Jabar JH (1404H) 262
Tengku Anum Zaharah lawan Dato Dr. Hussien bin Mohamad Yusof (1980) 3 JH 125
Piah binti Said lawan Che Lah bin Awang PP (1982) 2 JH (3) 220

Alasan Penghakiman
Plaintif dan Defendan dalam kes ini telah berkahwin pada 20hb Ogos 1993 di Ipoh, Perak Darul Ridzuan berwalikan bapa Plaintif. Hasil Perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan 3 orang cahaya mata iaitu 2 lelaki dan seorang perempuan. Perkahwinan ini adalah perkahwinan kali Pertama bagi Plaintif dan Defendan. Pada 4 hb Oktober 2001 jam lebih kurang 11.45 malam hingga 12.00 tengah malam Defendan telah melafazkan cerai terhadap Plaintif dengan lafaz “Saya Rosman Bin Salim Dengan Ini Menceraikan Kamu Suzana Binti Zainuddin dengan Talaq Satu (1)”. Kejadian ini telah berlaku di sebuah rumah yang beralamat No. 36, SS19/1F, Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan. Menurut keterangan kedua – dua pihak pada 15hb November 2002, Plaintif mengakui ada mendengar lafaz cerai tersebut dan Plaintif berada dalam keadaan suci dan tidak mengandung. Selain Plaintif, ada tiga (3) orang saksi lain yang menyaksikan dan mendengar lafaz cerai tersebut iaitu 1) Sulaiman Bin Abd. Manap, 2), Puan Wahibah Binti Ghazali dan 3) Hafiz Bin Sulaiman.

Defendan mengakui dan bersetuju dengan keterangan Plaintif bahawa ketika melafazkan perkataan cerai, Defendan berada dalam keadaan waras, sihat, normal dan tiada dipaksa oleh mana-mana pihak. Kedua-dua pihak, Plaintif dan Defendan mengakui ada berlaku rujuk di antara mereka sebulan selepas kejadian cerai tersebut iaitu pada 4hb November 2001 bertempat di rumah Defendan di alamat No. 11A, Jalan Bait U2/38, Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Menurut Defendan lafaz ruju’ ketika itu ialah Aku Ruju’ Kamu Suzana Binti Zainuddin dan sememangnya defenden berniat untuk ruju’ dengan Plaintif dan kejadian ini disaksikan oleh 2 orang lelaki yang tidak dikenali oleh Plaintif yang mana kedua-duanya di dakwa sebagai kawan defendan.

Namun isu utama di sini ialah Plaintif tidak bersetuju dan tidak redha dengan ruju’ yang dilafazkan oleh Defendan. Atau dengan lain perkataan, Plaintif sudah tidak mahu hidup bersama dengan Defendan lagi. Apakah kedudukan Plaintif dan Defendan dalam hal ini? Namun satu lagi perkara yang memberatkan kes ini, sebelum kejadian ini Plaintif dan Defendan pernah bercerai iaitu pada 2 hb Mac 1997 yang mana kejadian berlaku di Apartment Blue Lagoon, Port Dickson, Negeri Sembilan Darul Khusus. Lafaz cerai dibuat secara ta’liq yang berbunyi “Kalau Abang Saya Datang Ke Apartment Ini Maka Jatuhlah Talaq” telah dilafazkan oleh Defendan pada waktu petang selepas Asar lebih kurang jam 5.00 petang .

Plaintif mengakui lafaz tersebut ada didengar dan kejadian pada waktu petang. Defendan ketika di tanya mengakui bahawa abang Defenden iaiatu Rosli Bin Salim ada dating selepas 15 minit hingga 30 minit selepas lafaz dan ketika ditanya maksud lafaz abang itu ditujukan kepada siapa, defenden mengesahkan lafaz tersebut dimaksudkan dengan kehadiran Rosli Bin Salim ke Apartment tersebut. Defendan juga mengakui bahawa Apartmen ini merujuk kepada Apartmen Blue Lagoon di mana mereka berada ketika itu. Kedua-dua Pihak mengakui ada berlaku Ruju’ yang mana menurut Plaintif dan Defendan ruju’ tersebut di buat antara mereka sahaja, tiada saksi lain. Antara Lafaz ruju’ yang diingati oleh Plaintif adalah “Saya Rujuk Kamu” berlaku 2 hingga 3 minggu selepas kejadian lafaz cerai pada 2 hb Mac 1997. Plaintif dan Defendan mengakui ada membuat aduan dan laporan ke Pejabat Agama Islam di Subang Jaya dan juga ada membuat pendaftaran kes di Mahkamah Rendah Syariah Petaling. Kedua-dua pihak mengakui ada menerima panggilan daripada Mahkamah namun mereka hadir pada hari yang berlainan dan selepas itu tidak tahu kedudukan kes itu kerana tidak ada menerima surat panggilan selepas itu.

Bidangkuasa
Seksyen 45 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984 (Pindaan 1988) memperuntukan:-
Kecuali sebagaimana diperuntukkan selainnya dengan nyata tiada apa-apa jua dalam Enakmen ini membolehkan mahkamah membuat sesuatu perintah perceraian atau perintah mengenai perceraian atau membenarkan seseorang suami melafazkan talaq kecuali :-
a)- jika perkahwinan itu telah didaftarkan atau disifatkan sebagai didaftarkan di bawah Enakmen ini;
b)- jika perkahwinan itu telah dilangsungkan mengikut hokum syarak; dan
c)- jika pemastautinan salah satu pihak kepada perkahwinan pada masa permohonan itu diserahkan adalah dalam negeri Selangor.

Kedua-dua pihak telah bernikah pada 20hb Ogos 1993 dengan berwalikan ayah Plaintif dengan mas kahwin sebanyak RM 105.00. Akad nikah ini dijalankan dan didaftarkan di daerah Ipoh, Perak Darul Ridzuan dengan No. Siri Sijil Pendaftaran 1630 Bilangan Daftar 153/1993 secara tunai. Mengenai pemastautinan, telah memenuhi syarat yang diberikan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor. Mahkamah berpuashati Plaintif telah tinggal di alamat Y-11-20 D, Aman Crimson, No. 1 PJU, 1A/41A Ara Jaya, Petaling Jaya Selangor Darul Ehsan melalui Lampiran Kad Pengenalan Plaintif manakala Defendan di No 11 A, Jalan Bait 02/38, TTDI Jaya, 40150 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Ianya jelas bahawa permohonan ini memenuhi kehendak Seksyen 45 (1) (C) EUUKIS 1984 yang hanya memerlukan pemastautinan satu pihak sahaja adalah di negeri Selangor. Seksyen 2 EUUKIS memperuntukkan “bermastautin” ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya dalam sesuatu kawasan yang tertentu.

Di dalam kes Sharifah Laila Bt Syed Shamdin lwn Abdul Latif Bin Arshad (1994) 9 bhg 1 J.H 16 Mahkamah Rayuan Syariah Selangor telah menyatakan bahawa perkataan mastautin seperti yang terdapat dalam Seksyen 2 enakmen tersebut hanya mensyaratkan seseorang itu tinggal tetap dalam suatu kawasan atau pada lazimnya tinggal di sesuatu kawasan, tidak disyaratkan hendaklah menjadi rakyat negeri di dalam kawasan ia berada. Berdasarkan peruntukan Seksyen 43 (2) (b) Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam selangor 1989 Pindaan 1992 yang menyatakan bahawa
Mahkamah Rendah Syariah hendaklah dalam bidangkuasa Mal, mendengar, dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi dibenarkan mendengar dan memutuskannya dalam mana jumlah atau nilai hal perkara yang dipertikaikan tidak melebihi seratus ribu ringgit atau yang tidak dapat di anggarkan dengan wang.

Mahkamah merujuk pula Seksyen 42 (2) (b) telah memperuntukkan :-
Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah
(b) dalam bidangkuasa Mal mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan yang berkaitan dengan :
i- pertunangan, perkahwinan, perceraian, pembatalan perkahwinan (fasakh), atau perpisahan (faraq);
ii- ……………………………………….

Dari peruntukan-peruntukan di atas, jelaslah mahkamah ini diberikan kuasa untuk menentukan samada sah atau tidak sesuatu perceraian walaupun tiada peruntukan khusus yang diberikan kepada Mahkamah Syariah Selangor. Adalah menjadi amalan biasa Mahkamah-Mahkamah Syariah di selangor menerima, mendengar dan memutuskan permohonan seperti ini di bawah Seksyen 45 yang memberi kuasa kepada Mahkamah untuk membuat suatu perintah perceraian. Dengan itu, Mahkamah berpendapat ia mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan ini.

Fakta Yang Menjadi Isu
Dalam kes ini ada beberapa fakta utama yang perlu mahkamah ini putuskan. Isu-isu tersebut adalah seperti berikut:-

1- Isu berkaitan lafaz cerai yang berlaku pada 2hb Mac 1997 bertempat di Apartment Blue Lagoon, Port Dickson Negeri Sembilan dengan lafaz cerai secara berta’liq yang berbunyi:- “Kalau abang saya datang ke Apartment Ini Maka Jatuhlah Talak”.
2- Isu berkaitan Ruju’ di antara Plaintif dan Defendan selepas perceraian pada 2hb Mac 1997 dengan lafaz yang berbunyi:- “Saya Ruju’ Kamu” tanpa dua orang saksi. Kejadian berlaku 2 hingga 3 minggu selepas kejadian lafaz cerai pada 2hb Mac 1997.
3- Isu berkaitan lafaz cerai bertarikh pada 4hb Oktober 2001 jam 12.00 tengah malam, bertempat di alamat di No. 36, SS19/1F, Subang Jaya Selangor Darul Ehsan dengan lafaz yang berbunyi :- “Saya Rosman Bin Salim Dengan Ini Menceraikan Isteri Saya Suzana Zainuddin Dengan Talaq Satu”.
4- Isu berkaitan Ruju’ antara Plaintif dan Defendan selepas lafaz cerai pada 4hb November 2001 dengan Lafaz Ruju’ berbunyi :- “Aku Ruju’ Kamu Suzana Binti Zainuddin” bertempat di rumah Defendan di alamat No. 11A, Jalan Bait U2/38, Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan dengan bersaksikan 2 orang saksi lelaki yang juga merupakan kawan Defendan.
5- Ruju’ yang dilafazkan oleh Defendan kepada Plaintif pada 4hb November 2001 dihadapan 2 orang saksi iaitu kawan-kawan defenden telah tidak dipersetujui oleh Plaintif dan Plaintif enggan hidup bersama Defendan kembali.
6- Adakah Ruju tanpa keredhaan Isteri menyebabkan suami telah melanggar ta’lik yang dilafazkan semasa akad nikah seperti dakwaan Plaintif?

Walaupun kes ini adalah kes lafaz cerai yang berlaku pada 4 hb November 2001, namun mahkamah berpendapat perlu dan pentingnya mahkamah memutuskan kes lafaz cerai secara ta’liq yang berlaku pada 2hb Mac 1997 itu diputuskan lebih dahulu bersama dengan isu ruju’ yang di dakwa bagi menentukan sabit atau tidak lafaz cerai Defenden pada 4hb November 2001 terhadap Plaintif. Oleh itu, mahkamah berpendapat isu ini perlu dijelaskan satu persatu mengikut urutan berlakunya kejadian cerai dan ruju’ tersebut. Isu yang pertama iaitu lafaz cerai yang berlaku pada 2hb Mac 1997 bertempat di Apartment Blue Lagoon, Port Dickson Negeri Sembilan dengan lafaz cerai secara berta’liq yang berbunyi:- “Kalau abang saya datang ke Apartment Ini Maka Jatuhlah Talak” telah dilafazkan oleh Defendan pada waktu petang selepas Asar lebih kurang jam 5.00 petang . Untuk menyelesaikan isu ini mahkamah merujuk kepada beberapa ayat- Al-Quran dan pendapat-pendapat ulama mu’tabar antaranya seperti berikut:-

Allah berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 1 yang berbunyi:-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ أُحِلَّتْ لَكُمْ بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَى عَلَيْكُمْ غَيْرَ مُحِلِّي الصَّيْدِ وَأَنْتُمْ حُرُمٌ إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ مَا يُرِيدُ (1)
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian........

Diriwayatkan oleh Uqba Bin Amin bahawa Nabi Muhammad S.A.W berkata maksudnya:
Syarat yang lebih utama dan wajar ditunaikan ialah yang menjadikan persetubuhan halal.
(Sahih Muslim Kitab An- Nikah) dan (Sunan Abu Dawud, Kitab An-Nikah)

Rasulullah telah berkata maksudnya:
Seorang mukmin terikat dengan perjanjiannya kecuali suatu perjanjian yang membuatkan sesuatu yang halal menjadi haram dan apa yang haram menjadi halal. (Sahih Al- Bukhari, Kitan Al-Ijarah)

Dalam Kitab Al –Akhyar diriwayatkan hadis maksudnya:
Seorang mukmin terikat dengan syarat-syarat dan perjanjian-perjanjiannya.

Dalam Kitab Al-Sharkawi Ala Tahrir ada disebut maksudnya:
Sesiapa yang melafazkan ta’liq dengan peruntukan talaq atas satu syarat dan syarat itu terjadi talaq akan berlaku mengikut lafaznya itu.

Dalam Kitab I’anat At-Talibin ada juga disebut maksudnya:
Adalah dibolehkan mencerai dengan ta’liq seperti juga janji merdekakan hamba atas syarat dan tidak dibenarkan menarik balik sebelum kejadian perkara itu dan perceraian itu akan terjadi apabila apa yang disyaratkan itu terjadi.

Dalam kes ini, Defendan mengakui ada melafazkan lafaz tersebut pada waktu petang selepas waktu asar pada 2 hb Mac 1997 manakala Plaintif mengakui lafaz tersebut ada didengar dan kejadian berlaku seperti didakwa dan berlaku pada waktu petang. Defendan ketika di tanya mengakui bahawa abang Defendan iaitu Rosli Bin Salim ada datang selepas 15 minit hingga 30 minit selepas lafaz tersebut dilafazkan dan ketika ditanya maksud perkataan “abang” itu ditujukan kepada siapa, defendan mengesahkan lafaz tersebut dimaksudkan dengan kehadiran Rosli Bin Salim ke Apartment tersebut. Defendan juga mengakui bahawa “Apartmen ini” merujuk kepada Apartmen Blue Lagoon di mana mereka berada ketika itu.

Mahkamah bersetuju dengan hujjah Peguam Syarie Plaintif dan merujuk kepada Kitab Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh Juzu’ 9 muka surat 6972 karangan Dr. Wahbah Zuhaili ada menyebut:




Maksudnya: Para ulama’ imam mazhab yang empat sependapat bahawa jatuh talaq yang bergantung (berta’liq) jika wujud perkara yang menjadi tempat pergantungannya. Samada perkara itu merupakan perbuatan salah seorang daripada suami atau isteri, ataupun suatu perkara yang luar dari perbuatan manusia (samawi), dan samada ta’liq itu sebagai sumpah iaitu menggalakkan agar melakukan sesuatu atau meninggalkannya atau untuk menguatkan khabar, ataupun sebagai syarat yang dimaksudkan berlaku jawab syarat.
Dalam kes ini, mahkamah berpuashati lafaz cerai secara ta’liq yang dilafazkan oleh Defendan pada 2hb Mac 1997 selepas asar yang berbunyi: “Kalau abang saya datang ke Apartment Ini Maka Jatuhlah Talak” telah dilanggar dengan kehadiran Abang defendan yang dimaksudkan oleh defenden iaitu Rosli bin Salim ke Apartment Blue Lagoon itu dalam masa 15 minit hingga 30 minit selepas lafaz cerai secara ta’liq di lafazkan. Ini adalah perceraian kali pertama bagi plaintif dan defendan.

Isu kedua iaitu Ruju’ di antara Plaintif dan Defendan selepas perceraian pada 2hb Mac 1997 dengan lafaz yang berbunyi:- “Saya Ruju’ Kamu” tanpa dua orang saksi. Kejadian berlaku 2 hingga 3 minggu selepas kejadian lafaz cerai pada 2hb Mac 1997 tersebut. Dalam kedua-dua isu pertama ini, mahkamah hanya bergantung kepada keterangan Plaintif dan Defendan ketika memberikan keterangan pada 15hb November 2002 yang dibuat secara beriqrar. Dalam keterangan Plaintif dan Defendan ada mengakui 2 hingga 3 minggu selepas kejadian, Defendan ada meruju’ kembali Plaintif dengan lafaz “ Saya Ruju Kamu”.

Seterusnya Plaintif dan Defendan mengaku bahawa selepas itu mereka telah hidup bersama sebagai sepasang suami isteri. Selain itu, Plaintif dan defendan juga mengakui ada melaporkan kejadian cerai dan ruju’ ini di Pejabat Agama Islam Di Subang Jaya dan seterusnya mendaftarkan kes pengesahan cerai di Mahkamah rendah Syariah di Petaling. Selepas itu, Plaintif dan defendan mendakwa bahawa kes mereka ada di panggil hanya sekali namun mereka atau plaintif dan defendan hadir pada hari yang berlainan dan seterusnya tidak dapat diselesaikan. Selepas panggilan pertama tersebut, Plaintif dan defendan tidak menerima lagi panggilan seterusnya dan tidak tahu statusnya kes tersebut sehinggalah berlaku cerai kedua bertarikh 4hb Oktober 2001.

Sehingga kini, Plaintif dan Defendan masih lagi tidak tahu status kes yang mereka daftarkan di Mahkamah Rendah Syariah Di Petaling. Namun yang lebih malang, semasa perbicaraan Plaintif ataupun Defendan tidak ada mengemukakan apa-apa dokumen berkaitan laporan perceraian mereka di Pejabat Agama Islam Subang Jaya mahupun borang permohonan ruju’ ataupun Saman yang dikeluarkan oleh Mahkamah bagi kes cerai mereka tersebut.

Mahkamah kecewa walaupun Plaintif dan Defenden di wakili Peguam Syarie masing-masing, kedua-dua pihak sepatutnya sebelum hadir ke Mahkamah perlu menyediakan bukti-bukti yang kukuh sebelum dibentangkan di hadapan Mahkamah samada secara lisan mahupun dokumen. Adalah menjadi satu kewajipan kepada Peguam Syarie kedua-dua pihak membantu mahkamah menyelesaikan masalah anakguam mereka dengan membentangkan fakta kes dengan jelas dan teratur bersama bukti-bukti. Dalam kes ini, Peguam Syarie pihak-pihak sepatutnya menjalankan siasatan terlebih dahulu terhadap dakwaan anakguam masing-masing berkaitan isu ini dan mendapatkan kerjasama Pejabat Agama Islam terbabit ataupun Mahkamah Syariah sendiri sebelum membawa kes ini mahkamah. Namun ia tidak berlaku dalam kes ini, pihak-pihak dalam kes ini dan Peguam Syarie hanya meyerahkan kes untuk diputuskan tanpa keterangan yang jelas dan bukti yang kukuh.

Nampaknya Mahkamah terpaksa tidak mempunyai pilihan lain iaitu samada bergantung kepada keterangan dan iqrar Plaintif dan Defenden semata-mata untuk menyelesaikan isu ini. Ataupun mahkamah sendiri terpaksa menjalankan siasatan terhadap lafaz cerai pertama. Mahkamah lebih gemar memilih pilihan kedua iaitu mahkamah terpaksa menyiasat kejadian lafaz cerai pertama di antara Plaintif dan Defenden. Setelah siasatan dilakukan mahkamah mendapati status kejadian cerai plaintif dan defenden adalah seperti berikut:-

1- Defenden telah memfailkan kes pengesahan/pendaftaran perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 14hb Mac 2003 dengan Kes Mal Bil 68/97 (SA). Dilampirkan bersama permohonan tersebut 1) Surat Nikah Asal 2) Dua borang Permohonan Rujuk 3) Laporan/Aduan Khidmat Nasihat yang dikeluarkan Pejabat Agama Islam Subang Jaya ( Ruj.:PAID.SA. 0002/68/97/(4) bertarikh 13 hb Mac 1997.
2- Mengikut rekod, kes tersebut telah dipanggil pada 3hb April 2000 dan Plaintif dan Defenden dalam kes ini tidak hadir. Hakim bicara telah membuang kes tersebut dan fail kes telah ditutup.
3- Mengikut Penyata Tuntutan, Plaintif mendakwa ada melafazkan cerai secara lafaz ta’lik yang berbunyi: “Sampai saja Abang di Muka Pintu Jatuhlah Talak “ pada 2hb Mac 1997 jam lebih kurang 3.30 petang. Kejadian ini berlaku di Tanjung Biru Kondominium, Port Dickson, Negeri Sembilan..
4- Kedua-dua pasangan tersebut telah hadir ke Pejabat Agama Islam Subang Jaya Bahagian Khidmat Nasihat pada 4hb Mac 1997 untuk melaporkan kejadian cerai tersebut dan kedua-dua pihak mahu rujuk semula.
5- Berdasarkan salinan Borang Permohonan Rujuk yang dikeluarkan oleh Pejabat Agama Islam Subang Jaya, pada hari Isnin bersamaan 17hb Mac 1997 jam 3.45 petang, Pasangan ini telah hadir ke sana untuk ruju’. Lafaz ruju’ yang dilafazkan adalah seperti berikut:-
“Bahawa saya Rosman Bin Salim rujuk akan Suzana Binti Zainuddin kepada nikah saya yang dahulu.”
Dan Lafaz ruju’ itu telah di tandatangani oleh Plaintif dan defenden di hadapan Pendaftar Nikah Cerai Dan Ruju’ Shah Alam.

Walau bagaimanapun terdapat percanggahan fakta di antara Keterangan Plaintif dan Defenden semasa memberi keterangan pada 15hb November 2002 dengan maklumat yang terkandung di dalam permohonan pertama Plaintif dan Defenden. Perbezaan nya boleh dijelaskan seperti berikut:-

1- Perbezaan lafaz cerai yang berlaku secara ta’lik iaitu menurut ketengan Plaintif dan Defenden lafaznya berbunyi : “ Kalau abang saya datang ke Apartment Ini Maka Jatuhlah Talak” sedangkan menurut Penyata Tuntutan kes pertama dan laporan Bahagian Khidmat Nasihat PAID Subang Jaya Lafaznya berbunyi: “Sampai saja Abang di Muka Pintu Jatuhlah Talak “.
2- Perbezaan masa dan waktu perceraian iaitu menurut ketengan Plaintif dan Defenden kejadian berlaku selepas waktu asar lebih kurang jam 5.00 pm hingga 6.00 pm sedangkan menurut Penyata Tuntutan kes pertama, Borang Permohonan Rujuk kedua-dua pihak dan laporan Bahagian Khidmat Nasihat PAID Subang Jaya kejadian berlaku pada jam 3.30 pm.
3- Perbezaan tempat lafaz cerai yang berlaku iaitu menurut ketengan Plaintif dan Defenden kejadian lafaz cerai berlaku di Blue lagoon Apartment, Port Dickson sedangkan menurut Penyata Tuntutan kes pertama dan laporan Bahagian Khidmat Nasihat PAID Subang Jaya kejadian lafaz cerai berlaku di Tanjung Biru Kondominium, Port Dickson, Negeri Sembilan.
4- Perbezaan lafaz ruju’ yang dilafazkan iaitu menurut ketengan Plaintif dan Defenden lafaznya berbunyi : “ Saya Ruju’ Kamu” sedangkan menurut Penyata Tuntutan kes pertama dan laporan Bahagian Khidmat Nasihat PAID Subang Jaya Lafaznya berbunyi: ““Bahawa saya Rosman Bin Salim rujuk akan Suzana Binti Zainuddin kepada nikah saya yang dahulu.”

Untuk menyelesaikan masalah ini dan memberi keadilan kepada pihak-pihak juga menjaga kepentingan hokum syara dalam kes ini mahkamah berpendapat pihak-pihak wajar di panggil sekali lagi untuk mengemukakan keterangan berkaitan isu perbezaan fakta yang timbul. Ini bersesuaian dengan Seksyen 121 Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah Selangor 1991 yang menyebut:-
“ Mahkamah boleh pada mana-mana peringkat pembicaraan memanggil mana-mana pihak mengemukakan keterangan yang difikirkan wajar untuk kepentingan keadilan dan boleh memeriksa mana-mana tempat dan barang”

Setelah mahkamah berpuashati dengan keterangan Plaintif dalam kes ini mahkamah mendapati Plaintif dan defenden sebenarnya semasa memberi keterangan pada 15 hb November 2002 telah memberikan fakta yang salah yang berkemungkinan berpunca daripada kes perceraian tersebut telah berlaku untuk satu tempoh yang lama yang mungkin sukar untuk diingati secara tepat. Mahkamah ingin mengingatkan pihak-pihak supaya tidak mengulangi perbuatan memrikan keterangan dengan fakta yang salah kerana ia melibatkan hokum syara’. Setelah diteliti, mahkamah berpuashati bahawa ruju’ di antara Plaintif dan defenden telah pun berlaku dan telah di laporkan kepada pihak yang berkaitan dan mahkamah berpendapat walaupun surat akuan ruju’ tiada namun mahkamah berpendapat berdasarkan dokumen-dokumen yang diberikan kepada mahkamah ruju’ telah berlaku dan sah mengikut hokum syara’.

Dengan selesai masalah ini mahkamah berpendapat mahkamah boleh secara terus menentukan samada cerai kali kedua yang berlaku di antara Plaintif dan Defenden sabit jatuh talak ataupun tidak sabit jatuh talak. Isu seterusnya adalah bagaimana Mahkamah hendak menentukan sah atau tidak sesuatu perceraian itu sebagaimana dalam isu ketiga kes ini iaitu lafaz cerai bertarikh pada 4hb Oktober 2001 jam 12.00 tengah malam, bertempat di alamat di No. 36, SS19/1F, Subang Jaya Selangor Darul Ehsan dengan lafaz yang berbunyi :- “Saya Rosman Bin Salim Dengan Ini Menceraikan Isteri Saya Suzana Zainuddin Dengan Talaq Satu”.

Untuk tujuan ini, Mahkamah akan merujuk kepada rukun-rukun perceraian atau talaq. Di dalam Kitab I’anat At-Talibin, juzu’ 4, muka surat 2 ada menyebut:-



Maksudnya: Dan adapun rukun talaq itu ada lima iaitu suami, lafaz yang digunakan, diqasadkan talaq kepada siapa talaq itu ditujukan ataupun isteri, dan talaq itu dijatuhkan dengan kekuasaan suami.

Dalam kes ini, Plaintif telah memenuhi rukun pertama iaitu suami. Berkaitan rukun kedua pula ialah sighah atau lafaz yang digunakan. Dalam Kitab Kifayah Al-Akhyar juzu’ 2 muka surat 52 ada menyebut:-


Maksudnya: Talaq ada dua macam, iaitu yang nyata dan yang sinidiran.

Kemudian disebut lagi :



Maksudnya: “ Adapun talaq yang nyata itu ada tiga lafaz, talaq, firaq(cerai) dan saraah (lepas), dan talaq yang nyata (sareh) tidak lagi memerlukan niat”.

Lafaz cerai dengan perkataan talaq adalah sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 229 yang berbunyi :

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَأْخُذُوا مِمَّا آَتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَنْ يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ (229)
Maksudnya: Talaq ( yang boleh dirujuk kembali itu hanya ) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk) dan memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.

Manakala lafaz cerai dengan perkataan saraah (lepas) pula sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Ahzab yang berbunyi:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِذَا نَكَحْتُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِنْ قَبْلِ أَنْ تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا فَمَتِّعُوهُنَّ وَسَرِّحُوهُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا (49)
Maksudnya: ………dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.

Dalam kes ini, berdasarkan iqrar Plaintif dan Defenden, Mahkamah mendapati Plaintif ada melafazkan perkataan cerai pada 4 hb Oktober 2001 pada jam lebih kurang 12.00 tengah malam dengan lafaz yang berbunyi : “Saya Rosman Bin Salim Dengan Ini Menceraikan Isteri Saya Suzana Zainuddin Dengan Talaq Satu”.

Mahkamah juga mengaitkan persoalan mengenai iqrar bagi mensabitkan perceraian tersebut. Bila menyebut tentang lelaki beriqrar, di dalam Kitab I’anat At-Talibin juzu’ 3 muka surat 187 ada menyebut:
اعترافا ويسمى. عليه بحق الشخص إخبار وشرعا الإقرار لغة الإثبات
Maksudnya: Iqrar dari segi bahasa bererti mensabitkan, manakala menurutsyarak diertikan sebagai memberitahu hak seseorang atas dirinya. Iqrar disebut juga sebagai I’tiraf.

Dalam Kitab Mughni Al-Muhtaj, jilid 2 muka surat 238 ada menyebut:
( وأركانه أربعة : مقر ومقر له وصيغة ومقر به )
Maksudnya: Rukun iqrar itu ada empat iaitu 1) muqirrun (orang yang beriqrar) 2) muqarrun lahu (orang yang memberi iqrar untuknya oleh orang yang beriqrar, 3) sighah (ucapan atau kata-kata iqrar) dan 4) muqirrun bihi (hak atau kepentingan yang diiktiraf oleh pihak yang beriqrar).”

Dalam kitab I’anat At-Talibin juzu’ 4 muka surat 27 ada menyebut:
) إنما يثبت الطلاق كالإقرار به بشهادة رجلين حريين عدلين (
Maksudnya: Perkara talaq itu disabitkan dengan persaksian dua orang lelaki yang adil lagi merdeka, sebagaimana pula ianya di sabitkan dengan iqrar adanya talaq.
Ianya juga selari dengan kaedah yang berbunyi :
بإقراره مؤخذ المرء
Maksudnya: Seseorang itu dipegang berdasarkan pengakuannya .

Dalam Seksyen 17 (1) Enakmen Keterangan Syariah Selangor 1996 menyatakan:
“Iqrar adalah suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang secara bertulis atau atau lisan atau dengan isyarat menyatakan bahawa ia mempunyai obligasi atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak.”

Manakala Seksyen 17 (2) dalam Enakmen yang sama menyatakan:
“Sesuatu iqrar hendaklah di buat –
a- dalam Mahkamah, di hadapan Hakim; atau
b- di luar Mahkamah di hadapan dua orang saksi lelaki yang akil baligh dan adil.”

Menurut Seksyen 55 (1) Enakmen yang sama memperuntukkan bahawa –
1. Pengakuan mengenai tulisan, tandatangan atau meterai hendaklah diterima sebagai pengakuan orang yang menulis atau yang melaksanakan dokumen itu;
2. Sesuatu pengakuan melalui dokumen yang ditulis atau disebabkan ditulis oleh seseorang di bawah tandatangan atau meterainya dan diserahkan kepada orang lain boleh diterima sebagai iqrar dengan syarat.

Berdasarkan kepada keterangan dan iqrar Plaintif dan defenden dengan ini, Mahkamah berpuashati di atas iqrar Plaintif yang menyatakan Plaintif telah menceraikan Defenden. Dengan lain perkataan, Iqrar Plaintif telah memenuhi kehendak peruntukan hokum syarak dan peruntukan Seksyen 17(1) dan (2) Enakmen Keterangan Syariah 1996. Mengenai rukun ketiga bagi talaq iaitu qasad (niat), oleh kerana lafaz cerai menggunakan lafaz yang sareh maka ianya dan Plaintif tidak lagi memerlukan niat untuk menceraikan defenden sebagaimana huraian sebelum ini.

Manakala rukun keempat bagi perceraian iaitu kepada siapa lafaz cerai ditujukan, Mahkamah berpuashati daripada iqrar dan keterangan-keterangan yang diberikan oleh Plaintif dan defenden adalah ditujukan kepada Defenden. Defenden ketika lafaz cerai dilafazkan oleh suaminya adalah isteri yang sah kepada Plaintif dan beliau tidak berada dalam eddah ba’in walaupun ketika itu defenden haid. Rukun terakhir iaitu yang kelima iaitu Wilayah ‘Alaih (keupayaan suami melafazkan cerai) berdasarkan keterangan-keterangan yang diberi, Mahkamah berpuashati bahawa ketika Plaintif melafazkan cerai ke atas Defenden, Plaintif adalah seorang yang waras, berakal, biasa dan normal baligh dan melafazkan cerai dengan kerelaannya sendiri tanpa dipaksa. Mahkamah berpuashati di dalam kes ini bahawa rukun-rukun perceraian telah dipenuhi oleh kedua-dua pihak. Perceraian ini adalah kali kedua bagi pasangan ini.

Isu keempat adalah Isu berkaitan Ruju’ antara Plaintif dan Defenden selepas lafaz cerai pada 4hb November 2001 dengan Lafaz Ruju’ berbunyi :- “Aku Ruju’ Kamu Suzana Binti Zainuddin” bertempat di rumah Defenden di alamat No. 11A, Jalan Bait U2/38, Taman TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan dengan bersaksikan 2 orang saksi lelaki yang juga merupakan kawan Defenden.

Mahkamah merujuk Seksyen 51 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam selangor 1984 (Pindaan 1988) memperuntukkan seperti berikut:-
51. (1) Dalam seksyen ini “taka raj’ie” ertinya perceraian dengan satu atau dua talak yang tidak diikuti dengan habis eddah, dan “bersekedudukan semula” ertinya hidup semula sebagai suami isteri dalam tempoh sebelum perceraian menjadi tidak boleh dirujukkan.
51. (2) Jika selepas sesuatu talaq raj’ie, persekedudukan semula telah berlaku dengan persetujuan bersama, pihak-pihak itu hendaklah melaporkan hal persekedudukan semula itu dan butir-butir lain yang berkaitan dalam tempoh tujuh hari kepada Pendaftar bagi kariah masjid di mana mereka bermastautin.
51. (3) Pendaftar hendaklah membuat apa-apa penyiasatan yang perlu dan, jika berpuashati bahawa persekedudukan semula telah berlaku mengikut Hukum Syara’ hendaklah mendaftarkan persekedudukan semula itu dengan membuat suatu endorsemen pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian, jika perceraian itu telah didaftarkan olehnya, dan hendaklah meminta pihak-pihak itu menyerahkan kepadanya surat-surat perakuan cerai yang berkaitan dan hendaklah mengeluarkan kepada mereka Surat Perakuan rujuk dalam borang yang ditetapkan.
51. (4) Pendaftar hendaklah juga menyerahkan satu salinan surat perakuan ruju’ itu kepada Ketua Pendaftar yang mana hendaklah mendaftarkan persekedudukan semula itu dengan membuat endorsemen pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian yang disimpan olehnya.
51. (5) Mana-mana pihak kepada sesuatu perkahwinan yang tidak melaporkan persekedudukan semula sebagaimana dikehendaki oleh seksyen-kecil (2) adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum dengan denda tidak lebih daripada lima ratus ringgit atau dengan penjara tidak lebih daripada enam bulan penjara atau dengan kedua-duanya denda dan penjara itu.
51. (6) Jika pendaftaran itu tidak didaftarkan oleh Pendaftar yang kepadanya laporan di bawah seksyen-kecil (2) itu dibuat, ia hendaklah merekodkan dalam surat-surat perakuan cerai nombor siri dan butir-butir surat perakuan persekedudukan semula itu dan hendaklah menghantar surat-surat perakuan cerai itu kepada Pendaftar yang telah mengeluarkannya bersama dengan satu salinan surat perakuan persekedudukan semula itu, dan Pendaftar yang satu lagi hendaklah selepas itu mendaftarkan persekedudukan semula itu dengan membuat suatu endorsemen pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian hendaklah juga menyerahkan salinan surat perakuan ruju’ itu kepada Ketua Pendaftar yang mana hendaklah mendaftarkan persekedudukan semula itu dengan membuat endorsemen pada catatan berhubungan dengan perceraian itu dalam Daftar Perceraian yang disimpan olehnya.
51. (7) Jika talaq raj’ie telah berlaku tanpa diketahui oleh isteri, suami tidak boleh menghendaki atau meminta isteri supaya bersekedudukan semula dengannya tanpa mengzahirkan kepadanya hal perceraian itu.
51. (8) Jika selepas talaq raj’ie suami melafazkan ruju’ itu dan isteri telah bersetuju terhadap ruju’ itu, isteri boleh atas permohonan suami, diperintah oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, melainkan jika isteri menunjukkan sebab-sebab yang baik mengikut hokum syara’ sebaliknya, dan jika demikian halnya, mahkamah hendaklah melantik suatu jawatankuasa pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 47 itu hendaklah dipakai sewajarnya.

Berkaitan isu ini mahkamah merujuk kepada beberapa ayat al-Quran, hadis rasulullah saw dan pendapat fuqaha-fuqaha seperti di bawah ini:-
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ وَلَا يَحِلُّ لَهُنَّ أَنْ يَكْتُمْنَ مَا خَلَقَ اللَّهُ فِي أَرْحَامِهِنَّ إِنْ كُنَّ يُؤْمِنَّ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلَاحًا وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (228)
Maksudnya: Dan isteri-isteri itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (daripada berkahwin) selama tiga kali suci dari haid. Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan dan tidak memberitahu tentang anak yang dijadikan Allah dalam kandungan mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk) isteri-isteri itu dalam masa eddah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka terhadap (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang perempuan (isterinya). Dan ingatlah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Surah Al- Baqarah: Ayat 228)

Dalam Surah yang sama dalam ayat 2-- ada menyebut:-




Maksudnya: Dan Apabila kamu menceraikan isteri-isteri kamu kemudian mereka hamper habis tempoh eddahnya, maka boleh kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan Janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan maksud memberi mudharat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. Dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat hokum itu ejek-ejekan dan permainan.

Manakala dalam Surah at-Talaq ayat 2 pula Allah berfirman:-

فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ فَارِقُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ وَأَشْهِدُوا ذَوَيْ عَدْلٍ مِنْكُمْ وَأَقِيمُوا الشَّهَادَةَ لِلَّهِ ذَلِكُمْ يُوعَظُ بِهِ مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا (2)
Maksudnya: Kemudian apabila mereka hampir habis tempoh eddahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan adakanlah dua (2) orang saksi yang adil antara kamu ( semasa kamu merujukkannya atau melepaskannya); dan hendaklah kau(yang menjadi saksi) menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata. Dengan hokum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkannya.

Selain daripada ayat Al-Quran dan hadis yang mahkamah nyatakan seperti di atas, Mahkamah merujuk pula kepada pendapat para fuqaha seperti Dalam Kitab Fiqh Sunnah Karangan Sayyid Sabiq muka surat 273 yang menyebut :-



Maksudnya: Rujuk itu hak suami selama dalam eddah, suami mempunyai hak yang telah ditetapkan syarak padanya. Dalam eddah suami mempunyai hak yang telah ditetapkan syarak padanya. Oleh itu, tidak boleh digugurkan haknya. Sekalipun suami berkata :”Tidak ada rujuk baginya” maka suami masih mempunyai hak rujuk dan hak merujuki isterinya. Bila rujuk itu hak suami maka tidak perlu disyaratkan redha isterinya dan tidak mesti dalam pengetahuannya, tidak perlu pada wali kerana itu adalah hak suami.

Manakala dalam Kitab Minhaj At-Talibin dalam Bab Ruju’ karangan Imam an-Nawawi ada menyebut:-
“Seseorang suami yang telah mentalakkan isterinya dengan talak raj’ie berhak merujuk isterinya itu selama ia masih dalam tempoh eddah; iaitu ia boleh menarik balik lafaz talaknya dan mengambil balik isterinya semula, dengan tidak memerlukan berkahwin semula untuk maksud itu – Di dalam Masa keduanya Imam Shafie telah menolak pendapat bahawa ruju’ hendaklah diadakan dihadapan dua orang saksi –saksi; dan sungguhpun ruju’ itu boleh disebut dengan perkataan yang dibayangkan (kinayah), undang-undang tidak membenarkan ia digantungkan dengan apa-apa syarat. Rujuk itu tidak boleh dilakukan dengan perbuatan sahaja tanpa diucapkan sebagai contoh dengan persetubuhan; akan tetapi seseorang itu hendaklah menyebutkan bahawa ia mengambil balik isterinya.”

Imam Shafie dalam kitabnya Al—Umm di Jilid 8 muka surat 435 ada menyebut :-
“Sebaiknya bagi seseorang yang merujuk isterinya supaya mempersaksikan dengan dua saksi yang adil tentang rujuk itu, kerana perintah Allah dengannya dari kesaksian supaya suami tidak meninggal sebelum dia mengetahui yang demikian atau suami meninggal sebelum isteri mengetahui tentang rujuk itu, sesudah selesai iddahnya maka tidak ada waris mewarisi antara kedua suami isteri kalau isteri tidak mengetahui selama masih dalam eddah dan supaya di antara suami isteri jangan saling mengingkari tentang adanya rujuk atau suami menyetubuhinya maka, isteri bertempat dengan suaminya sebagai pergaulan bahawa bukan isteri. Dan kalau antara keduanya saling mempersaksikan maka rujuk itu sah atas isteri, kerana rujuk itu atas isteri, selama ia dalam iddah kalau suami bersaksi bahawa ia berkata: “Saya telah merujukinya” Dan bila telah berlaku masa eddah lalu suami berkata: “Saya telah merujukinya” dan isteri membantah maka yang diterima adalah perkataan isteri dan suami harus memberi bukti bahawa ia berkata: “Saya telah merujukinya di dalam eddah.”





Dalam Kitab Fiqh Sunnah Karangan Sayyid Sabiq muka surat 62 yang menyebut :-



Maksudnya: Jika Rujuk menjadi hak suami maka untuk merujuk tidak perlu syarat kerelaan, pengetahuan bekas isteri dan wali. Kerana hak ruju’ ada di tangan lelaki sebagaimana firman Allah di atas (rujuk Surah Al-Baqarah ayat 228). Ruju’ juga tidak perlu saksi, sekalipun menghadirkan saksi di sini hukumnya sunat kerana khuatir agar nantinya isteri tidamenyangkal ruju’ suaminya.”

Dalam kes ini semasa memberi keterangan, Defenden mengakui ada melafazkan rujuk pada 4hb November 2001 di hadapan dua orang saksi iaitu kawan-kawannya. Manakala Plaintif juga mengaku ada mendengar lafaz ruju’ tersebut dengan jelas. Plaintif juga semasa memeberi keterangan tidak menyangkal berkaitan isu lafaz ruju’ yang dilafazkan oleh Defenden. Dengan berdasarkan keterangan, fakta kes ini dan juga hujjak yang dinyatakan di atas, Mahkamah tidak mempunyai pilihan selain daripada mengesahkan bahawa ruju’ yang berlaku di antara Plaintif dan Defenden pada 4hb November adalah sabit dan sah mengikut hukum syarak.

Isu seterusnya yang kelima iaitu Plaintif telah tidak bersetuju dengan Ruju’ yang dilafazkan oleh Defenden kepada Plaintif pada 4hb November 2001 dihadapan 2 orang saksi iaitu kawan-kawan Defenden dan enggan hidup bersama Defenden kembali.

Pada pendapat mahkamah untuk menyelesaikan isu ini, adalah wajar mahkamah merujuk kepada satu kes rayuan yang dibicarakan oleh Jawankuasa Ulang Bicara Selangor iaitu Kes Rayuan Bil 7/89 di antara Siti Hawa Binti Mohamed lawan Mohamed Redzuan Bin Haji Hussain muka surat 180, Jurnal Hukum vii Bahagian II. Mahkamah memetik hujjah yang dinyatakan oleh Tan Sri Mohamed Azmi menyebut:-
“Kami juga telah menasihat pihak-pihak dalam kes ini, jika mereka mahu, meminta nasihat Mahkamah Syariah mengenai apa-apa tindakan selanjutnya yang perlu diambil.”

Rujukan boleh dibuat kepada seksyen 51 (9) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984 yang memperuntukkan:-
51 (9) Jika selepas talak raj’ie suami melafazkan ruju’ tetapi isteri telah tidak bersetuju terhadap ruju’ itu kerana sebab-sebab yang dibenarkan oleh Hukum Syara’, ia tidak boleh diperintah oleh Mahkamah supaya hidup semula sebagai suami isteri, tetapi Mahkamah hendaklah melantik suatu Jawatankuasa Pendamai sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 47 dan seksyen itu hendaklah dipakai sewajarnya.”

Peruntukkan itu bersandar dan selari dengan ayat Al-Quran dalam surah An-Nisa’ ayat 35 yang berbunyi:-

وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِنْ أَهْلِهَا إِنْ يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللَّهُ بَيْنَهُمَا إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا (35)
Maksudnya: Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua, suami isteri, maka lantiklah hakam untuk mendamaikan mereka iaitu seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. Jika kedua-dua hakam itu dengan ikhlas bertujuan hendak mendamaikan nescaya Allah akan menjadikan kedua suami isteri itu berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, Lagi amat mendalam pengetahuanNya.

Mahkamah berpendapat, tidak perlu mahkamah menghuraikan lebih lanjut berkaitan isu ini kerana ia telah dijelaskan dengan terang dan nyata oleh kes di atas. Pihak-pihak dalam kes ini pada pendapat mahkamah wajar memahami kes yang dinyatakan di atas dengan baik. Oleh yang demikian, pada pendapat mahkamah, pada tahap ini hujjah Yang Amat Arif Hakim Jawatankuasa Ulang Bicara wajar diterima dan dipakai oleh mahkamah ini dan pihak-pihak.

Isu keenam dan terakhir adalah isu Ruju yang dibuat oleh defenden dalam kes ini pada 4hb November 2001 tanpa keredhaan dan persetujuan Isteri menyebabkan suami telah melanggar ta’lik yang dilafazkan semasa akad nikah pada 20hb Ogos 1993 seperti dakwaan Plaintif?

Plaintif dan Defenden dalam kes ini telah berkahwin pada 20hb Ogos 1993 di Ipoh, Perak Darul Ridzuan berwalikan bapa Plaintif. Semasa Plaintif dan Defenden memberikan keterangan tambahan, Defenden mengakui bahawa Defenden ada melafazkan ta’liq selepas akad nikah yang berbunyi seperti berikut:-
Bahawa saya Rosman Bin Salim yang tinggal di Sungai Betul Bawah telah berlafaz ta’liq selepas akad nikah saya ini di hadapan Naib kadi Jelapang dengan lafaz seperti berikut:-
i- Tiap-tiap aku tinggalkan atau tiada aku memberi nafkah yang layak bagiku akan isteriku Suzana Binti Zainuddin tiga bulan lamanya dan mengadu ia kepada mana-mana Kadi Syarie dan sabit pengaduannya pada sisi Kadi itu, maka tertalaqlah isteriku itu dengan satu talaq.
ii- Jika ada perbalahan di antara kedua aku laki isteri maka mengadu isteriku Suzana Binti Zainuddin kepada mana-mana Kadi Syariah dan sabit pengaduannya pada sisi Kadi itu, maka mengakulah aku akan berta’liq seperti yang dipersetujukan oleh Kadi itu. Sekiranya ingkar aku daripada berta’liq sedemikian itu maka gugurlah satu talaq di atas isteriku itu.
iii- Tiap-tiap aku ruju’ akan isteriku Suzana Binti Zainuddin dengan tiada redhanya maka tertalaqlah ia satu talaq pula.

Dalam penghujahan Plaintif telah berhujjah bahawa tindakan Defenden merujuk Plaintif tanpa redhanya (Plaintif) adalah telah melanggar lafaz ta’liq yang dilafazkan selepas akad nikah. Namun isu ini atau perkara ini tidak ditimbulkan oleh kedua-dua pihak semasa peringkat pre-trial mahupun peringkat perbicaraan.
Walaubagaimanapun, Mahkamah berpendapat bahawa lafaz ta’liq yang ketiga (merujuk no. iii) dalam Surat Nikah) itu hanyalah akan di ambil kira jika Plaintif membuat permohonan cerai secara ta’liq di bawah Seksyen 50 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam selangor 1984 (Pindaan 1988). Tujuan lafaz ta’liq ketiga tersebut di buat sedemikian rupa adalah sebagai defence atau pertahanan kepada Plaintif atau isteri-isteri yang membuat permohonan di bawah Seksyen 50 dan telah disabitkan permohonan mereka oleh mahkamah daripada menjadi mangsa suami yang tidak bertanggungjawab dengan meruju’ isterinya sewenang-wenangnya selepas mahkamah mensabitkan permohonan isterinya di bawah Seksyen 50.

Dengan kata lain, lafaz ketiga itu hanya boleh digunakan apabila Plaintif telah disabit permohonannya di bawah Seksyen 50 iaitu Mahkamah sabitkan Plaintif berdasarkan perlanggaran syarat ta’liq oleh defenden seperti yang dinyatakan dalam lafaz ta’liq i ((merujuk no. iii) dalam surat Nikah itu) dan perlanggaran lafaz ta’liq yang kedua ((merujuk no. iii) dalam surat Nikah itu) atau salah satu daripadanya.

Pada ketika itu, jika Defenden meruju’ Plaintif tanpa keredhaan isteri barulah lafaz ta’liq ketiga tersebut boleh dilaksanakan kerana lafaz ta’liq itu seharusnya di gunakan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam surat nikah Plaintif dan Defenden. Oleh yang demikian, mahkamah menolak hujjah Plaintif yang menyatakan Ruju yang dibuat oleh defenden dalam kes ini pada 4hb November 2001 tanpa keredhaan dan persetujuan Isteri menyebabkan suami telah melanggar ta’lik yang dilafazkan semasa akad nikah pada 20hb Ogos 1993.

Keputusan
Berdasarkan alasan-alasan yang telah di berikan maka Mahkamah memutuskan seperti berikut:-
1) Mahkamah mensabitkan bahawa berlaku perceraian di antara Plaintif dan Defenden di luar dan tanpa kebenaran Mahkamah pada 2hb Mac 1997 kali Pertama berjumlah satu talak.
2) Mahkamah memerintahkan ruju’ yang berlaku pada 17hb Mac 1997 hendaklah didaftarkan di Pejabat Agama Islam Di Subang Jaya.
3) Mahkamah mensabitkan bahawa berlaku perceraian di antara Plaintif dan Defenden di luar dan tanpa kebenaran Mahkamah pada 4hb November 2001 pada jam 12.00 tengah dengan lafaz Saya Rosman Bin Salim Dengan Ini Menceraikan Suzana Zainudin Dengan Talak Satu kali Kedua berjumlah Dua talak.
4) Mahkamah perintahkan perceraian ini didaftarkan dan Surat Nikah No. Siri 1630 Bilangan Daftar 153/1993 dipulangkan kepada Pejabat Agama Islam Di Subang Jaya dan dibatalkan.
5) Mahkamah memerintahkan ruju’ yang berlaku pada 4 hb November 2001 iaitu selepas sebulan lafaz cerai bertarikh 4 hb Oktober 2001 hendaklah dilaporkan dan daftarkan di Pejabat Agama Islam Di Subang Jaya.
6) Mana-mana pihak yang tidak berpuashati dengan keputusan ini boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan dikeluarkan.






………………………...............
Tandatangan Hakim
22.4.2004

No comments: