Friday, March 03, 2006

Kes Fasakh Nor Wasditah

NOR WASITAH BT. HJ. PANOT
DAN
MOHD. AZRI B. BUNAWI

Dalam Mahkamah Rendah Syariah Di Klang, Selangor Darul Ehsan (Di hadapan Tuan Hakim Mohamed Fouzi Bin Mokhtar. Bertarikh Pada 14 hb September 2004

Kes Mal Bil.10003-055-91 TAHUN 2001

Kes di bawah Seksyen 53 (1) (b), 53 (1) (h) (i) dan (iv) dan 53 (1) (l) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003- Tuntutan pembubaran perkahwinan melalui fasakh oleh Plaintif- Suami hadir ke mahkamah dan menafikan dakwaan Plaintif.

Fakta Kes
Plaintif dan Defendan telah berkahwin pada 28hb Mei 1999 di Tanjung Karang, Selangor berwalikan abang Plaintif. Hasil perkahwinan tidak dikurniakan cahayamata. Selepas bernikah Plaintif dan Defendan telah tinggal di rumah ibu dan bapa Defendan di alamat Lot 2244, Kg. Delek Kiri, 41250 Klang, Selangor Darul Ehsan. Di rumah tersebut, Plaintif dan Defendan tinggal di sebuah bilik yang berasingan dengan adik beradik Defendan yang lain. Selain ibu dan bapa Defendan, rumah tersebut turut dihuni oleh adik beradik Defendan yang lain dan terpaksa berkongsi tandas mereka.

Keadaan hidup bersama adik beradik Defendan ini telah didakwa oleh Plaintif sebagai amat tidak selesa. Berdasarkan keterangan Plaintif, Defendan berjanji selepas setahun mereka akan berpindah ke rumah sendiri yang berasingan dengan keluarga Defendan. Namun janji tersebut telah tidak ditepati oleh Defendan. Semasa tinggal di situ, Plaintif mendakwa Defendan tidak memberi belanja kepadanya dan Plaintif terpaksa memberi wang kepada ibu mertua sebanyak RM200 dan duit untuk persiapan hari raya. Walaubagaimanapun, segala kerja rumah telah disediakan oleh ibu Defendan kerana Plaintif terpaksa keluar bekerja.

Pada 25hb Febuari 2001 iaitu hari Ahad pada jam lebih kurang jam 12.00 tengahari Plaintif mendakwa seperti dalam repot polis bahawa ibu Defendan (SP2) telah menceroboh masuk ke dalam bilik Plaintif dengan menggunakan kunci pendua lalu menengking, mengutuk dan menfitnah bahawa Plaintif mempunyai hubungan dengan lelaki lain, tidak beragama serta cetek fikiran sedangkan Plaintif pada waktu itu tidak sihat yang menyebabkan Plaintif berasa marah dan merasakan bahawa martabat dan air muka Plaintif telah jatuh akibat tuduhan tersebut.

Berdasarkan kejadian itu, pada 20hb Mac 2001 Plaintif bertindak keluar rumah dan balik ke kampung untuk menenangkan fikiran. Seterusnya Defendan seperti mana dalam repot polis, Defendan menyatakan pada 21hb Mac 2001 Defendan mendapati Plaintif tidak ada di rumah. Ketika itu, Defendan balik dan Plaintif telefon Defendan minta izin untuk balik ke kampung melalui telefon dan Defendan telah mengizinkan. Namun 26hb Mac 2001 Plaintif tidak terus balik ke rumah ibubapa Defendan. Sebaliknya Plaintif telah tinggal di rumah kakaknya yang beralamat di Blok 16, Flat Perkampungan Kastam, Pelabuhan Klang Selangor Darul Ehsan. Sejak itu, Plaintif dan Defendan telah tinggal berasingan sehinggalah Plaintif bertindak mendaftarkan kes ini pada 15hb Ogos 2001. Seterusnya, Plaintif atas nasihat Peguam Syarienya telah memohon untuk meminda permohonan yang difailkan dengan memasukkan Penyata Tuntutan Pindaan iaitu perceraian secara Fasakh pada 14hb Febuari 2002 dan seterusnya sehingga ke hari ini di mana keputusan kes ini akan dibacakan.

Dalam permohonan pindaan Plaintif, Plaintif memohon Mahkamah penceraian secara fasakh berdasarkan peruntukan seksyen 52 (1)(b), (d), (h)(i) & (l) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984 Pindaan 1988. Manakala Defendan dalam penyata pembelaan memohon Mahkamah seperti berikut:
1) Menolak permohonan Defendan dengan ;
i- Mengisytiharkan Plaintif telah nusyuz seperti seksyen 59 (1)(2)(a)(b) & (c)
ii- Mengarahkan Plaintif berhenti kerja kerana telah menjejaskan tanggungjawab kepada rumahtangga.
iii- Menghukum abang dan kakak kandung Plaintif kerana menyimpan dan melindungi Plaintif berdasarkan seksyen 37(b) Akta 303 atau 107(1)(2).
iv- Defendan bersetuju memberi nafkah tertunggak sekiranya Plaintif bersetuju kembali dengan menulis dan berikrar akan taat kepada perintah suami di hadapan Mahkamah.

Plaintif telah memfailkan satu permohonan di bawah Seksyen 47 Enakmen undang-Undang Keluarga Islam Negeri 2003 namun telah dipinda kepada perceraian secara fasakh di bawah Seksyen 53 enakmen yang sama. Pada asalnya kes ini difailkan berdasarkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Pindaan 1988) namun enakmen ini telah dimansuhkan dan digantikan dengan Enakmen undang-Undang Keluarga Islam Negeri 2003 apabila ianya telah diwartakan dan dikuatkuasakan pada 2004. Dalam kes ini, Plaintif telah diwakili oleh Peguam Syarie masing-masing iaitu Plaintif diwakili oleh Razi ‘Aini Binti Abdul Razak daripada Tetuan Zaidi Zain & Associates manakala Defendan tidak diwakili oleh mana-mana Peguam Syarie dan telah membela dirinya sendiri.

Plaintif telah memberi keterangan pada 20hb. Mei 2002, 22 hb. Julai 2002, 19hb Feb 2003, Plaintif telah di soal balas dan soal semula pada 31hb Mac 2003. Plaintif juga mengemukakan seramai dua (2) orang saksi iaitu saksi Pertama Ngatenan Binti Panot (SP 1) yang telah memberi keterangan pada 31hb Mac 2003 dan 5hb Mei 2003, saksi kedua Jameran Bin Panot (SP2) yang telah memberi keterangan pada 5hb Mei 2003 dan 22hb Mei 2003. Manakala Defendan telah mengemukakan keterangan pada 22hb Mei 2003 dan 17hb. Dis 2003 2004. Defendan juga telah mengemukakan dua (2) orang saksi untuk menyokong keterangannya iaitu Othman Bin Abdul Hamid (SD-1) dan Aridah Binti abdul Ghani (SD-2)

Keputusan
Diputuskan bahawa mahkamah ini memerintahkan seperti berikut:
1. Mahkamah sabitkan Defendan telah gagal memberikan nafkah dalam tempoh 3 bulan.
2. Mahkamah meluluskan permohonan Plaintif berdasarkan seksyen 53 (1)(b) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
3. Mulai hari ini, 14hb September 2004 jam 9.40 pagi, Mahkamah membubarkan pernikahan Norwasitah Bt. Hj. Panot dengan Mohd. Azri B. Buniawi. Mahkamah perintahkan Plaintif beriddah 3 kali suci mulai hari ini.
4. Penceraian ini didaftarkan dan surat perakuan nikah 178/99/078247 dipulangkan dan dibatalkan.
5. Mana-mana pihak yang tidak berpuashati boleh mengemukakan notis rayuan dalam tempoh 14 hari.

Peguam Syarie
Puan Razi Aini Binti Abdul Razak (Tetuan Zaidi Zain & Associates) mewakili Plaintif.
Defendan tidak diwakili Peguam Syarie.

Surah Al-Quran Yang Dirujuk
Surah an-Nisa’ ayat 34
Surah A-Talaq, ayat 7

Hadis Yang Dirujuk
-Tiada -

Kitab Yang Dirujuk
Kitab ‘Ianah At-Talibin dalam Jilid 4 muka surat 84
Kitab Al-Fiqh Al-Islami Wa - ‘Adilatuh Juzu’ 7 muka surat 527
Kitab Ruhul Maani Juzu’ 5 muka surat 25
Kitab Al-Ahwal Al-Shakhsiyyah, Maktabah Al-Kulliyyat Al-Azhariyyah 1968, hal: 727, Mesir
Kitab Mu’in al-Mubin Juzu’ 4 muka surat 83
Kitab Kifayah al –Akhyar juzu’ 2 muka surat 48
Kitab Raudh al-Thalib Juzuk 3 Bahagian an-Nafkah muka surat 426.
Kitab Sunan al - Matalib Bi Syarki Raudi al - Matalib;

Undang –Undang Yang Dirujuk
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003
(Seksyen 4, Seksyen 45, Seksyen 60 (1) (2) dan Seksyen 53)
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003
(Seksyen 62 (2) (b) dan Seksyen 61 (3) (b))
Enakmen Keterangan Syariah (Negeri Selangor) 2003
(Seksyen 3, 17, 48, 49, 50, 73, 74, 75, 76 dan Seksyen 77)

Kes –Kes Yang Dirujuk
Sharifah Laila Bt Syed Shamdin lwn Abdul Latif Bin Arshad (1994) 9 bhg 1 J.H 16
Hairun Binti Mohd Sharif lawan Omar Mohd Noor
Abdul Hanif lwn Rabiah [53 JH (2) 11
Shaheila Binti Abdul Majid lwn Roslan Bin Aziz
Rosnani Binti Abd. Ghani Lawan Zulkifli
Fakhariah Lokman lawan Johari Zakaria

Alasan Penghakiman
Plaintif dan Defendan telah berkahwin pada 28hb Mei 1999 di Tanjung Karang, Selangor berwalikan abang Plaintif. Hasil perkahwinan tidak dikurniakan cahayamata. Selepas bernikah Plaintif dan Defendan telah tinggal di rumah ibu dan bapa Defendan di alamat Lot 2244, Kg. Delek Kiri, 41250 Klang, Selangor. Di rumah itu, Plaintif dan Defendan tinggal di sebuah bilik yang berasingan dengan adik beradik Defendan yang lain. Selain ibu dan bapa Defendan, rumah tersebut turut dihuni oleh adik beradik Defendan yang lain dan terpaksa berkongsi tandas mereka. Keadaan hidup bersama adik beradik Defendan ini telah didakwa oleh Plaintif sebagai amat tidak selesa. Berdasarkan keterangan Plaintif, Defendan berjanji selepas setahun mereka akan berpindah ke rumah sendiri yang berasingan dengan keluarga Defendan. Namun janji tersebut telah tidak ditepati oleh Defendan.

Semasa tinggal di situ, Plaintif mendakwa Defendan tidak memberi belanja kepadanya dan Plaintif terpaksa memberi wang kepada ibu mertua sebanyak RM200 dan duit untuk persiapan hari raya. Walaubagaimanapun, segala kerja rumah telah disediakan oleh ibu Defendan kerana Plaintif terpaksa keluar bekerja.Pada suatu hari, pada 25hb Febuari 2001 iaitu hari Ahad pada jam lebih kurang jam 12.00 tengahari Plaintif mendakwa seperti dalam repot polis bahawa ibu Defendan (SP2) telah menceroboh masuk ke dalam bilik Plaintif dengan menggunakan kunci pendua lalu menengking, mengutuk dan menfitnah bahawa Plaintif mempunyai hubungan dengan lelaki lain, tidak beragama serta cetek fikiran sedangkan Plaintif pada waktu itu tidak sihat yang menyebabkan Plaintif berasa marah dan merasakan bahawa martabat dan air muka Plaintif telah jatuh akibat tuduhan tersebut.

Berdasarkan kejadian itu, pada 20hb Mac 2001 Plaintif bertindak keluar rumah dan balik ke kampung untuk menenangkan fikiran. Seterusnya Defendan seperti mana dalam repot polis, Defendan menyatakan pada 21hb Mac 2001 Defendan mendapati Plaintif tidak ada di rumah. Ketika itu, Defendan balik dan Plaintif telefon Defendan minta izin untuk balik ke kampung melalui telefon dan Defendan telah mengizinkan. Namun 26hb Mac 2001 Plaintif tidak terus balik ke rumah ibubapa Defendan. Sebaliknya Plaintif telah tinggal di rumah kakaknya yang beralamat di Blok 16, Flat Perkampungan Kastam, Pelabuhan Klang Selangor Darul Ehsan. Sejak itu, Plaintif dan Defendan telah tinggal berasingan sehinggalah Plaintif bertindak mendaftarkan kes ini pada 15hb Ogos 2001. Seterusnya, Plaintif atas nasihat Peguam Syarienya telah memohon untuk meminda permohonan yang difailkan dengan memasukkan Penyata Tuntutan Pindaan iaitu perceraian secara Fasakh pada 14hb Febuari 2002 dan seterusnya sehingga ke hari ini di mana keputusan kes ini akan dibacakan.

Dalam permohonan pindaan Plaintif, Plaintif memohon Mahkamah penceraian secara fasakh berdasarkan peruntukan seksyen 52 (1)(b), (d), (h)(i) & (l) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984 Pindaan 1988. Manakala Defendan dalam penyata pembelaan memohon Mahkamah seperti berikut:
2) Menolak permohonan Defendan dengan ;
i- Mengisytiharkan Plaintif telah nusyuz seperti seksyen 59 (1)(2)(a)(b) & (c)
ii- Mengarahkan Plaintif berhenti kerja kerana telah menjelaskan tanggungjawab kepada rumahtangga.
iii- Menghukum abang, kakak kandung Plaintif kerana menyimpan melindungi Plaintif berdasarkan seksyen 37(b) Akta 303 atau 107(1) (2).
iv- Defendan bersetuju memberi nafkah tertunggak sekiranya Plaintif bersetuju kembali dengan menulis dan berikrar akan taat kepada perintah suami di hadapan Mahkamah.

Plaintif telah memfailkan satu permohonan di bawah Seksyen 47 Enakmen undang-Undang Keluarga Islam Negeri 2003 namun telah dipinda kepada perceraian secara fasakh dibawah Seksyen 53 enakmen yang sama. Pada asalnya dan kes ini difailkan dengan menggunakan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Pindaan 1988) namun enakmen ini telah dimansuhkan dan digantikan dengan Enakmen undang-Undang Keluarga Islam Negeri 2003 apabila ianya telah diwartakan dan dikuatkuasakan pada 2004.

Bidangkuasa
Mahkamah berpendapat bahawa Mahkamah mempunyai bidangkuasa mendengar kes ini seterusnya memutuskan kes ini berdasarkan Seksyen 4 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukan:-
“Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya, Enakmen ini terpakai bagi semua orang Islam yang tinggal dalam Negeri Selangor dan bagi semua Orang Islam yang bermastautin dalam Negeri Selangor tetapi tinggal di luar Negeri itu.”

Seksyen 45 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukan:-
Kecuali sebagaimana diperuntukkan selainnya dengan nyata tiada apa-apa jua dalam Enakmen ini membolehkan mahkamah membuat sesuatu perintah perceraian atau perintah mengenai perceraian atau membenarkan seseorang suami melafazkan talaq kecuali :-
a)- jika perkahwinan itu telah didaftarkan atau disifatkan sebagai didaftarkan di bawah Enakmen ini;
b)- jika perkahwinan itu telah dilangsungkan mengikut hukum syarak; dan
c)- jika pemastautinan salah satu pihak kepada perkahwinan pada masa permohonan itu diserahkan adalah dalam negeri Selangor.

Kedua-dua pihak telah bernikah pada 01 hb Januari 1996, dijalankan dan didaftarkan di daerah Klang, Selangor Daru Ehsan dengan No. Siri Sijil Pendaftaran 067065 Bilangan Daftar 24/96 secara tunai. Ini adalah berdasarkan kepada Surat Perakuan Nikah pihak-pihak.

Mengenai pemastautinan, telah memenuhi syarat yang diberikan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003. Berdasarkan Penyata Tuntutan Plaintif, mahkamah berpuashati Plaintif telah tinggal di alamat Blok 16, Flat Perkampungan Kastam, Pelabuhan Klang Selangor Darul Ehsan melalui Lampiran Salinan Kad Pengenalan Plaintif selain ianya tidak dibantah oleh Defendan pada mana-mana peringkat prosiding. Manakala Defenden pula mempunyai alamat penyampaiannya di Lot 2244, Kg. Delek Kiri, 41250 Klang, Selangor Darul Ehsan. Ianya jelas bahawa permohonan ini memenuhi kehendak Seksyen 45 (1) (C) EUUKIS 2003 yang hanya memerlukan pemastautinan satu pihak sahaja iaitu di negeri Selangor. Seksyen 2 EUUKIS 2003 memperuntukkan “bermastautin” ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya dalam sesuatu kawasan yang tertentu.

Di dalam kes Sharifah Laila Bt Syed Shamdin lwn Abdul Latif Bin Arshad (1994) 9 bhg 1J.H 16 Mahkamah Rayuan Syariah Selangor telah menyatakan bahawa perkataan mastautin seperti yang terdapat dalam Seksyen 2 enakmen tersebut hanya mensyaratkan seseorang itu tinggal tetap dalam suatu kawasan atau pada lazimnya tinggal di sesuatu kawasan, tidak disyaratkan hendaklah menjadi rakyat negeri di dalam kawasan ia berada. Berdasarkan peruntukan Seksyen 62 (2) (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang menyatakan bahawa
“Mahkamah Rendah Syariah hendaklah dalam bidangkuasa Mal, mendengar, dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi dibenarkan mendengar dan memutuskannya dalam mana jumlah atau nilai hal perkara yang dipertikaikan tidak melebihi seratus ribu ringgit atau yang tidak dapat di anggarkan dengan wang (tidak termasuk hadhanah dan harta sepencarian).”

Mahkamah merujuk pula Seksyen 61 (3) (b) Enakmen yang sama telah memperuntukkan:-
“Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah
(b) dalam bidangkuasa Malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding jika semua pihak dalam tindakan atau prosiding itu adalah orang Islam dan tindakan atau prosiding itu adalah berhubungan dengan :
ii. pertunangan, perkahwinan, ruju’, perceraian, pembubaran perkahwinan (fasakh), nusyuz, atau pemisahan kehakiman (faraq)atau apa-apa perkara yang berkaitan dengan perhubungan antara suami dan isteri;
iii. ……………………………………….”

Dari peruntukan-peruntukan di atas, jelaslah mahkamah ini diberikan kuasa untuk menentukan samada sah atau tidak sesuatu perceraian walaupun tiada peruntukan khusus yang diberikan kepada Mahkamah Syariah Selangor. Adalah menjadi amalan biasa Mahkamah-Mahkamah Syariah di Selangor menerima, mendengar dan memutuskan permohonan seperti ini di bawah Seksyen 45 yang memberi kuasa kepada Mahkamah untuk membuat suatu perintah perceraian. Dengan itu, Mahkamah berpendapat ia mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan ini.

Fakta Yang Menjadi Isu
Dalam kes ini, ada beberapa fakta utama yang perlu mahkamah putuskan. Isu isu tersebut adalah seperti berikut:
1. Samada rumahtangga Plaintif dan Defendan telah pecah belah dan jika sabit dakwaan Plaintif rumahtangganya bersama Defendan telah pecah belah adakah Mahkamah boleh mensabitkan perceraian secara fasakh seperti dikehendaki Seksyen 53 (1) (l) EUUKIS 2003.
2. Samada Defendan lazim menyakiti Plaintif sehingga menjadikan kehidupan Plaintif teraniaya dengan penganiayaan tersebut seperti dikehendaki Seksyen 53 (1) (h) (i) EUUKIS 2003.
3. Samada Defendan telah melupuskan harta – harta Plaintif seperti dikehendaki Seksyen 53 (1) (d) EUUKIS 2003.
4. Samada Mahkamah boleh mengisytiharkan Plaintif adalah seorang isteri yang derhaka (nusyuz) dan tidak berhak mendapat nafkah yang layak baginya menurut Hukum Syara’.
5. Isu yang berkaitan samada defenden cuai memperuntukan nafkah kepada Plaintif seperti dikehendaki Seksyen 53 (1) (b) EUUKIS 2003.

Sebelum mahkamah pergi lebih jauh dan mengulas lanjut berkaitan isu-isu di atas secara satu persatu dan terperinci, adalah lebih baik mahkamah merujuk kepada pendapat-pendapat ulama mu’tabar berkaitan keharusan permohonan isteri mendapatkan pembubaran perkahwinan melalui fasakh. Antaranya di dalam Kitab ‘Ianah At-Talibin dalam Jilid 4 mukasurat 84 ada menyebut:-



Maksudnya: “Peruntukan fasakh itu untuk mengelakkan kemudharatan kepada perempuan itu”

Selain itu, dalam Kitab Al-Fiqh Al-Islami Wa - ‘Adilatuh Juzu’ 7 mukasurat 527 telah memberi panduan kepada hakim untuk merungkaikan dan membubarkan perkahwinan disebabkan syiqaq atau adanya kemudharatan dan pergaulan yang buruk dalam rumahtangga. Ia nya berbunyi seperti berikut:-



Maksudnya: “Dan dari segi kemudharatan pula ialah suami menyakiti isterinya dengan kata-kata ataupun perbuatan seperti memaki hamun, memburukkan peribadi sehingga menjejaskan reputasi, memukul sehingga luka, mendorong atau memaksa melakukan perbuatan-perbuatan yang diharamkan Allah, meninggalkan isterinya dan tidak menegurnya tanpa sebab yang diharuskan dan lain-lain lagi yang seumpamanya.”

Mahkamah juga merujuk kepada Seksyen 53 Enakmen undang-Undang Keluarga Islam Negeri Seangor 2003 ada menyebut seperti di bawah:-
53.(1) Seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak untuk mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu-
a- bahawa tempat di mana beradanya suami atau isteri telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;
b- bahawa suami telah cuai dan telah tidak mengadakan peruntukkan bagi nafkahnya selama tempoh tiga (3) bulan;
c- bahawa suami atau isteri telah dihukum penjara selama tempoh tiga (3) tahun atau lebih;
d- bahawa suami atau isteri telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
e- bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
f- bahawa suami atau isteri telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
g- bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali Mujbinya sebelum ia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum umur lapan belas tahun, dan ia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
h- Bahawa suami atau isteri menganiaya isteri atau suaminya iaitu, antara lain-
(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;
(ii) berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan hukumsyarak;
iii- cuba memaksa isteri hidup secara lucah;
iv- melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami itu dari menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu;
v- menghalang isteri atau suami dari menunai atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya;
vi- jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak Hukum Syarak;
i- bahawa walaupun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya;
j- bahawa isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui Hukum Syarak;
k- bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguhpun berkebolehan memberi izin yang sah, adalah seorang yang sakit otak, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ord. 31/52] dan sakit otak adalah dari jenis atau setakat menjadikannya tidak layak untuk berkahwin; atau
l- apa - apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.
(2) Mana-mana orang yang berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapatkan perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh atas alasan isteri atau suami menjadi tak upaya yang menghalang persetubuhan.
(3) Tiada suatu perintah boleh dibuat atas alasan dalam perenggan (1) (c) sehingga hukuman itu telah dikemukakan dan suami atau isteri telahpun menjalani hukuman satu tahun dari hukuman itu.
(4) Sebelum membuat suatu perintah atas alasan dalam perenggan (1) (e) Mahkamah hendaklah, atas permohonan suami, membuat suatu perintah menghendaki suami memuaskan hati Mahkamah dalam tempoh satu tahun dari tarikh perintah itu bahawa dia tidak lagi mati pucuk, dan jika suami memuaskan hati mahkamah sedemikian dalam tempoh itu, tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas alasan itu.
(5) Tiada sesuatu perintah boleh dibuat atas mana-mana alasan dalam sub-seksyen (1) jika suami memuaskan hati Mahkamah bahawa isteri, dengan mengetahui bahawa adalah terbuka kepadanya untuk mendapatkan perkahwinan itu ditolak, telah bertingkahlaku terhadap suaminya dengan cara yang menyebabkan suami mempercayai dengan munasabah bahawa isteri tidak akan menolak perkahwinan itu, dan bahawa adalah tidak adil kepada suami jika dibuat perintah itu.

Merujuk kembali kepada kes yang dibicarakan dihadapan Mahkamah ini, Mahkamah merasakan adalah lebih baik jika Mahkamah mengulas satu persatu alasan-alasan Plaintif dalam kes ini dan juga tuntutan balas Defendan sebelum Mahkamah memutuskan sama ada permohonan ini diluluskan ataupun sebaliknya.

Fakta yang menjadi material kepada kes
Dalam hal ini timbul satu isu lain iaitu pada pandangan Mahkamah perlu putuskan berkaitan tempoh yang menjadi material kepada Mahkamah ini dalam menimbangkan fakta-fakta yang boleh diambil kira dalam kes ini untuk mensabitkan permohonan Plaintif. Bagi Mahkamah, tarikh yang menjadi material dan fakta yang dipertimbangkan oleh Mahkamah dalam kes ini hanyalah setakat sehingga 14hb Febuari 2002 iaitu apabila Mahkamah menerima aduan Plaintif melalui pindaan penyata tuntutan yang difailkan fakta-fakta yang terkehadapan daripada tarikh itu adalah tidak relevan dan dianggap sebagai tidak material.


Untuk selesai isu ini, Mahkamah ingin mengimbas kembali latar belakang kes ini. Asalnya kes permohonan di bawah seksyen 47 EUUKIS 1984 yang difailkan oleh Plaintif pada 30.05.2002. Defendan pada 26.08.2002 telah memfailkan Penyata Pembelaan dan tidak bersetuju dengan permohonan Plaintif. Plaintif telah meminda permohonan kepada Penceraian secara Fasakh di bawah Seksyen 53 enakmen yang sama dengan memfailkan Penyata Tuntutan Pindaan pada 14hb Febuari 2002.

Sebarang aduan dan dakwaan yang dibuat, Mahkamah ini terutama dalam kes penceraian fasakh perlu menyelesaikan fakta kes atau lainnya atau masalah yang berlaku sebelum aduan dibuat dan dalam kes Plaintif, tarikh 14hb Februari 2002 adalah tarikh Plaintif mendakwa atau memohon kepada Mahkamah untuk mendapatkan perceraian secara fasakh. Pada Mahkamah, fakta sebenar yang perlu Mahkamah putuskan Bukanlah dengan mengambil kira fakta yang berlaku sehingga kes selesai diputuskan kerana ianya merupakan dakwaan baru.

Isu yang pertama adalah Jika sabit dakwaan Plaintif rumahtangganya bersama Defendan telah pecah belah adakah Mahkamah boleh mensabitkan perceraian secara fasakh seperti dikehendaki Seksyen 53 (1) (l) EUUKIS 2003.

Mahkamah menolak alasan itu kerana Plaintif tidak menyatakan alasan Plaintif yang boleh dipertimbangkan oleh Mahkamah sebagai alasan lain yang diiktiraf oleh hukum syarak bagi membolehkan Mahkamah membubarkan pernikahan Plaintif dan Defendan seperti dipohon. Penggunaan sub-seksyen itu hendaklah disertakan dan dinyatakan alasan yang munasabah dan mempunyai hujjah syarak yang seharusnya digunakan oleh Plaintif dalam mendapatkan penceraian fasakh tersebut bagi Mahkamah menentukan samada itu diktirafkan oleh hukum syarak atau tidak. Dalam kes ini, Plaintif tidak menyatakan secara spesifik alasan dan hujjah syarak yang mengharuskan Mahkamah membenarkan alasan di atas digunakan.

Isu yang kedua adalah samada Defendan lazim menyakiti Plaintif sehingga menjadikan kehidupan Plaintif teraniaya dengan penganiayaan tersebut seperti dikehendaki Seksyen 53 (1) (h) (i) EUUKIS 2003.

Dalam permohonan ini, Plaintif telah memohon supaya perkahwinannya dengan Defendan dibubarkan melalui fasakh berasaskan alasan bahawa Defendan telah menganiayanya. Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor, di bawah seksyen 53 (1) (h) (i) memperuntukkan bahawa seorang perempuan yang berkahwin dibawah Hukum Syara’ adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas alasan suaminya telah lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh perlakuan aniaya.

Untuk Mahkamah mendapatkan penjelasan berkaitan prinsip-prinsip asas dalam pembuktian kes-kes sebegini Mahkamah merujuk kepada Kes Hairun Binti Mohd Sharif lawan Omar Mohd Noor, Yang Amat Arif Tan Sri Dato’ Haji Mohd Azmi menjelaskan bahawa di dalam ajaran Islam suami diberi hak memukul isteri sekiranya terdapat tanda-tanda isteri dikhuatiri nusyuz seperti dalam al-Quran Surah an-Nisa’ ayat 34;
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنْفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا (34)
Ertinya: “Dan wanita - wanita yang kamu khuatiri nusyuznya maka nasihatilah mereka dan pisahkan dari tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

Sudah dijelaskan dalam ayat Allah ini bahawa tindakan memukul isteri adalah hanya boleh berlaku pada peringkat ketiga setelah diberi nasihat dan setelah juga isteri itu dipisahkan dari tempat tidur. Walaubagaimanapun yang menjadi persoalannya adalah bagaimana pukulan yang dibenarkan kepada suami-suami sebagai pengajaran kepada isterinya. Untuk menjelaskan prinsip tersebut mahkamah melihat kepada tafsiran ulama’-ulama muktabar terhadap ayat tersebut seperti Al-Qurtubi di dalam tafsirnya, juzu’ 5, muka surat 172, menyatakan pukul dalam ayat ini adalah pukul adab dan maksud daripadanya antara lain, seperti memukul bapa akan anaknya kerana belajar al-Quran. Al-Alusy dalam Ruhul Maani juzu’ 5 muka surat 25, menyatakan pukul yang bukan menyakiti dengan sekira-kiranya tidak mencederakan dan tidak mematahkan tulang. Sementara al-Maraqi di dalam tafsirannya, juzu’ 5 muka surat 29 pula, berpendapat pukul ialah pukul yang tidak menyakiti yang bersangatan seperti pukul dengan tangan atau tongkat kecil.

Selain itu, sebelum apa-apa keputusan dibuat adalah wajar untuk mahkamah memahami apa yang dikendaki oleh peruntukan tersebut dalam kes-kes perceraian secara fasakh melalui penganiayaan suami. Untuk tujuan memahaminya perkataan seperti “lazim” dan “menyakiti” sendiri haruslah difahami terlebih dahulu. Mahkamah merujuk dalam Kamus Dewan, “lazim” bermakna biasa, selalu, ghalib, telah umum, kerap, acapkali, berkali-kali, seringkali. Sementara “menyakiti” bermakna mempersakiti menyebabkan berasa sakit dan termasuk apa jua perbuatan atau perkataan.

Seperti yang dijelaskan oleh Yang amat Arif Hakim Jawatankuasa Rayuan dalam kes di atas bahawa perkara pokok di bawah seksyen 52 (1) (h) yang harus difahami adalah penganiayaan (cruelty) oleh suami terhadap isteri dan sebagai contoh, enam ilustrasi telah dinyatakan di dalm perenggan kecil (i) hingga (vi). Contoh-contoh ini hendaklah dianggap sebagai “antara lain”. Penganiayaan di bawah seksyen 52 (1) (h) boleh berlaku dalam dua bentuk, iaitu dalam bentuk mental atau fizikal. Perkataan “lazim menyakiti” (atau “habitual assault”) di dalam contoh (i) di bawah seksyen tidak bermakna memukul secara fizikal. Di dalam bahasa perundangan, ada perbezaan antara perkataan “assault” dan “battery”. Perkataan “baterry” bermakna memukul dengan cara fizikal, tetapi perkataan “assault” tidak begitu.

Oleh yang demikian, perkataan “lazim menyakiti” hanya relevan dalam kes penganiayaan berbentuk mental seperti menyakiti hati dan perasaan yang hanya timbul apabila berlaku acapkali dalam jangkamasa dan oleh itu berkehendakkan “lazim” atau “habitual” dibuktikan oleh isteri. Kuasa mahkamah membubarkan perkahwinan atau fasakh kerana perbuatan yang menyebabkan berlakunya “dharar” terhadap isteri adalah berdasarkan kepada Mazhab Maliki. (Midad abdul Tawwab, Mausua’h Al- Maaarif, Iskandariayyah Egypt 1986, hal 646). Berdasarkan Dr. Ahmad Al-Husary. Al-Ahwal Al-Shakhsiyyah, Maktabah Al-Kulliyyat Al-Azhariyyah 1968, hal :727, Mesir), prinsip pembubaran perkahwinan atau fasakh kerana “aniaya” atau “dharar” ini tidak disyariatkan terhadap tubuh badan sahaja, malahan lebih luas dari itu termasuk enggan bercakap dengan isteri, membelakangkan isteri atau memalingkan muka darinya semasa di katil, mengutamakan memberi layanan kepada perempuan lain selain isteri, memukul dengan pukulan yang menyakiti dan seterusnya dan tidaklah disyariatkan pukulan itu dilakukan berulang kali dan lazim.

Pada satu peringkat lain iaitu pembuktian terhadap dakwaan pukul itu haruslah ditanggung oleh yang mendakwa iaitu Plaintif. Namun apa yang menjadi persoalannya adalah bagaimana pembuktian itu boleh diterima oleh Mahkamah? Dalam hal ini dan untuk menjelaskan lagi prinsip mahkamah terhadap tahap pembuktian kes-kes penderaan seperti ini Mahkamah suka merujuk kepada kes rujukan iaitu Abdul Hanif lwn Rabiah [53 JH (2) 11. Dalam kes Rayuan tersebut Pengerusi Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan dalam penghakimannya ada menyebut seperti berikut:-
“ …………. Tidaklah munasabah memerlukan seorang isteri yang mendakwa ia dipukul oleh suaminya mengadakan saksi-saksi seperti itu, kerana mustahil seorang suami apabila memukul isterinya akan memanggil dua orang saksi lelaki atau dua orang saksi perempuan dan seorang saksi lelaki untuk menyaksikan pukulan itu. Dalam perkara seperti itu tidak perlu keterangan diberi secara syahadah, dan memadai ia diberi sebagai baiyinah dan qarinah”

Berdasarkan pendapat di atas, adalah jelas bahawa pembuktian kes-kes sebegini boleh dibuktikan secara baiyinnah dan qarinah sahaja sepertimana prinsip ini terpakai di dalam kes Shaheila Binti Abdul Majid lwn Roslan Bin Aziz. Berbalik kepada kes ini, Plaintif telah mendakwa bahawa Defendan telah lazim menyakiti Plaintif sama ada secara fizikal ataupun mental.

Dalam kes ini, berdasarkan kepada keterangan saksi-saksi Plaintif dan juga Defendan, Mahkamah mendapati bahawa tiada bukti jelas menunjukkan Defendan lazim menyakiti Plaintif dari segi mental. Plaintif juga gagal membuktikan bahawa Defendan dalam tindakan –tindakannya, Defendan telah menyakiti Plaintif secara lazim. Apa yang dibentangkan dalam kes ini adalah tiada sebarang perlakuan memukul dan sebagainya melainkan wujud pergaduhan atau pertengkaran atau perbalahan atau perselisihan faham antara Plaintif dan ibu mertua iaitu SD 1 yang menyebabkan Plaintif rasa tidak selesa lagi untuk tinggal di rumah ibu mertuanya. Itu juga menyebabkan Plaintif keluar dari rumah pada 20hb Mac 2001 iaitu selepas waktu kerja dengan terus pulang ke kampungnya. Kejadian itu juga telah menimbulkan rasa tidak puas hati Plaintif terhadap Defendan kerana defendan tidak cuba menyelesaikan masalah tersebut. Berdasarkan penelitian Mahkamah terhadap semua keterangan yang dibentangkan, sebenarnya tiada bukti yang jelas dan konkrit daripada mana-mana keterangan pihak-pihak menunjukkan Defendan secara lazim dan sengaja menyakiti Plaintif secara mental mahupun secara fizikal.

Dalam isu ini, Mahkamah mendapati bahawa berkaitan dakwaan Plaintif bahawa Defendan menyakiti Plaintif yang bersalahan dengan hukum syarak ataupun menyakiti Plaintif secara fizikal adalah tidak dibuktikan. Malahan tiada keterangan saksi-saksi Plaintif yang menguatkan dakwaan tersebut secara qarinah yang memuaskan hati mahkamah yang dapat membuktikan berlakunya kejadian yang didakwa tersebut secara spesifik. Oleh itu, itu dalam isu ini mahkamah mendapati bahawa dakwaan Plaintif itu tidak dibuktikan dan alasan ini sukar diterima dan Mahkamah wajar menolaknya walaupun berkemungkinan berlaku.

Isu yang kedua adalah samada Defendan telah gagal menunaikan tanggungjawab perkahwinannya (nafkah batin) seperti dikehendaki Seksyen 53 (1) (d) EUUKIS 2003.

Mahkamah juga menolak alasan Plaintif memohon cerai fasakh dengan menggunakan alasan itu. Mahkamah bersetuju bahawa wujud bukti dan pengakuan Defendan sendiri sejak 20hb Mac 2001 sehingga kini Defendan menunaikan dan melaksanakan tanggungjawab sebagai suami iaitu memberi nafkah batin.

Namun yang menjadi persoalan adalah kegagalan Defendan itu disebabkan oleh suatu alasan yang munasabah atau tidak bagi Mahkamah. Berdasarkan pengakuan Plaintif dan Defendan juga saksi-saksi Plaintif dan Defendan kegagalan Defendan menunjukkan tanggungjawab perkahwinan adalah disebabkan Plaintif sendiri keluar dari rumah kelamin dan tidak balik dan kemudiannya terus tinggal bersama kakak Plaintif di Pelabuhan Klang. Dalam keadaan itu, bagaimana Defendan mahu melaksanakan? Apatah lagi dalam keadaan Plaintif sedang merajuk waktu itu atau dengan kata lain. Jika Defendan ingin melaksanakan tanggungjawab pada waktu itu dan juga sekarang adakah Plaintif merestui walaupun dalam keadaan Defendan masih suaminya dan Plaintif wajib taat kepadanya. Oleh itu, kegagalan Defendan menunaikan tanggungjawab itu adalah berasaskan alasan yang munasabah.

Isu yang seterusnya adalah samada Mahkamah boleh mengisytiharkan Plaintif adalah seorang isteri yang derhaka (nusyuz) dan tidak berhak mendapat nafkah yang layak baginya menurut Hukum Syara’.

Dalam tuntutan balas defendan telah memohon kepada mahkamah supaya mengisytiharkan Plaintif adalah seorang isteri yang derhaka (nusyuz) dan tidak berhak mendapat nafkah yang layak baginya menurut Hukum Syara’ beralasan Plaintif keluar rumah tanpa kebenaran defendan dan setelah dipujuk engkar dan enggan mengikut kehendak defendan sebagai suami, Plaintif enggan dan cuai menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri, Plaintif tidak lagi taat kepada suami dan tidak tinggal di tempat yang dikehendaki oleh defendan. Tujuan Defendan berbuat demikian adalah seperti yang telah maklum adalah untuk mendapatkan perintah supaya Plaintif tidak berhak menerima nafkah dalam tempoh selama Plaintif dan Defendan tinggal berasingan. Ianya sesuai dengan pendapat-pendapat ulama’ muktabar seperti di dalam Kitab Mu’in al-Mubin Juzu’ 4 muka surat 83 ada menyebut:-


Maksudnya: “Dan apabila didapati seorang tidak taat pada suaminya adalah ia menjadi nusyuz dan tidak wajib suami memberi nafkah selama dalam nusyuz.”

Dalam Kitab Kifayah al –Akhyar juzu’ 2 mukasurat 48 ada menyebut:-



Maksudnya: “Dan apabila seseorang nusyuz gugur ia daripada menerima nafkah, pakaian dan giliran”.

Sebelum Mahkamah memutuskan samada Mahkamah menerima atau menolak alasan Plaintif itu Mahkamah perlu pastikan samada tindakan Plaintif keluar rumah kelamin pada 20hb Mac 2001 mempunyai alasan yang munasabah atau dengan izin Defendan atau sebaliknya yang mana itu memberi kesan kepada nafkah itu sendiri.

Berdasarkan pengakuan Defendan, Mahkamah berpuashati bahawa Plaintif ada meminta izin daripada Defendan untuk keluar rumah dan balik ke kampung dan Defendan semasa keterangan mengaku ada memberi kebenaran selama seminggu sahaja dan sepatutnya pada 26hb Mac 2001 Plaintif kembali semula ke rumah kelamin mereka. Namun bagi Mahkamah keizinan Defendan kepada Plaintf itu adalah umum tanpa had masa atau batas tertentu kerana tidak dibuktikan dengan jelas oleh Defendan bahawa Plaintif hanya dibenarkan pulang selama satu minggu sahaja. Kedua-dua saksi Defendan tidak menyebut berkaitan perkara itu. Walaupun Plaintif tidak balik selepas satu minggu Defendan masih tidak mengambil apa-apa tindakan atau usaha kecuali membawa kepada kaunseling. Sepatutnya Defendan perlu membuat permohonan nusyuz terhadap Plaintif selepas proses kaunseling selesai dan keengganan Plaintif menurut hasil kaunseling. Namun Defendan tidak membuat apa-apa tindakan selepas itu sehingga Plaintif mendaftarkan permohonan di Mahkamah ini.

Selepas Plaintif memfailkan pindaan tuntutan kepada fasakh barulah Defendan memfailkan tuntutan supaya Plaintif diisytiharkan nusyuz oleh Mahkamah itu. Dalam keadaaan ini, Mahkamah beranggapan Defendan telah terlambat dalam tindakan itu bagi Mahkamah untuk mengusahakan Plaintif nusyuz. Bukanlah umun yang disangka kerana ada beberapa proses tindakan lain yang perlu disempurnakan. Oleh itu, tuntutan Defendan itu tidak wajar diterima kerana tidak memohon undang-undang dan syarak.
Berdasarkan pemahaman Mahkamah ini adalah antara tindakan-tindakan yang dikatakan oleh Defendan keluar rumah tanpa izin selain perkara - perkara di atas yang disebutkan terlebih dahulu sehingga menyebabkan Defendan memohon supaya Plaintif diisytiharkan nusyuz oleh Mahkamah ini. Persoalannya, adakah Mahkamah boleh membenarkan tuntutan balas defendan ini? Dalam mencari penyelesaian berkaitan isu ini Mahkamah merujuk kembali kepada Surah An-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud:-
“Dan wanita - wanita yang kamu khuatiri nusyuznya maka nasihatilah mereka dan pisahkan dari tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari - cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.”

Berdasarkan ayat di atas, adalah jelas bahawa sebelum apa tindakan untuk mengisytiharkan isteri sebagai nusyuz, suami perlulah melalui ketiga-tiga peringkat yang telah dijelaskan oleh ayat di atas. Dengan kata lain, suami haruslah berusaha memberi bimbingan dan nasihat supaya isteri mereka tidak melakukan tindakan-tindakan yang boleh menjerumuskan mereka sebagai isteri yang nusyuz. Dalam kes ini, tidak dijelaskan oleh defendan apakah tindakan-tindakan yang defendan lakukan dalam usaha menasihati Plaintif supaya kembali kepadanya samada melalui Kaunseling ataupun kaedah yang disebutkan di atas. Bahkan Defendan membuat pengakuan bahawa selepas Plaintif keluar dari rumah kelamin, hanya sekali sahaja Defendan datang untuk memujuk Plaintif sebelum hari raya pada tahun 2000. Turut dijelaskan oleh SP2 pada malam itu, telah menyaksikan berlakunya pertengkaran di antara Plaintif dan Defendan di rumah ibubapa Plaintif.

Selain itu Mahkamah juga merujuk kepada Kes Fakhariah Lokman lawan Johari Zakaria yang mana Hakim Bicara kes ini menyebut bahawa kes nusyuz tidak boleh ditimbulkan semasa kes nafkah tanpa terlebih dahulu seseorang suami memohon perintah Mahkamah bahawa isterinya telah nusyuz. Di dalam kes tesebut, Yang Amat Arif Hakim Rayuan, Tan Sri Mohamed Azmi telah menyebut:-
“Walaupun boleh dikatakan perlu diputuskan bahawa seorang isteri tidak nusyuz dan berhak mendapat nafkah, kami berpendapat dalam kes ini suami tidak pernah memohon perintah Mahkamah bahawa isterinya telah nusyuz. Keterangan yang diberi dalam kes ini menunjukkan isteri itu tidak lagi tinggal bersama suami selepas 25 November 1986, suami tidak membuat apa-apa aduan kepada Mahkamah bahawa isterinya nusyuz dan tidak mengambil langkah untuk mendapat perintah nusyuz dari Mahkamah. Kami berpendapat jika suami itu betul-betul ingin isterinya balik tinggal dengannya dia seharusnya berusaha supaya perkara itu dapat diselesaikan di luar atau di hadapan Mahkamah. Di dalam al-Quran, kita dapat banyak nasihat dan pedoman mengenai perkara ini. Umpamanya di dalam Surah Al-Baqarah (2):231 yang disebut maksudnya:-
وَإِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَبَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَأَمْسِكُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ أَوْ سَرِّحُوهُنَّ بِمَعْرُوفٍ وَلَا تُمْسِكُوهُنَّ ضِرَارًا لِتَعْتَدُوا وَمَنْ يَفْعَلْ ذَلِكَ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ وَلَا تَتَّخِذُوا آَيَاتِ اللَّهِ هُزُوًا وَاذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَمَا أَنْزَلَ عَلَيْكُمْ مِنَ الْكِتَابِ وَالْحِكْمَةِ يَعِظُكُمْ بِهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ (231)
“ ……. Bolehlah kamu pegang mereka dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka dengan maksud memberi mudharat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka; dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri.”

Kes di atas telah menjelaskan bahawa perlunya dan menjadi tanggungjawa Defendan dalam kes ini mengambil apa-apa tindakan yang sewajarnya untuk mengisytiharkan Plaintif sebagai isteri yang nusyuz. Sedikit persamaan di antara kes yang dirujuk dan kes ini iaitu Plaintif telah tidak lagi tinggal bersama dengan Defendan sejak Disember 2000 sehingga kini. Dan sejak itu juga, tiada apa-apa tindakan yang diambil oleh defendan samada mengadu di Mahkamah atau sebagainya untuk mengisytiharkan Plaintif sebagai isteri yang nusyuz. Sejak tarikh Plaintif keluar rumah sehingga kes difailkan, tiada wujud sebarang tanda atau bukti tentang usaha Defendan untuk mengajak Plaintif kembali ke Pangkuan Defendan. Hanya selepas permohonan cerai secara fasakh difailkan, defendan memfailkan tuntutan balas untuk mengisytiharkan Plaintif sebagai isteri yang nusyuz. Pada pandangan Mahkamah berdasarkan kepada fakta kes berkaitan isu ini, kes di atas yang di rujuk oleh Mahkamah telah menjelaskan secara jelas tentang pendirian Mahkamah berkaitan isu ini.

Sebenarnya pada pandangan Mahkamah, sebelum sesuatu permohonan perisytiharan nusyuz dibuat terhadap seseorang isteri, adalah menjadi kewajipan pada Mahkamah ini meneliti dan membicarakan kes tersebut. Pensabitan nusyuz hanya boleh dibuat oleh mahkamah ini sahaja dan apabila Mahkamah berpuashati bahawa wujud tanda-tanda bahawa seseorang isteri telah nusyuz. Ini bermakna perisytiharan tersebut banyak bergantung kepada bukti-bukti yang kukuh yang mana menjadi tanggungjawa ke atas suami membuktikannya jika suami itu mendakwa isterinya nusyuz. Kebiasaannya, berdasarkan Perundangan Syariah masa kini, defendan mempunyai dua kaedah atau cara untuk mengisytiharkan Plaintif sebagai isteri yang nusyuz samada melalui kes Mal ataupun kes jenayah.

Selain itu, Penggunaan Seksyen 60 (1) (2) Enakmen Undang – Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 oleh Defendan sebagai hujjah untuk membolehkan Mahkamah mensabitkan Plaintif sebagai isteri yang nusyuz juga adalah tidak relevan sama sekali. Seksyen berkenaan sebenarnya adalah seksyen yang menerangkan kesan-kesan yang akan berlaku terhadap Plaintif sekiranya Plaintif diisytiharkan oleh mahkamah ini sebagai nusyuz. Selain itu, seksyen tersebut juga menjelaskan selama mana tempoh nusyuz dan bila tempoh tersebut akan tamat. Untuk mengisytiharkan seseorang itu nusyuz, pada pandangan mahkamah ini, permohonan boleh difailkan dalam kes Mal selain daripada dalam tuntutan balas, ianya boleh difailkan berdasarkan Seksyen 61 (3) (b) (i) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Manakala dalam kes jenayah pula, perlulah merujuk kepada Seksyen 130 Enakmen Undang – Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 di dalam Bahagian Penalti.

Secara umumnya Mahkamah sependapat dengan pandangan yang dikemukakan oleh Yang arif Tuan Hakim Zainor Rashid Bin Hassin semasa membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Isteri Nusyuz, Suami Nusyuz: Prosedur, Perlaksanaan Dan Isu-Isu Di Mahkamah Syariah” di dalam Seminar Anjuran Persatuan Peguam Syarie Malaysia bersama Jabatan Syariah Undang-Undang Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya yang beliau berpendapat BAHAWA ketiga-tiga cara ini dirasakan sesuai dijadikan panduan kerana ianya tidak bertentangan dengan apa yang diperuntukan di dalam seksyen 7, 66 dan 187 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) No 4 Tahun 2003 seperti dibawah:-

Pertama: Notis Permohonan Ex-Parte [Prosiding Interlokutori]
Tindakan permulakan dengan Notis permohonan secara ex-parte boleh dilakukan oleh suami untuk mendapatkan pengesahan bahawa isteri telah nusyuz. Kebiasaannya permohonan secara ex-parte boleh didengar dengan kehadiran satu pihak iaitu Plaintif untuk mendapatkan sesuatu perintah, manakala pihak Defendan hanya diberi peluang untuk menjawabnya selepas menerima perintah tersebut. Merujuk kepada Arahan Amalan No 2 Tahun 2002, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia permohonan ex-parte hendaklah dimulakan prosidingnya di Mahkamah Tinggi Syariah.

Di dalam kes nusyuz, biasanya cara ini dilakukan oleh pihak suami untuk mendapatkan pengesahan dokumen yang pernah di hantar oleh suami (biasanya surat mengarahkan isteri balik- hidup bersama atau supaya taat) dianggap sebagai suatu perintah yang sah dan keingkaran untuk mematuhinya boleh dianggap menghina mahkamah dan dikenakan contoh kes Mat Rasip Manap lawan Zainabi Ibrahim dan Wan Shalihudin lawan Raja Suzana. Secara ringkasnya, di dalam permohonan ex-parte ini suami hanya memohon perintah untuk mendapatkan pengesahan bahawa surat yang telah di hantar kepada isterinya adalah boleh dianggap sebagai suatu perintah yang sah dan keingkaran mematuhinya boleh dianggap sebagai telah melakukan nusyuz ataupun tidak menurut perintah.

Di dalam membuat permohonan secara ex-parte ini pihak suami perlu mengemukakan affidavit. Di samping itu, ia juga dikehendaki mengemukakan salinan kad pengenalan, salinan surat nikah, salinan surat dari Pejabat Agama Islam Daerah, salinan surat yang dihantar kepada pihak isteri dan bukti penerimaan surat itu oleh pihak isteri. Di samping itu, permohonan secara ex-parte juga tertakluk kepada Arahan Amalan No 11 Tahun 2003, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Bagi pihak isteri pula, selepas ia menerima perintah tersebut ia boleh memfailkan notis bantahan dalam tempoh empat belas hari selepas perintah itu diterima. Tindakan ini boleh dirujuk di dalam kes Mat Rasip Manap lawan Zainabi binti Ibrahim dan Wan Shalihudin Wan Ibrahim lawan Raja Suzana Raja Nasron. Berdasarkan kepada keterangan di atas dan kes yang dikemukakan, boleh dikatakan antara prosiding untuk permohonan mengesahkan isteri telah nusyuz secara ex-parte ialah:
ix. Aduan di Pejabat Agama
x. Proses khidmat nasihat/rundingcara
xi. Menghantar surat kepada isteri supaya balik dan taat. (biasanya secara A.R Register).
xii. Memfailkan kes di Mahkamah (sekiranya usaha di peringkat (ii) dan (iii) gagal. Permohonan dibuat dengan notis Ex-parte berserta affidavit.
xiii. Perbicaraan di Mahkamah untuk mendapatkan perintah pengesahan
xiv. Penyerahan perintah kepada pihak isteri (jika diluluskan)
xv. Pihak isteri membuat bantahan (dalam tempoh 14 hari selepas terima perintah).
xvi. Keputusan muktamad dari Mahkamah. [Perbicaraan secara inter - partes]

Kedua: Saman
Tindakan yang perlu diambil oleh suami untuk membuat permohonan mengesahkan isteri telah tidak taat (nusyuz) secara ini akan dibicarakan dengan kehadiran kedua-dua belah pihak setelah prosiding berkaitan dengan saman sepertimana diperuntukkan dalam Bahagian III, Bab 2 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) No 4 Tahun 2003 disempurnakan. Sekiranya ada pihak yang tidak hadir ada beberapa tindakan boleh dibuat, antaranya:
iv. Sekiranya pihak Plaintif tidak hadir kes boleh dibuang. Ini sesuai dengan peruntukan subseksyen 121 (1) (c) Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah. (Negeri Selangor) No 4 Tahun 2003.
v. Sekiranya pihak Defendan tidak hadir kerana Saman tersebut belum dapat diserahkan Mahkamah boleh menangguhkan kes tersebut. Ini sesuai dengan peruntukan subseksyen 121 (2) Enakmen Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) No 4 Tahun 2003.
vi. Sekiranya pihak defendan tidak hadir dan notis telah diterima, maka waran tangkap boleh dikeluarkan. Ini bersesuaian dengan peruntukan seksyen 51 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) No 4 Tahun 200.
Secara ringkasnya, tindakan yang perlu diambil untuk mengesahkan isteri telah nusyuz berpandukan prosedur ini ialah:
vi. Aduan di Pejabat Agama Islam Daerah
vii. Proses Khidmat Nasihat/ Rundingcara
viii. Pihak suami menghantar surat/dokumen kepada isteri supaya kembali semua dan taat (Surat A.R Register)
ix. Memfailkan kes jika usaha (ii) dan (iii) gagal. Permohonan difailkan dengan Saman dan Penyata Tuntutan.
x. Perbicaraan dan keputusan muktamad akan dikeluarkan oleh Mahkamah.

Ketiga : Pembelaan dan Tuntutan Balas
Selain daripada memulakan sendiri prosiding untuk pensabitan nusyuz, seseorang suami boleh melaksanakan prosiding nusyuz setelah menerima Saman daripada isteri. Tindakan membuat pembelaan oleh seseorang suami terhadap tuntutan yang dibuat oleh seseorang isteri dalam tuntutan nafkah, perceraian ta’liq atau fasakh beserta dengan tuntutan balas supaya isteri tersebut disabitkan sebagai seorang yang nusyuz adalah merupakan antara cara yang boleh digunakan untuk mensabitkan seseorang isteri itu nusyuz. Dalam tindakan ini pihak suami hanya perlu menunggu saman dan penyata tuntutan yang difailkan dan membuat pembelaan dan tuntutan balas dalam tempoh yang ditetapkan oleh Mahkamah. Ini selari dengan peruntukan seksyen 66 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) No 4 Tahun 2003. Sekiranya telah ada keputusan mengenai nusyuz sebelum kes tersebut, isu nusyuz tidak boleh dijadikan tuntutan balas. Ini sepertimana dijelaskan melalui Arahan Amalan No 11 Tahun 2001, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Secara ringkasnya, sekiranya isu nusyuz ingin ditimbulkan dalam pembelaan, tindakan yang perlu diambil untuk mengesahkan isteri telah nusyuz berpandukan ialah:
viii- Aduan di Pejabat Agama Islam Daerah
ix- Proses Khidmat Nasihat/ Rundingcara
x- Pihak suami menghantar surat/dokumen kepada isteri supaya kembali semua dan taat (Surat A.R Register)
xi- Terima Saman
xii- Failkan Pembelaan dan Tuntutan balas
xiii- Perbicaraan
xiv- Keputusan Mahkamah
Manakala dalam kes Jenayah, secara ringkasnya pendakwaan kes nusyuz oleh Pendakwa Syarie atau Pegawai Penguatkuasa Agama adalah seperti berikut: -
i - Aduan oleh suami kepada Penguatkuasa Agama.
ii - Penguatkuasa Agama membuat siasatan.
ix- Penguatkuasa Agama memanjangkan kes untuk diteliti oleh Pendakwa.
x- Pendakwa mendaftarkan kes
xi- Pihak Mahkamah mendaftar dan menentukan tarikh sebutan dan perbicaraan
xii- Saman dikeluarkan oleh pihak Mahkamah kepada Tertuduh.
xiii- Tuduhan akan dibacakan dan perbicaraan akan diadakan pada tarikh yang telah ditetapkan
xiv- Mahkamah akan membuat keputusan.
Bagi kes dakwaan yang dibuat oleh seorang pengadu tindakan pendakwaan yang berjalan adalah seperti berikut:-
i- Aduan pihak suami dihadapan hakim. Ini berdasarkan peruntukan subeksyen 74 (1) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) No 3 Tahun 2003.
ii- Mahkmah arahkan Penguatkuasa Agama membuat siasatan.
iii- Penguatkuasa Agama mengemukakan hasil siasatan kepada Mahkamah ataupun memanjangkan kes untuk diteliti oleh Pendakwa (Lebih baik panjangkan kepada Pendakwa ].
x- Pendakwa mendaftarkan kes.
xi- Pihak Mahkamah mendaftar dan menentukan tarikh sebutan dan perbicaraan.
xii- Saman dikeluarkan oleh pihak Mahkamah kepada Tertuduh.
xiii- Pengadu mohon kebenaran mendakwa.
xiv- Tuduhan akan dibacakan dan perbicaraan akan diadakan pada tarikh yang telah ditetapkan.
xv- Mahkamah akan membuat keputusan.

Di dalam kes Mal, beban pembuktian adalah terletak kepada pihak Plaintif. Sekiranya ianya dijadikan sebagai satu pembelaan dan tuntutan balas oleh pihak Defendan, pembuktian untuk membuktikan isteri itu nusyuz terletak pada pihak suami yang membuat tuntutan balas tersebut. Ini selari dengan kaedah
“ البينة على المدعى واليمين على من انكر "
Maksudnya:- Keterangan atas yang mendakwa dan Sumpah atas yang Ingkar

dan ianya selari dengan peruntukan seksyen 72, 73. 74 dan 75 Enakmen Keterangan Mahkmah Syariah (Negeri Selangor) No 5 Tahun 2003. Plaintif bertanggungjawab untuk membuktikan segala dakwaan dan alasan-alasan permohonan beliau. Seksyen-seksyen tersebut memperuntukkan bahawa

74. Beban mengemukakan keterangan dalam sesuatu kes mal terletak pada pada orang yang mengatakan atau menegaskan sesuatu fakta (al Mudda’ii) dan orang yang mengangkat sumpah untuk menafikan atau mempertikaikan sesuatu fakta al Mudd’a’alaih).
75. (1) Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana mahkamah memberi penghakiman tentang apa-apa hak atau tanggungan di sisi undang-undang yang bergantung kepada kewujudan fakta yang ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan bahawa fakta itu wujud.
(2) Apabila seseorang terikat membuktikan kewujudan sesuatu fakta, maka dikatakan bahawa beban membuktikan terletak pada orang itu.
74. Beban membuktikan dalam sesuatu guaman atau prosiding adalah terletak pada orang yang akan gagal sekiranya tiada apa-apa keterangan langsung diberikan oleh mana-mana pihak.
76. Beban membuktikan tentang apa-apa fakta tertentu terletak pada orang yang berkehendakkan mahkamah mempercayai tentang kewujudan fakta itu.

Di dalam kes Norazian Binti Mohd Yusof lwn Khairul Azmi Bin Mohd Rasid, Yang Amat Arif Hakim menyatakan:
“ Mengikut undang-undang sesiapa mendakwa, beban pembuktian adalah terletak di atasnya, lihat seksyen 72 Enakmen Keterangan Syariah 1991 tetapi pihak Defendan tidak membawa saksi seperti dikehendaki oleh Syarak”

Di dalam kes jenayah pula, selari dengan kaedah


Maksudnya: Pada asalnya seseorang itu bebas daripada sebarang tanggungan.

Dalam kes yang dibicarakan di hadapan Mahkamah ini, Mahkamah mendapati selain dari pengakuan Plaintif bahawa Plaintif keluar dari rumah kelamin, Defendan tidak membuktikan apa-apa yang membolehkan Mahkamah ini mensabitkan Plaintif telah nusyuz. Semasa perbicaraan berlangsung tiada bukti yang jelas oleh Defendan yang menunjukkan tindakan-tindakan di atas diambil oleh defendan atau qarinah lain yang boleh menguatkan dan membuktikan dakwaan Defendan adalah benar. Dakwaan Defendan ini sebenarnya tidak dibuktikan dengan apa pembuktian yang sepatutnya dan oleh yang demikian Mahkamah berpendapat dakwaan tersebut gagal dibuktikan dan wajar ditolak tuntutan balas Defendan tersebut.

Isu yang seterusnya adalah Defendan cuai memperuntukan nafkah kepada Plaintif seperti dikehendaki Seksyen 53 (1) (b) EUUKIS 2003.

Sebelum mahkamah mengulas lanjut isu ini, haruslah difahami apakah yang dimaksudkan dengan pengertian yang dimaksudkan oleh Hukum Syara’ terlebih dahulu. Untuk ini, mahkamah merujuk kepada Kes Rosnani Binti Abd. Ghani Lawan Zulkifli. Hakim Bicara dalam kes ini, Yang Arif Tuan Hakim Abu Bakar Bin Ahmad yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Malaysia telah menjelaskan dengan panjang lebar berkaitan Pengertian Nafkah tersebut. Menurutnya dalam kes tersebut:-
“Nafkah adalah segala yang dibelanjakan kata nafkah hanya dipergunakan untuk kebajikan, sebab-sebab wajib nafkah ada tiga perkara iaitu disebabkan nikah, qarabah dan milik. Hak isteri dari suaminya itu ada tujuh iaitu 1) makan 2) lauk 3) pakaian 4) kebersihan 5) pakaian 6) perkakas rumah tempat tinggal 7) khadam jika biasa berkhadam. Kesimpulannya adalah wajib suami memberi nafkah kepada isteri atau di dalam tanggungannya sepertimana di dalam syarah Kitab Raudh al-Thalib Juzuk 3, Bahagian an-Nafkah muka surat 426.”

Selain itu, ianya telah dijelaskan dalam al-Quran dalam Surah An-Nisa’ yang berbunyi:-

Maksudnya: “Laki-laki itu pemimpin bagi perempuan-perempuan kerana Tuhan telah melebihkan sebahagian dari yang lain dan kerana itu lelaki telah menafkahkan sebahagian dari hartanya sebab itu perempuan yang baik ialah perempuan yang patuh dan menjaga dirinya semasa suaminya tiada, bahagian yang disuruh Allah.”

Rasulullah s.a.w juga ada bersabda yang berbunyi:-



Maksudnya: “Dan takutlah kamu akan Allah dalam perkara - perkara perempuan - perempuan kerana sesungguhnya kamu telah ambil mereka dengan amanah Allah, kamu telah menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah dan bagi mereka atas kamu rezeki mereka dan pakaian mereka yang baik.”

Dalam Kes Hairun Binti Mohd Sharif lawan Omar Mohd Noor yang mana dala kes ini Yang Amat Arif Tan Sri Dato’ Haji Mohd Azmi menjelaskan bahawa berdasarkan qaul Imam Shafii’, yang memutuskan bahawa perkahwinan hanya boleh difasakhkan setelah dibicarakan dan diputuskan oleh Kadi atau Hakim Mahkamah, dan hak untuk fasakh tersebut sekiranya kerana papanya, adalah seperti berikut;
1- Tiada kuasa memberi belanja makan dan minum.
2- Tiada mampu memberi pakaian yang layak dan patut.
3- Tidak dapat mengadakan rumah tempat kediaman yang patut.
4- Tidak kuasa membayar maharnya yang tunai sebelum bersetubuh.

Maka, apabila cukup syarat-syarat fasakh, iaitu isteri tidak melakukan nusyuz dan si suami tidak mempunyai harta yang hadir (ada bersamanya), hendaklah Kadi atau Hakim itu memberi tempoh tiga hari. Kemudian selepas tiga hari serta malamnya tiada juga kuasa suami mengadakan sekecil-kecil nafkah (iaitu separuh nafkah yang biasa) maka barulah Kadi atau Hakim tersebut menfasakhkan nikah tersebut. Ini adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Daruquthni dan al-Baihaqi, Sabda Rasulullah s.a.w.:


Ertinya: Telah bersabda Rasullullah s.a.w berkenaan seorang laki-laki yang tiada dapat memberi nafkah kepada isterinya hendaklah dipisahkan antara keduanya.

Berdasarkan hukum fiqh yang yang tersebut dalam Kitab Sunan al-Matalib bin Syarki Raudi al-Matalib;
“Bagi seorang isteri kepada seorang suami yang tidak mampu memberi nafkahnya dan dia mempunyai hak fasakh atas perkahwinannya. Dan bahawa jika ia (isteri) memilih untuk bersabar ia boleh bersabar dan membelanjakan wang ringgitnya sendiri untuk dirinya dengan perkiraan perbelanjaan itu ditanggung oleh suaminya hingga suami itu terlepas dari kesusahan yang dihadapi. Dan sekiranya ia (isteri) memilih fasakh, maka ia berhak berbuat demikian.”

Ironisnya, sehingga Plaintif diisytiharkan nusyuz, Defendan wajib memberi nafkah kepada Plaintif apatah lagi tindakan Plaintif keluar rumah itu dipinda oleh Defendan. Walau di mana Plaintif tinggal sekalipun Defendan wajar memberi nafkah. Menurut Plaintif, Defendan telah gagal memberi nafkah di antara bulan Mac 2001 sehingga Julai 2001. Dalam satu keterangan semula Plaintif melalui sekali sahaja iaitu bulan Jun 2001. Selain itu, Defendan menghantar nafkah kepada Plaintif melalui wang pos walaubagaimanapun Defendan gagal mengemukakan wang pos.

Bagi Mahkamah dalam isu nafkah apabila ada atau wujud dakwaan oleh isteri, suami tidak memberi nafkah. Jika adalah menjadi sebab suami membuktikan bahawa Defendan ada memberi nafkah dalam kes ini. Namun Defendan gagal kemukakan bukti itu bagi nafkah bulan Mac, April dan Mei 2001. Diandaikan juga bahawa Mahkamah menerima dakwaan Defendan bahawa Defendan pada bulan yang didakwa itu ada mengirimkan nafkah melalui wang pos. Namun Defendan masih gagal membuktikan Defendan memberi nafkah pada bulan Ogos 2001 sehingga bulan April 2002.

Apa yang jelas berdasarkan pengakuan Defendan bahawa Defendan mengakui sejak bulan Ogos 2001. Defendan telah tidak menghantar nafkah dengan alasan tidak tahu tempat tinggal Plaintif. Bagi Mahkamah alasan itu tidak boleh diterima kerana sebelum itu Defendan menghantar nafkah kepada Plaintif melalui wang pos menggunakan alamat tempat kerja Plaintif. Mengapa dalam keadaan ini Defendan boleh mengatakan bahawa Defendan tidak tahu tempat tinggal Plaintif sebagai alasan tidak memberi nafkah kepada Plaintif. Bagi Mahkamah ianya adalah satu alasan itu adalah tidak munasabah dan sengaja diada – adakan untuk mengelakkan diri Defendan dari menunaikan kewajipannya sebagai suami.

Apatah lagi Defendan tahu dan kenal adik beradik Plaintif kesemuanya. Oleh itu tidak menjadi masalah sekiranya Defendan benar ingin memberi nafkah kepada Plaintif. Kegagalan Plaintif memberi nafkah kepada Plaintif bermula sejak bulan Ogos 2001 seperti mana pengakuan sehingga tarikh aduan yang Mahkamah terima iaitu 14hb Febuari 2002.
i. Ogos
ii. September
iii. Oktober
iv. November
v. Disember
vi. Januari
vii. Febuari

Dalam kes ini, berdasarkan pengakuan Defendan, selepas Plaintif keluar dari rumah kelamin pada Ogos 2001 Defendan sememangnya tidak memberikan nafkah dengan dakwaan bahawa semua keperluan telah disediakan di rumah kelamin mereka. Defendan turur mengakui bahawa tidak pernah memberi nafkah samada makanan, pakaian atau tempat tinggal lain selepas Plaintif keluar dari rumah mereka. Jika dihitung mulai Ogos 2001 sehinggalah permohonan fasakh ini difailkan pada 14hb Febuari 2002, Mahkamah dapati bahawa defendan telah tidak memperuntukkan nafkah tersebut selama lebih kurang 7 bulan tidak termasuk 3 bulan yang seperti di atas yang mana ianya melebihi tempoh yang disyaratkan di dalam Seksyen 53 (1) (b). Pada Pendapat Mahkamah, Mahkamah hanya menghukum berdasarkan apa yang dizahirkan sahaja sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang berbunyi:-
امرت أن أحكم بالظواهر والله يتولى بالسرائر
Maksudnya:- “Aku di suruh menghukum dari segi zahirnya, Allah sahaja mengetahui batinnya.”

Keputusan
Berdasarkan alasan-alasan yang telah diberikan maka mahkamah memutuskan seperti berikut:-
1. Mahkamah sabitkan Defendan telah gagal memberikan nafkah dalam tempoh 3 bulan.
2. Mahkamah meluluskan permohonan Plaintif berdasarkan seksyen 53 (1)(b).
3. Mulai hari ini 14hb September 2004 jam 9.40 pagi, Mahkamah membubarkan pernikahan di antara Plaintif Norwasitah Bt. Hj. Panot dengan Defendan Mohd. Azri B. Buniawi. Mahkamah memerintahkan Plaintif beriddah 3 kali suci hari ini.
4. Penceraian ini didaftarkan dan Surat Perakuan Nikah 178/99/078247 dipulangkan kepada Pejabat Agama Islam daerah Klang dan dibatalkan.
5. Mana-mana pihak yang tidak berpuashati hendaklah mengemukakan Notis Rayuan dalam tempoh 14 hari.

………………………….…
Tandatangan Hakim
14.09.2004

No comments: