Friday, March 03, 2006

Kes Fasakh

HASLINDA BT MOHD SOM
DAN
MOHD. RAZAK B. SAAD

Dalam Mahkamah Rendah Syariah Di Klang, Selangor Darul Ehsan (Di hadapan Tuan Hakim Mohamed Fouzi Bin Mokhtar) Bertarikh pada 30 hb Jun 2004
KES MAL BIL. 234 TAHUN 1999

Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 - Permohonan Perceraian Secara Fasakh di bawah Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 – Permohonanan Dipinda Kepada Perceraian Secara Ta’lik di Bawah Sesksyen 50 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 -

Keputusan

Diputuskan bahawa mahkamah ini memerintahkan seperti berikut:
1. Mahkamah mensabitkan Defendan tidak melanggar lafaz takliq pada 07.11.1999.
2. Oleh itu, Mahkamah dengan ini menolak permohonan Plaintif di bawah Seksyen 50 Enakmen Undang – Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 1984 Pindaan 1988.

3. Mana-mana pihak yang tidak berpuashati boleh mengemukakan notis rayuan dalam tempoh 14 hari daripada keputusan ini dibacakan.
4. Kos hendak ditanggung oleh pihak-pihak.
Peguam Syarie
Puan Ainon Binti Abdul Rahman (Tetuan Ainon A. Rahman & Associates) mewakili Plaintif.
Encik Noor Aizan Bin Idrus (Tetuan Noor Aizan & Partners) mewakili Defendan.

Surah Al-Quran Yang Dirujuk

Surah Al-Talaq, ayat 6
Surah A-Talaq, ayat 7
Surah Al-Baqarah ayat 236
Surah Al-Baqarah ayat 241
Surah al-Ahzab ayat 49

Hadis Yang Dirujuk

-Tiada -

Kitab Yang Dirujuk

Undang –Undang Yang Dirujuk

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003
(Seksyen 4, Seksyen 45, Seksyen 66, Seksyen 58, Seksyen 60 dan Seksyen 62)
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003
(Seksyen 62 (2) (b) dan Seksyen 61 (3) (b))
Enakmen Keterangan Syariah (Negeri Selangor) 2003
(Seksyen 3, 17, 48, 49, 50, 73, 74, 75, 76 dan Seksyen 77)

Kes –Kes Yang Dirujuk

Sharifah Laila Bt Syed Shamdin lwn Abdul Latif Bin Arshad (1994) 9 bhg 1 J.H 16

Alasan Penghakiman

Plaintif dan Defendan dalam kes ini telah berkahwin pada 24 Febuari 1998 di Masjid Kg. Delek, Klang. Selangor dan berwalikan bapa plaintif. Hasil perkahwinan tersebut mereka tidak dikurniakan anak lagi. Perkahwinan ini adalah perkahwinan pertama plaintif. Plaintif bekerja sebagai guru dan defendan bekerja sebagai posman. Plaintif telah memohon perceraian fasakh tetapi gagal kemudian plaintif telah meminda tuntutannya kepada cerai takliq. Menurut Defendan, Plaintif tidak pernah diisytiharkan nusyuz oleh mana-mana Mahkamah. Plaintif memohon perceraian takliq kerana defendan seorang yang tidak bertanggungjawab dan selama 4 bulan berturut-turut defendan tidak memberi nafkah pada plaintif. Selepas permohonan cerai defendan dan plaintif tidak tinggal bersama. Semasa tidak tinggal bersama Defendan tidak pernah memberi nafkah samada melalui pos atau orang lain. Kini Defendan telah tinggal bersama isteri baru. Defendan telah mengaku berkahwin pada bulan mac 2002. ketika itu Plaintif masih lagi isteri yang sah pada defendan.
Bidangkuasa

Mahkamah bersetuju dengan hujah peguam Plaintif bahawa Mahkamah mempunyai bidangkuasa mendengar kes ini seterusnya memutuskan kes ini berdasarkan Seksyen 4 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984 (Pindaan 1988) memperuntukan:-
Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dengan nyata selainnya, Enakmen ini terpakai bagi semua orang Islam yang tinggal dalam Negeri Selangor dan bagi semua Orang Islam yang bermastautin dalam negeri selangor tetapi tinggal di luar Negeri itu.
Seksyen 45 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984 (Pindaan 1988) memperuntukan:-

Kecuali sebagaimana diperuntukkan selainnya dengan nyata tiada apa-apa jua dalam Enakmen ini membolehkan mahkamah membuat sesuatu perintah perceraian atau perintah mengenai perceraian atau membenarkan seseorang suami melafazkan talaq kecuali :-
a)- jika perkahwinan itu telah didaftarkan atau disifatkan sebagai didaftarkan di bawah Enakmen ini;
b)- jika perkahwinan itu telah dilangsungkan mengikut hukum syarak;dan
c)- jika pemastautinan salah satu pihak kepada perkahwinan pada masa permohonan itu diserahkan adalah dalam negeri Selangor.
Mengenai pemastautinan, Plaintif telah memenuhi syarat yang diberikan di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor. Mahkamah berpuashati Plaintif telah tinggal di alamat No. 25 Lot 1709, Kg. Delek, 41250 Klang, Selangor Darul Ehsan melalui Lampiran Kad Pengenalan Plaintif manakala Defendan di No. 74 C, Block N, Jalan Sungai Baru, 50300 Kampung Baru Kuala Lumpur. Ianya jelas bahawa permohonan ini memenuhi kehendak Seksyen 45 (1) (C) EUUKIS 1984 yang hanya memerlukan pemastautinan satu pihak sahaja adalah di negeri Selangor. Seksyen 2 EUUKIS memperuntukkan “bermastautin” ertinya tinggal tetap atau pada kelazimannya dalam sesuatu kawasan yang tertentu.
Di dalam kes Sharifah Laila Bt Syed Shamdin lwn Abdul Latif Bin Arshad (1994) 9 bhg 1 J.H 16 Mahkamah Rayuan Syariah Selangor telah menyatakan bahawa perkataan mastautin seperti yang terdapat dalam Seksyen 2 enakmen tersebut hanya mensyaratkan seseorang itu tinggal tetap dalam suatu kawasan atau pada lazimnya tinggal di sesuatu kawasan, tidak disyaratkan hendaklah menjadi rakyat negeri di dalam kawasan ia berada.

Berdasarkan peruntukan Seksyen 43 (2) (b) Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Selangor 1989 Pindaan 1992 yang menyatakan bahawa
Mahkamah Rendah Syariah hendaklah dalam bidangkuasa Mal, mendengar, dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi dibenarkan mendengar dan memutuskannya dalam mana jumlah atau nilai hal perkara yang dipertikaikan tidak melebihi seratus ribu ringgit atau yang tidak dapat di anggarkan dengan wang.
Mahkamah merujuk pula Seksyen 42 (2) (b) telah memperuntukkan:-
Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah
(b) dalam bidangkuasa Mal mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang Islam dan yang berkaitan dengan :
i. pertunangan, perkahwinan, perceraian, pembatalan perkahwinan (fasakh), atau perpisahan (faraq);
ii. ……………………………………….
Berdasarkan Seksyen 50 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984 (Pindaan 1988) menyebut:-
50 (1) Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat surat ta’liq yang dibuat selepas berkahwin, memohon kepada mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian demikian telah berlaku.
(2) Mahkamah hendaklah memeriksa permohonan itu dan membuat suatu penyiasatan mengenai sahnya perceraian itu dan, jika berpuashati bahawa perceraian itu adalah sah mengikut hukum syara’, hendaklah mengesahkan dan merekodkan perceraian itu dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk di daftarakan.
Berdasarkan kesemua peruntukan-peruntukan di atas, secara jelas mahkamah ini diberikan kuasa untuk mendengar, membicara dan memutuskan kes ini apatah lagi ianya disokong oleh Peguam Syarie Pihak-Pihak yang tidak membantah permohonan ini didengar di hadapan Mahkamah ini. Dengan itu, Mahkamah berpendapat Mahkamah ini mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan permohonan ini.
Fakta Yang Menjadi Isu
Untuk menyelesaikan isu ini mahkamah merujuk kepada beberapa ayat- Al-Quran dan pendapat-pendapat ulama mu’tabar antaranya Allah berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 1 yang berbunyi:-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ أُحِلَّتْ لَكُمْ بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَى عَلَيْكُمْ غَيْرَ مُحِلِّي الصَّيْدِ وَأَنْتُمْ حُرُمٌ إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ مَا يُرِيدُ (1)
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian....
Dato’ Shekh Azmi Ahmad dalam bukunya Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di Malaysia Adalah Mengikut Hukum Syarak muka surat 78 dan 79 ada menyebut: “Dari Sunnah pula talak Ta’liq ini berpandukan Hadis Rasulullah S.A.W. iaitu:-

Maksudnya: Orang Islam terikat kepada syarat-syarat mereka yang mana berlaku banyak perkara itu (membuat syarat) di zaman Nabi s.a.w dan zaman sahabatnya termasuklah berkenaan dengan talak ta’liq ini seperti mana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Abdullah Bin Umar berkata:” telah membuat syarat ta’liq oleh seorang lelaki akan isterinya jika sekiranya ia keluar. Berkata Ibn Umar:” sekiranya perempuan itu keluar naka jatuhlah talak dan jika tidak keluar maka tidak ada apa –apa”
Dalam Kitab Al –Akhyar diriwayatkan hadis Rasulullah yang berbunyi
Maksudnya: Seorang mukmin terikat dengan syarat-syarat dan perjanjian-perjanjiannya.


Selain itu, dalam kitab yang sama ada menyebut:-
Bermaksud: Dan adalah sah takliknya dengan sifat dan syarat.
Dalam Kitab Al-Sharkawi Ala Tahrir ada disebut maksudnya:
Sesiapa yang melafazkan ta’liq dengan peruntukan talaq atas satu syarat dan syarat itu terjadi talaq akan berlaku mengikut lafaznya itu.
Dalam Kitab I’anat At-Talibin ada juga disebut maksudnya:
Adalah dibolehkan mencerai dengan ta’liq seperti juga janji merdekakan hamba atas syarat dan tidak dibenarkan menarik balik sebelum kejadian perkara itu dan perceraian itu akan terjadi apabila apa yang disyaratkan itu terjadi.
Dari segi Hukum Syarak, ta’liq diharuskan sebagaimana dijelaskan dalam kitab I’anah al-Talibin, juzuk 4, muka surat 22 yang berbunyi:

maksudnya:“Harus berta’liq dengan talaq”
Dalam Kitab Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh Juzu’ 9 muka surat 6972 karangan Dr. Wahbah Zuhaili ada menyebut:
Maksudnya: Para ulama’ imam mazhab yang empat sependapat bahawa jatuh talaq yang bergantung (berta’liq) jika wujud perkara yang menjadi tempat pergantungannya. Samada perkara itu merupakan perbuatan salah seorang daripada suami atau isteri, ataupun suatu perkara yang luar dari perbuatan manusia (samawi), dan samada ta’liq itu sebagai sumpah iaitu menggalakkan agar melakukan sesuatu atau meninggalkannya atau untuk menguatkan khabar, ataupun sebagai syarat yang dimaksudkan berlaku jawab syarat.
Di dalam kes rayuan antara Wan Shiram Shabani bin Wan Ramli lwn Nik Adura Hazlin bt Nik Ariffin, mahkamah membuat pertimbangan bahawa Respondan menuntut cerai ta’liq kerana Perayu tidak mempedulikannya selama 4 bulan lebih sebagaimana ta’liq tersebut. Beban pembuktian adalah terletak ke atas plaintif sebagai yang mendakwa sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Baihaqi, Nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

" البينة على المدعى واليمين على من انكر "
“Orang yang mendakwa hendaklah membuktikannya dengan keterangan saksi dan sumpah ke atas orang yang menafikannya.”
Dan hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:
“Akan tetapi sumpah ke atas orang yang kena tuduh”
Dalam kes ini ada beberapa fakta utama yang perlu mahkamah ini putuskan. Isu-isu tersebut adalah seperti berikut:-
Isu Pertama, Adakah Defendan telah melafazkan ta’liq selepas akad nikah berlangsung pada 20hb Februari 1998?
Mahkamah bersetuju dengan hujah Plaintif dan berpuashati bahawa Defendan ada melafazkan takliq nikah pada tarikh tersebut berdasarkan:-
i. Surat Perakuan Nikah No. 068388 Bilangan Daftar 115/98
ii. Pengakuan Defendan dalam Penyata Pembelaan terpinda Perenggan 1 muka 1 bertarikh 05.02.2001.
iii. Pengakuan Defendan semasa memberi Keterangan pada 26 Disember 2003 dan Defendan mengesahkan bahawa beliau telah melafazkan ta’liq sebagaimana lafaz yang terkandung di belakang Surat Perakuan Nikah kepunyaan Plaintif dan Defendan
Mahkamah juga mengaitkan persoalan mengenai iqrar bagi mensabitkan pengakuan tersebut. Bila menyebut tentang lelaki beriqrar, di dalam Kitab I’anat At-Talibin juzu’ 3 muka surat 187 ada menyebut:

اعترافا ويسمى. عليه بحق الشخص إخبار وشرعا الإقرار لغة الإثبات
Maksudnya: Iqrar dari segi bahasa bererti mensabitkan, manakala menurut syarak diertikan sebagai memberitahu hak seseorang atas dirinya. Iqrar disebut juga sebagai I’tiraf.
Dalam Kitab Mughni Al-Muhtaj, jilid 2 muka surat 321 ada menyebut:

( وأركانه أربعة : مقر ومقر له وصيغة ومقر به )
Maksudnya: Rukun iqrar itu ada empat iaitu 1) muqirrun (orang yang beriqrar) 2) muqarrun lahu (orang yang memberi iqrar untuknya oleh orang yang beriqrar, 3) sighah (ucapan atau kata-kata iqrar) dan 4) muqirrun bihi (hak atau kepentingan yang diiktiraf oleh pihak yang beriqrar).”
Ianya juga selari dengan kaedah yang berbunyi:

بإقراره مؤخذ المرء
Maksudnya: Seseorang itu dipegang berdasarkan pengakuannya.
Dalam Seksyen 17 (1) Enakmen Keterangan Syariah Selangor 1996 menyatakan:
“Iqrar adalah suatu pengakuan yang dibuat oleh seseorang secara bertulis atau atau lisan atau dengan isyarat menyatakan bahawa ia mempunyai obligasi atau tanggungan terhadap seseorang lain berkenaan dengan sesuatu hak.”
Manakala Seksyen 17 (2) dalam Enakmen yang sama menyatakan:
“Sesuatu iqrar hendaklah di buat –
a. dalam Mahkamah, di hadapan Hakim; atau
b. di luar Mahkamah di hadapan dua orang saksi lelaki yang akil baligh dan adil.”

Menurut Seksyen 55 (1) Enakmen yang sama memperuntukkan bahawa –
1. Pengakuan mengenai tulisan, tandatangan atau meterai hendaklah diterima sebagai pengakuan orang yang menulis atau yang melaksanakan dokumen itu;
2. sesuatu pengakuan melalui dokumen yang ditulis atau disebabkan ditulis oleh seseorang di bawah tandatangan atau meterainya dan diserahkan kepada orang lain boleh diterima sebagai iqrar dengan syarat.
Dengan lain perkataan, Iqrar Plaintif telah memenuhi kehendak peruntukan hukum syarak dan peruntukan Seksyen 17(1) dan (2) Enakmen Keterangan Syariah 1996.
Pada pendapat mahkamah, yang dimaksudkan dengan “ta’liq” itu ialah jelas ada kalimah syarat dan akan berlaku cerai atau terjatuh talak dari suami kepada isterinya apabila Defendan melanggar syarat – syarat yang terkandung di dalam lafaz ta’liqnya. Dalam kes ini Defendan selepas akad nikah pada 20hb Februari 1998 mengakui telah melafazkan ta’liq yang berbunyi:-
“ Saya mengaku apabila saya meninggalkan isteri saya
Haslinda Binti Mohamad Som
selama 4 bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh masa yang tersebut pada hali ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada Mahkamah Syariah apabila sabit aduannya di sisi Mahkamah Syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalaq ia dengan cara talaq khul ”.
Berdasarkan lafaz ta’liq di atas, Mahkamah berpendapat bahawa di dalam lafaz tersebut terdapat enam fakta yang terkandung di dalamnya iaitu:
Pertama - Tinggal akan isteri
Kedua - Lama tempohnya 4 bulan dengan sengaja atau paksaan
Ketiga - dan suami atau wakilnya tidak memberi nafkah
Keempat - Mengadu Isteri kepada mana-mana Hakim Syarie
Kelima - Sabitan di sisi Hakim Syarie; dan isteri beri RM1.00 kpd Mahkamah Syariah bagi pihak suami
Keenam - Keputusan Tertalaklah isteri dengan satu talak khul’
Persoalan Kedua sebelum mahkamah memutuskan kes ini, Adakah Defendan telah melanggar lafaz takliq tersebut?
Menurut Sheikh Muhammad Amin Al-Kurdi di dalam Kitabnya “Tanwir Al-Qulub halaman 362 telah mentakrifkan Takliq talaq sebagai:

Maksudnya:“Sesiapa yang sah daripadanya melakukan talaq jika sah ia melakukan takliq talaq atas sifat atau syarat maka apabila ia meninggalkan talaq atau syarat maka sabit jatuh satu talaq ketika wujud syarat itu “.

Dalam kes in, Defendan ada melafazkan takliq atas 2 syarat pilihan iaitu:-
Syarat pertama:
Defendan meninggalkan Plaintif selama 4 bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan Defendan atau wakil Defendan tidak memberi nafkah kepada Plaintif selama tempoh masa yang tersebut pada hal Plaintif taatkan Defendan atau;
Syarat kedua:
Defendan melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badan Plaintif.
Syarat ketiga:
Plaintif mengadu kepada Mahkamah Syariah.
Syarat keempat:
Sabit aduan Plaintif disabit dan di sisi Mahkamah Syariah.
Syarat kelima:
Plaintif memberi kepada Mahkamah yang menerima bagi pihak Defendan RM1.00
Dan kini proses takliq ini telah sampai kepada peringkat sama ada Mahkamah sabitkan aduan Plaintif atau tidak. Dalam penilaian Mahkamah, Plaintif mendakwa bahawa Defendan telah melanggar syarat lafaz takliq pada kedua-dua bahagian iaitu :-
Pertama -Defendan meninggalkan Plaintif selama 4 bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan dan Defendan atau wakil Defendan tidak memberi nafkah kepada Plaintif selama tempoh masa yang tersebut pada hal Plaintif taatkan Defendan atau;
Kedua :Defendan melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badan Plaintif.
Sebelum Mahkamah membuat keputusan, adalah wajar bagi Mahkamah dalam usaha Mahkamah mensabitkan aduan Plaintif meneliti terlebih dahulu beberapa perkara atau isu kecil lain yang perlu diputuskan Mahkamah sabitkan aduan Plaintif atau tidak.
Selain itu, sebelum Mahkamah meneroka lebih jauh adalah wajar Mahkamah mentafsirkan dahulu apakah kriteria syarat yang dikehendaki dilanggar oleh Defendan. Dalam syarat bahagian Pertama di sebut seperti berikut:-
Defendan meninggalkan Plaintif selama 4 bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan
Pada pendapat Mahkamah Plaintif dalam kes ini perlu membuktikan bahawa wujud perlakuan Defendan meninggalkan Plaintif. Ini adalah disebabkan bawaha perkataan “meninggalkan” itu menunjukkan perlunya kepada satu perbuatan atau perlakuan di mana suami nmeninggalkan isteri. Apatah lagi merujuk kepada Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan di dalam muka surat 2069 ada menyebut, “tinggal” membawa maksud 1. duduk, diam,, bertempat, bermarkas, bermastautin, menginap, menghuni, berumah, menetap, menumpang, bersemayam, bersarang. 2. hidup. 3. terserah kepada, terletak kepada, terpulang kepada. Manakala perkataan “meninggalkan” pula membawa maksud 1. berundur. …… 4. melepaskan, berhenti, keluar, meletakkan, mengosongkan. 5. membiarkan (tinggal) …. 7. mengundurkan diri, pergi dari, menjauhkan diri. 8. membiarkan sahaja. 9. mengabaikan, melalaikan, melupakan, mencuaikan, mengalpakan. 10. tidak membawa pergi.
Dalam hal ini Mahkamah bersetuju dengan hujjah Defendan bahawa Plaintif perlu membuktikan bahawa Defendan telah meninggalkan Plaintif selama 4 bulan Hijrah berturut-turut atau lebih dan Mahkamah menolak hujjah Plaintif yang menyatakan Mahkamah perlu mengambil pengertian yang lebih luas bagi maksud “Defendan meninggalkan Plaintif”. Mahkamah juga tidak bersetuju dengan hujjah Plaintif bahawa dengan hanya tempoh Plaintif dan Defendan tinggal berasingan tanpa sebarang nafkah sudah memadai. Bagi Mahkamah Perkataan “Meninggalkan” di dalam lafaz ta’lik itu menunjukkan perlunya kepada satu perlakuan atau perbuatan Defendan meninggalkan Plaintif seperti yang dijelaskan di atas sebentar tadi dan perkataan itu sendiri menunjukkan satu perbuatan.
Sehubungan itu juga, Mahkamah perlu mengambilkira perlakuan meninggalkan itu adalah dilakukan oleh Defendan dalam kes ini. Sebelum Mahkamah boleh memutuskan samada Defendan meninggalkan Plaintif ataupun tidak, Mahkamah perlu memutuskan terlebih dahulu persolana berikut iaitu Di mana rumah kelamin Plaintif dan Defendan selepas nikah?
Bagi menjawab persoalan ini, Mahkamah berpuashati dan bersetuju dengan hujjah kedua-dua pihak bahawa rumah kelamin terakhir Plaintif dan Defendan adalah No. 74 C, Block N, Jalan Sungai Baru, 50300 Kampung Baru Kuala Lumpur.
Ini berdasarkan keterangan Defendan dan peguam Defendan sendiri dan juga kesemua saksi-saksi samada saksi-saksi Plaintif iaitu SP1, SP2, dan SP3 dan juga saksi Defendan sendiri yang menyatakan bahawa selepas berkahwin, pasangan ini telah tinggal beberapa bulan di rumah ibubapa Plaintif dan Defendan dan kemudiannya mereka tinggal di alamat di atas yakni rumah yang disewa oleh Defen sejak belum berkahwin dengan Plaintif lagi.
Perkara atau isu ini juga tidak pernah langsung dipertikaikan oleh Defendan pada mana-mana peringkat perbicaraan atau sebelum perbicaraan. Oleh itu, Mahkamah berpuashati bahawa rumah kelamin terakhir kepada Plaintif dan Defendan adalah rumah sewa yang beralamat No. 74 C, Block N, Jalan Sungai Baru, 50300 Kampung Baru Kuala Lumpur.
Persoalan kedua, adakah Defendan meninggalkan Plaintif secara paksaan atau sengaja?
Mahkamah berpuashati dengan hujjah Defendan dan seterusnya menolak anggapan Plaintif bahawa dengan hanya disebabkan Plaintif dan Defendan duduk berasingan tanpa memberi apa- apa nafkah selama 4 bulan Hijrah berturut-berturut telah membuktikan bahawa Defendan telah meninggalkan Plaintif. Apa yang sepatutnya berlaku adalah lebih daripada apa yang disangka oleh Plaintif.
Pada pendapat Mahkamah, tiada keraguan langsung untuk Mahkamah menerima fakta bahawa sebenarnya Plaintif lah yang meninggalkan Defendan dan bukan Defendan yang meninggalkan Plaintif. Pendapat Mahkamah ini adalah berasaskan kepada Pengakuan Plaintif sendiri samada semasa di peringkat pliding mahupun semasa Plaintif memberi keterangan pada 30hb Mei 2001. Menurut Plaintif, mereka atau pasangan ini mula tinggal di rumah kelamin terakhir itu pada bulan Mei 1998 setelah lebih kurang hampir 3 bulan bernikah.
Plaintif turut mengakui bahawa, Plaintif hanya tinggal di rumah itu hanya setakat sehingga bulan Mei 1999. Ketika di soal oleh Peguamnya samada Plaintif bersetuju kalau dikatakan pada Mei 1999 itu Plaintif bertindak keluar rumah? Plaintif menjawab: Ya, Setuju.
Perkara ini dijelaskan lagi oleh Saksi Ketiga Plaintif (SP 3) yang menyatakan bahawa Plaintif telah pulang ke rumahnya pada 07hb Mei 1999 seorang diri dengan menaiki Bas. Menurut saksi ini lagi, Plaintif tinggal di rumahnya selama seminggu dan pulang semula ke Kg. Baru untuk mengambil bajunya. Mahkamah bersetuju dengan hujjah Defendan, jika Plaintif ingin kembali semula tinggal bersama Defendan, sudah tentu Plaintif akan menghubungi Defendan untuk mendapatkan salinan kunci atau meminta Defendan membukanya kerana Plaintif mempunyai nombor telefon Defendan. Adalah mustahil bagi manusia mengetahui perkara yang ingin dilakukan oleh orang lain jika tidak diberitahu.
Perkara ini juga diakui oleh Defendan sendiri bahawa pada 07hb Mei 1999 terebut iaitu pada hari Jumaat. Pada pagi itu Defendan ada menghantar Plaintif ke tempat kerja seperti biasa dan kemudiannya Plaintif terus sahaja pulang ke Kampung Delek, Klang tanpa memberitahu Defendan.
Oleh yang demikian, Mahkamah berpendapat bahawa apa yang sebenarnya berlaku berasaskan fakta-fakta di atas telah menjelaskan bahawa fakta sebenar yang berlaku dan perlu diterima oleh Mahkamah ini adalah Plaintif yang telah bertindak keluar rumah meninggalkan Defendan walaupun dengan alas an hendak menghadiri sesi Kaunseling dan bukanlah sebaliknya. Ini juga menunjukkan bahawa Plaintif gagal membuktikan bahawa Defendan telah melanggar syarat ta’liq yang dilafaz kannya pada peringkat ini.
Pada pendapat Mahkamah Persoalan ketiga, sama ada Defendan meninggalkan Plaintif di dalam tempoh yang disyaratkan dalam takliq iaitu selama 4 bulan hijrah berturut-turut atau lebih adalah tidak perlu dihuraikan dan tidak penting lagi kerana mahkamah telah memutuskan bahawa sebenarnya tidak berlaku seperti yang didakwa oleh Plaintif bahkan berlaku sebaliknya.
Persoalan terakhir yang perlu diputuskan oleh Mahkamah dalam bahagian ini adalah berkaitan isu sama ada Defendan atau wakil Defendan tidak memberi nafkah kepada Plaintif selama tempoh masa yang tersebut iaitu tempoh masa Plaintif meninggalkan suami.
Dalam kes ini Plaintif mendakwa Defendan gagal memberi nafkah kepada Plaintif. iaitu sejak 07.05.1998 sehingga kini. Namun dakwaan itu tidak disokong awal keterangan saksi-saksi Plaintif dengan jelas. Sebelum Mahkamah mengulas lebih lanjut adalah lebih baik kiranya mahkamah merujuk kepada beberapa ayat al-quran dan pendapat fuqaha’ berkaitan isu ini antaranya Ayat 7 surah A-Talaq, Allah S.W.T berfirman pula yang bermaksud:
لِيُنْفِقْ ذُو سَعَةٍ مِنْ سَعَتِهِ وَمَنْ قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنْفِقْ مِمَّا آَتَاهُ اللَّهُ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آَتَاهَا سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا (7)
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya, dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya sekadar yang mampu…”
Di dalam kitab Kifayah Al-Akhyar, muka surat 6 58, ada yang menyebut:-

bermaksud: “Memberi belanja (nafkah) kepada isteri yang taat (yang menyerahkan dirinya kepada suaminya) adalah wajib, dan ianya mengikut kadar nilaian berikut, apabila si suami kaya di berikan sebanyak dua mud makanan yang biasa dimakan dan lauk pauk serta pakaian yang biasa mereka pakai;. Jika suami dari golongan menengah, kadar nafkah isteri ialah satu setengah mud makanan dan lauk pauk serta pakaian juga menurut kebiasaan golongan menengah”.
Sebelum itu Mahkamah perlu ulas sama ada nafkah yang dimaksudkan dalam lafaz takliq adalah meliputi nafkah zahir dan batin atau kedua-duanya sekali.
Pada pandangan Mahkamah nafkah yang dimaksudkan dalam lafaz takliq itu adalah nafkah zahir sahaja dan tidak meliputi nafkah batin kerana jika termasuk nafkah batin adakah boleh Defendan mewakilkan kepada orang lain menunaikan nafkah batin bagi pihak Defendan. Lafaz ta’liq itu sendiri dengan jelas manggambarkan bahawa nafkah yang dimaksudkan adalah menjurus kepada nafkah zahir atau material sahaja.
Berkaitan isu sama ada ia meliputi nafkah tempat tinggal atau tidak, Mahkamah berpendapat dalam kes ini rumah kelamin Plaintif dan Defendan yang terakhir adalah di rumah sewa Defendan di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Oleh itu, sama ada Defendan memberi amaun khas untuk duduk dan tinggal di situ kepada ibu Plaintif adalah tidak perlu dibuktikan dan Tidak timbul sebagai satu persoalan besar kerana kedua-dua pihak telah bersetuju bahawa itu rumah kelamin mereka.
Berkaitan soal Defendan tidak memberi nafkah adalah jelas di dalam kes ini. Secara umumnya adalah jelas Defendan sememangnya tidak memberi nafkah zahir secara khususnya wang ringgit kepada Plaintif berdasarkan kepada iqrar (pengakuan) Defendan semasa memberi Keterangan. Namun menurut Defendan, Defendan ada menyediakan keperluan-keperluan seperti barangan dapur basah atau kering di rumah kelamin mereka. Sedangkan Plaintif tidak pernah balik ke rumah kelamin mereka dan sejak 07hb Mei 1998 telah tinggal bersama ibu-bapa Plaintif. Walaupun pembuktian tentang penyediaan keperluan rumah tidak dibuktikan oleh Defendan secara jelas, namun sebagai andaian yang biasa bagi sebuah rumah pasangan yang berkahwin sudah tentu keperluan-keperluan penting yang asas ada disediakan walaupun mungkin tidak selengkapnya.
Selain itu, Defendan juga menyatakan bahawa Defendan tidak memberi nafkah kerana Plaintif telah keluar dari rumah kelamin tanpa izin Defendan sebagai suami Plaintif. Atau dengan perkataan yang lebih mudah adalah Defendan beranggapan bahawa Plaintif telah nusyuz kerana keluar rumah tanpa izinnya dan tidak layak menerima nafkah. Dalam hal ini
Mahkamah merujuk kes Fakhariah bt Lokman lwn Johari bin Zakariah, menurut Mahkamah Ulangbicara Selangor apa yang dilafazkan oleh suami di dalam ta’liqnya adalah satu perjanjian yang jelas dan bersyarat. Tidak disebutkan apa-apa syarat bahawa isteri itu berhak mendapat nafkah jika isteri tidak nusyuz. Ta’liq itu dilafazkan oleh suami dan jika ada apa-apa keraguan mengenai kandungannya ta’liq itu hendaklah ditafsirkan berlawanan dengan suami dan berpihak kepada isteri. Atas alasan itu isteri dalam kes tersebut berhak mendapatkan cerai ta’liq itu disabitkan. Selain itu, Pengerusi Mahkamah Ulangbicara juga berpendapat di dalam kes ini Defendan tidak pernah memohon perintah Mahkamah bahawa isterinya Plaintif telah nusyuz. Di atas alasan itu juga Plaintif berhak mendapatkan serai ta’liknya disabitkan.
Ironisnya walaupun seandainya Plaintif benar-benar nusyuz seperti yang di dakwa oleh Defendan, Plaintif tetap berhak menerima nafkah daripada Defendan sehingga ada perintah Mahkamah yang menyatakan bahawa Plaintif telah nusyuz kepada Defendan. Oleh itu, dalam kes ini juga, mahkamah berpendapat bahawa Defendan wajib memberi nafkah kepada Plaintif walaupun Plaintif tidak tinggal bersama Defendan di rumah kelaminnya. Alasan Defendan menyatakan bahawa tiada permohonan nusyuz dibuat oleh pihaknya kerana tidak faham tentang undang-undang adalah amat sukar diterima oleh Mahkamah dan menunjukkan sikap Defendan yang tidak prihatin. Jika benar Defendan ingin dan masih sayangkan Plaintif, Defendan masih boleh membuat perintah nusyuz terhadap Plaintif pada masa kes ini mula didengar di Mahkamah ini samada melalui Tuntutan balas atau kes yang berasingan. Apatah lagi dalam kes ini Defendan diwakili oleh Peguam Syarie yang sudah tentunya mahir berkaitan selok belok mengenai undang-undang. Alasan tidak tahu itu pada pendapat mahkamah hanyalah untuk membuka pekung di dada Defendan semata-mata dan menyelamatkan diri Defendan sahaja.
Sebelum Mahkamah pergi lebih lanjut, Mahkamah perlu tentukan samada Defendan telah melanggar lafaz ta’liknya sendiri yang berbunyi “Saya mengaku apabila saya meninggalkan isteri saya Haslinda Binti Mohamad Som selama 4 bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh masa yang tersebut pada hali ia taatkan saya” ataupun tidak?
Mahkamah berpendapat Plaintif gagal membuktikan bahawa Defendan telah melanggar syarat takliq di atas. Jika Mahkamah berpendapat bahawa Defendan sememangnya tidak memberi nafkah selama 4 bulan berturut-turut seperti disyaratkan, Plaintif masih gagal membuktikan Defendan telah melanggar lafaz ta’lik tersebut. Ini adalah disebabkan perbuatan atau tindakan defendan gagal memberi nafkah selama 4 bulan berturut-turut perlu dibuktikan serentak dengan perbuatan Defendan meninggalkan Plaintif selama tempoh 4 bulan berturut-turut. Jika dilihat secara jelas bahawa di antara syarat meninggalkan dan tidak memberi nafkah diselangi oleh perkataan atau ayat penghubung “dan”. Perkataan “dan” menurut Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan di dalam muka surat 393 memberi maksud 1. serta/ beserta, dengan, bersama. 2. juga, selanjutnya. 3. pula, seterusnya, lalu, maka.
Pada pendapat Mahkamah Persoalan seterusnya adakah Defendan memudharatkan tubuh badan Plaintif seperti disyaratkan dalam lafaz ta’liknya di bahagian kedua iaitu “saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya”.
Perkataan “mudarat” menurut Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan di dalam muka surat 393 memberi maksud 1. tidak jadi, tidak beruntung, tidak berhasil, tidak berjaya, gagal. 2. rugi. 3. merbahaya, bencana. 4. bertambah payah, melarat (tt penyakit). Dalam kamus yang sama “memudaratkan” bermaksud merugikan, membahayakan, membinasakan, mencelakakan, membencanakan.
Dalam isu ini, Mahkamah bersetuju dengan hujjah Peguam Syarie Defendan bahawa Plaintif gagal membuktikan dakwaannya dengan jelas. Berkaitan kejadian yang berlaku sekitar tahun 1999, di mana Plaintif mendakwa Defendan membentes kaki Plaintif yang menyebabkan Plaintif terjatuh dan tangan Plaintif terseliuh, Mahkamah dapati tiada satu buktipun yang menunjukkan kejadian ini berlaku samada melalui keterangan saksi mahupun secara dokumen.
Mahkamah memahami dalam kes-kes penganiayaan adalah sukar untuk dibuktikan perbuatan Defendan memukul Plaintif namun dalam kes ini tiada di kalangan saksi yang dipanggil menceritakan tntang melihat kesan lebam atau tangan Plaintif yang terseliuh tersebut yang mana keterangan seumpama ini boleh dijadikan sebagai qarinah dan bayyinnah kepada dakwaan Defendan terhadap Plaintif. Apatah lagi lapuran Doktor berkaitan isu ini juga tidak ditenderkan kepada Mahkamah. Selain itu, cerita berkaitan Defendan membentes kaki Plaintif juga tidak diperjelaskan dengan kukuh dihadapan Mahkamah. Mahkamah dalam isu ini merujuk kepada kes Abdul Hanif lawan Rabiah 53 JH (2) 11, Pengerusi Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan dalam penghakimannya menyebut berkaitan pembuktian isu ini berpendapat
“……. Tidaklah munasabah memerlukan seorang isteri yang mendakwa ia dipukul oleh suaminya mengadakan saksi-saksi seperti itu, kerana mustahil seorang suami apabila memukul isterinya akan memanggil dua orang saksi lelaki atau dua orang saksi perempuan dan seorang saksi lelaki untuk menyaksikan pukulan itu. Dalam perkara seperti itu tidak perlu keterangan diberi sebagai syahadah, dan memadai ia diberi sebagai baiyinnah dan qarinah.”
Selaras dengan kaedah fiqh’ yang berbunyi:-
“ البينة على المدعى واليمين على من انكر "
Maksudnya:- “Keterangan bagi pihak yang mendakwa dan Sumpah bagi pihak yang engkar”
Pada Pendapat Mahkamah, Mahkamah hanya menghukum berdasarkan apa yang dizahirkan sahaja sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang berbunyi:-
امرت أن أحكم بالظواهر والله يتولى بالسرائر
Maksudnya: “Aku di suruh menghukum dari segi zahirnya, Allah sahaja mengetahui batinnya.”
Keputusan
Berdasarkan kepada hujjah-hujjah dan alas an-alasan di atas, Mahkamah dengan ini membuat keputusan seperti berikut:-
1. Mahkamah mensabitkan Defendan tidak melanggar lafaz takliq pada 24hb Feb 1998
2. Oleh itu, Mahkamah dengan ini menolak permohonan Plaintif di bawah Seksyen 50 Enakmen Undang – Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 1984 Pindaan 1988.
3. Mana-mana pihak yang tidak berpuashati boleh mengemukakan notis rayuan dalam tempoh 14 hari daripada keputusan ini dibacakan.
4. Kos hendak ditanggung oleh pihak-pihak.
………………………….…
Tandatangan Hakim
30.06.2004

No comments: